AL-FATIHAH buat Allahyarham Syed Ismail Syed Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Mael XPDC. Pemergiaannya satu kehilangan besar kepada industri muzik tanah air.
Saya yang turut membesar dengan lagu kumpulan legenda ini terkesan dengan pemergian beliau.
Ini kerana setiap lagu XPDC ada cerita sendiri yang dikaitkan dengan kehidupan pendengar dan peminatnya.
Bagi pemuda yang berasal dari Segamat, Johor Mohd. Khairwan Zakaria, 32, dia sememangnya peminat tegar kumpulan yang ditubuhkan sejak 1989 itu.
Semuanya bermula selepas pertama kali mendengar lagu C.I.N.T.A ketika masih kecil lagi.
Puitis lirik lagu ciptaan J S Kevin itu menjadi ‘mantera’ kepada dia sehingga sanggup berbuat apa sahaja demi memenuhi tuntutan minatnya sehinggalah hari ini.
Malah dia sanggup meredah dari Johor ke ibu negara dan pulang pada hari yang sama semata-mata untuk menonton konsert XPDC itu walaupun jaraknya lebih 300 kilometer (km).
“Saya masih ingat lagi, semuanya main redah tanpa ada perancangan rapi untuk tengok konsert XPDC di Hard Rock Cafe. Sebabnya satu iaitu minat.
“Kalau nak cakap sesat sudah semestinya. Maklumlah kami tidak pernah ke Kuala Lumpur. Berkali-kali sesat sehingga kami sendiri tidak tahu lorong mana yang kami lalui untuk sampai ke tempat konsert,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Bukan itu sahaja, Mohd. Khairwan turut mengumpul koleksi kaset lama, t-shirt, poster, cakera padat (CD), majalah dan tag menonton persembahan dari era 1990-an hingga kini.
Maka tidak hairanlah Mohd. Khairwan memiliki lebih 30 koleksi poster, t-shirt, majalah, kaset dan CD lagu XPDC.
Dia yang turut mengusahakan gerai rock burger tidak kisah berbelanja semata-mata kegilaannya kepada XPDC.
“Saya berusia 12 tahun ketika rock menggegar negara. Oleh itu, secara tidak langsung, ia memberi pengaruh besar kepada kehidupan diri saya berlarutan sehingga dewasa.
“Apatah lagi ketika itu sumber hiburan tidak banyak pilihan seperti sekarang. Jadi, kemunculan era bergenre rock yang menampilkan aliran muzik baru mencetuskan fenomena yang sangat luar biasa. Kebetulan pula keluarga saya ada memiliki Walkman dan Discman jadi saya kerap ulang kali mendengar kaset dan CD kumpulan XPDC itu.,” jelasnya.
Sebagai peminat tegar, Mohd. Khairwan memastikan dia cuba memiliki semua album XPDC dan turut memastikan semua koleksinya asli terutama album.
“Saya akan menyimpannya dengan baik dan sayang membuang atau memberikan kepada orang lain. Lama-kelamaan, ia semakin banyak sehingga mencetuskan idea untuk menjadikan ia koleksi,” katanya.
Setakat ini dia telah membelanjakan kira-kira lebih RM1,000 dengan sokongan keluarga serta sahabat handai yang turut membantu melengkapkan koleksinya.
Kata Mohd.Khairwan, dia tidak akan menghentikan koleksinya setakat ini kerana aliran genre muzikmenepati cita rasanya sepanjang zaman. – Mingguan Malaysia
Buat kerja gila demi XPDC
- Oleh MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI
- 7 Mei 2023, 4:05 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Tentang KL Sundown 2023 yang santai, jadi terapi minda
10 Disember 2023, 5:43 pm
Tarikan tersembunyi untuk ‘healing’ di Putrajaya, Selangor
26 November 2023, 5:19 pm
‘Bikers’ kongsi pengalaman di Pokhara
5 November 2023, 4:56 pm