TIDAK ramai tahu mengenai Sungai Panjang kalau dibandingkan dengan Sungai Besar, terletak di Selangor walaupun ia dalam satu kawasan yang sama.
Tapi itu dahulu. Ketika ini Sungai Panjang sudah menjadi tumpuan ramai sebagaimana kawasan lain sekitarnya.
Walaupun terletak kira-kira dua jam perjalanan dari ibu kota dan mungkin agak jauh bagi segelintir orang, Sungai Panjang sememangnya sangat berbaloi untuk dilawati.
Ada banyak sebab mengapa Sungai Panjang wajib dimasukkan dalam senarai percutian hujung minggu terutama untuk yang sudah berkeluarga.
Paling penting apa yang ada di Sungai Panjang bukan sekadar sawah padi, sebaliknya banyak tempat dan aktiviti ‘rahsia’ perlu diteroka.
Rugi rasanya kalau ada yang sekadar datang untuk percutian balik hari atau dalam erti kata lain day trip.
Paling tidak pun percutian dua hari satu malam menjadi acara wajib kalau bertandang ke Sungai Panjang supaya segala aktiviti puas dicuba.
Malah, tidak perlu pening kalau mahu mencari tempat bermalam di Sungai Panjang kerana ada kemudahan rumah inap dan resort di sini.
Jika ditanya pada saya yang sudah bertandang ke Sungai Panjang, tempat penginapan menarik di sini sudah semestinya Nazbell Cottage and Garden .
Bukan sahaja lokasi yang dikelilingi sawah padi, kemudahan di sini juga boleh disifatkan serba lengkap dan sesuai untuk pasangan, pengembara solo atau bagi mereka yang berkeluarga.
Apa yang menarik, apabila menginap di sini, pihak pengurusan turut menyediakan beberapa aktiviti sampingan lain seperti melawat ke tempat pembuatan kerepek pucuk ubi, ladang melon Selangor, memancing dan melihat cara memasak Punten, Bajam dan sambal Jawa.
Sebenarnya, ini kali pertama saya mengetahui beberapa nama makanan tradisi masyarakat Jawa ini.
Apabila melihat secara lebih dekat semua proses memasak makanan yang disebutkan tadi, ia membuatkan saya lebih menghargai kepelbagaian masyarakat yang ada di negara ini.
Kadang-kala kita lebih banyak melihat dan beranggapan apa yang ada di negara lain lebih bagus tanpa kita mengetahui adanya sumber dan perkara yang lebih menarik di tempat sendiri.
Itu belum lagi diceritakan tentang pejuang mengkuang terakhir di Sabak Bernam, Aminah Naim, 73 yang masih mempertahankan seni tradisi itu sejak 60 tahun lalu.
Banyak kisah yang boleh dirungkaikan Aminah di sebalik cerita mengkuangnya termasuk mengapa seni anyaman ini tidak lagi mendapat tempat dalam kalangan orang muda.
Aminah juga tidak lokek untuk bercerita sisi lain di sebalik pekerjaan yang sudah diancam kepupusan.
Selain mendekatkan diri dengan aktiviti berkaitan tradisi dan pertanian, ada baiknya juga mencuba aktiviti menunggang kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV) dengan menyelusuri kawasan sawah padi selain dapat ‘berOOTD’ (outfit of the day).
Pemandangan cantik dan hasil gambar sudah pasti tidak mengecewakan kalau datang ketika musim padi menguning.
Lebih penting lagi bukan hanya bergambar atau ‘menjamu mata’ melihat keindahan alam, tetapi pada masa sama dapat memahami ‘resmi padi makin tunduk makin berisi. – Mingguan Malaysia
Bukan sekadar cerita padi di Sungai Panjang
- Oleh Mohamad Hafiz Yusoff Bakri
- 23 Julai 2023, 4:37 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Ikut Machiavelli, ‘harimau dari perut’ atau taktikal
15 Disember 2024, 10:10 am
Jangan pinggirkan pendidikan inklusif
8 Disember 2024, 10:03 am
Melindungi pemberi maklumat rasuah
1 Disember 2024, 9:03 am