Jadi influencer, tak baca kecaman elak tekanan - Utusan Malaysia

Jadi influencer, tak baca kecaman elak tekanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADA yang sanggup berhenti kerja sepenuh masa semata-mata mahu menjadi pempengaruh atau bahasa lainnya influencer.
Golongan pelajar ada juga begitu, apabila pendidikan bagaikan sudah jatuh nombor dua. Mencipta kandungan di TikTok dan Instagram jauh lebih penting daripada menuntut ilmu ketika ini.
Kita tidak boleh menafikan gelombang media sosial memberi kesan dalam aspek sosial dan ekonomi bukan sahaja dalam negara tetapi di peringkat antarabangsa.
Bayangkan, pasaran di peringkat global bagi penciptaan kandungan digital mencecah hampir RM89.26 bilion pada tahun lalu.
Malah, mengikut firma penyelidikan pasaran negeri Amerika Syarikat (AS), pasaran dijangka mencecah RM843.42 bilion atau AS$181.4 bilion menjelang 2032 dengan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 25.7 peratus dari tahun ini sehingga 2032.
Kebiasaannya untuk pencipta kandungan yang berjaya, pendapatan dihasilkan menerusi pelbagai cara seperti tajaan, jualan barangan, hasil iklan dan pelbagai lagi.
Namun begitu, apa sahaja pekerjaan sudah tentunya memerlukan kerja keras dan risiko tersendiri termasuk sebagai pencipta kandungan.
Menurut salah seorang pempengaruh yang dikenali sebagai Aunty Purple atau nama sebenar Noor Suhaili Mohamed Amin, antara perkara perlu ditempuhi sudah semestinya pasaran yang begitu kompetitif di samping keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan trend yang sentiasa berubah.
Selain itu katanya, mereka yang mahu menjadi pempengaruh perlu tahu hal tersirat dan kesan buruk.
“Saya turut berdepan tekanan apabila dikutuk dan diejek rupa bentuk badan. Pada netizen itu biasa. Ada juga yang kutuk suruh saya berhenti sebab sudah tua.
“Jadi, apa yang saya buat adalah tidak membaca komen-komen sebegitu.Tambahan pula saya tidak boleh berdepan dengan kecaman,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Dalam pada itu Aunty Purple berkata, pempengaruh juga perlu tahu kehendak orang ramai dan pasaran selain platform serta algoritma yang berubah-ubah.
Justeru kata Aunty Purple, dia bersedia untuk berdepan sebarang kemungkinan termasuk detik kejatuhan dan apabila sudah tidak lagi relevan.
“Semua orang kena belajar. Habiskan sekolah dan sekurang-kurang sampai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Perkara ini turut saya tekankan kepada anak-anak saya,” jelasnya.
Walaupun menghadapi banyak rintangan cabaran, penciptaan kandungan boleh dijadikan sebagai antara laluan kerjaya untuk individu yang cenderung dalam bidang kreatif.
Antara tips untuk menjadi pempengaruh termasuklah:
Pertingkatkan kemahiran
Kemahiran untuk penciptaan kandungan boleh dipertingkatkan dalam aspek penulisan, fotografi, penyuntingan video atau reka bentuk grafik. Belajar dan mempraktikkan secara berterusan adalah kuncinya.
Terdapat pelbagai aplikasi yang boleh digunakan untuk mencipta kandungan antaranya Adobe Creative Cloud, Audacity, Canva, Grammarly, CapCut Editor dan HubSpot.
Konsisten
Penghasilan kandungan perlu dilakukan secara konsisten bagi membantu mencari lebih ramai pengikut. Perlu untuk mempunyai jadual terperinci seperti idea kandungan, tarikh projek atau kerjasama dengan pihak lain.
Terdapat lebih 30 alat penjadualan dan penyiaran media sosial seperti Brandwatch dan Hootsuite untuk mengekalkan kehadiran dalam media sosial.
Interaksi
Berinteraksi dengan khalayak dengan membalas komen, mesej dan maklum balas. Ia dalam masa sama, menjadikan ia satu cara penambahbaikkan. Sesuaikan dan perhalusi kandungan berdasarkan maklum balas.
Analisis
Gunakan aplikasi analisis yang disediakan platform untuk memahami prestasi sasaran penonton, kandungan dan metrik penglibatan anda.
Platform seperti KOLHUB yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menganalisis tanda suka, komen dan penglibatan dapat memastikan statistik berkaitan secara automatik.
Pelaburan
Penciptaan kandungan boleh dilakukan dengan peralatan minimum iaitu cukup dengan telefon pintar. Akan tetapi ada peralatan lain seperti kamera, mikrofon, perisian untuk proses suntingan dan alatan reka bentuk.
Contohnya, kamera Canon PowerShot V10, lampu swafoto Ubeesize atau mikrofon USB HyperX QuadCast S. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya