Sejauh mana juadah raya memberi kesan terhadap tahap kecergasan? - Utusan Malaysia

Sejauh mana juadah raya memberi kesan terhadap tahap kecergasan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA pasti tidak ramai yang memikirkan sangat tentang jumlah kalori diambil pada Hari Raya Aidilfitri pertama atau kedua.
Apa yang ada dalam kepala sudah semestinya lemang, ketupat dan pelbagai kuih muih atau juadah yang membuka selera. Kalau yang sedang berdiet sekalipun, rata-rata mahu bermula pada hari raya ketiga atau selepas itu.
Namun bagi mereka yang konsisten bersukan sudah semestinya tertanya-tanya sejauh mana kesan pemakanan dan tahap kecergasan seseorang pada musim perayaan.
Jadi, untuk ruangan Redah kali ini, ada baiknya saya kongsikan topik ini di samping cara pemakanan sihat untuk sesiapa yang mahu pastikan angka pada mesin penimbang kekal.
Sebenarnya, banyak persoalan yang timbul antara makanan dan kecergasan tanpa mengira sama ada seseorang itu bertaraf profesional atau amatur, dalam erti kata lain mereka yang konsisten bersukan.
Menurut Pakar Pemakanan Perkhidmatan Dietetik dan Nutrisi Pusat Perubatan Sunway, Celeste Lau Wai Hong, pengambilan makanan manis atau berminyak yang berlebihan secara berturut-turut selama seminggu akan meningkatkan berat badan seseorang.
“Sekiranya individu itu mengamalkan pemakanan kurang ideal untuk satu hari semasa hari raya, ia tidak akan terus memberikan kesan kepada prestasi dan stamina mereka. Namun, sekiranya ada yang makan makanan berlemak, manis dan berkalori tinggi selama seminggu atau lebih ia semestinya mem­berikan kesan kepada komposisi tubuh, prestasi dan stamina.“Oleh itu, atlet perlu mengamalkan sikap sentiasa beringat terhadap corak pemakanan mereka semasa hari raya ini iaitu dengan makan secara perlahan, makan hanya ketika lapar dan berhenti sebelum kenyang.
“Kenaikan berat badan secara mendadak akan mengambil masa untuk turun kembali ke berat badan asal,” jelasnya.
Ditanya tempoh yang diambil bagi kalori berlebihan bertukar kepada lemak, Celeste berkata, proses tersebut berlaku serta-merta sebaik sahaja simpanan badan untuk glukosa dan asid amino mencapai kapasiti penuh.
“Kalori disumbangkan makronutrien seperti karbohidrat, protein dan lemak. Proses penghadaman menjadikan karbohidrat, protein dan lemak ke glukosa, asid amino, dan asid lemak. Secara berlebihan, glukosa dan asid amino akan ditukar kepada asid lemak yang kemudiannya disimpan sebagai lemak badan.
“Pengambilan kalori berlebihan biasanya tidak mencerminkan penimbang berat dalam sehari. Namun, untuk jangka masa yang lebih lama, berat badan kita akan meningkat dengan ketara. Satu kajian mendapati kalori berlebihan sebanyak 500 kcal dapat menambah berat badan 6.8kg dalam tempoh enam bulan,” katanya.
Tambah Celeste, metabolisme seseorang juga tidak berubah atau dipengaruhi corak pemakanan pada hari raya walaupun menjamu selera hampir setiap masa.
Sementara itu, bagi atlet veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Muhaizar Mohamad yang turut berkongsi tips berkata, dia mengamalkan disiplin tersendiri dengan corak pemakanan ketika hari raya yang tidak sampai seminggu lagi.
Katanya, dia akan makan seperti biasa dan berhenti apabila sudah terasa kenyang selain tidak makan lebih daripada sepatutnya.
“Pantang pemakanan bagi seorang atlet pelari tidak ada banyak sangat. Cuma kurang mengambil makanan yang pedas dan ais serta air berkarbonat.
“Pengambilan minuman berlebihan seperti berkarbonat, ais batu dan makanan yang pedas memang menjejaskan stamina,” terangnya.
Tambah Muhaizar, dia juga turut mengambil pendekatan dengan mengamalkan diet intermittent fasting pada hari raya kedua.
“Untuk diet, pada musim perayaan, ia turut bergantung kepada jenis latihan setiap hari, berapa jumlah kalori yang diambil kerana jenis latihan berbeza. Mungkin ada hari kita akan lakukan latihan lasak dan ada hari dengan cara agak santai. Jadi ia bergantung.
“Selain itu, saya juga turut mencuri masa untuk melakukan recovery run pada hari raya kedua,” jelasnya.
Ini bermakna, lemang, ketupat dan rendang yang menjadi juadah wajib pada hari raya bukanlah ‘haram’ untuk mereka yang mahu mengekalkan stamina atau mungkin juga untuk mereka yang berdiet.
Sebaliknya, apa yang penting kuantiti yang diambil sudah semestinya perlu dalam jumlah sepatutnya. – Mingguan Malaysia

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya