KETIKA mula-mula sampai di Gaziantep, Turkiye, tidak pernah terlintas di fikiran saya dapat melihat kesan gempa bumi secara lebih dekat.
Saya tergamam melihat kemusnahan di banyak tempat selain kesan kepada penduduk yang perlu berdepan dengan ujian berat terutama di Kahramanmaras, Hatay dan Malatya. Apatah lagi saya antara rakyat Malaysia yang tidak pernah berdepan pengalaman ditimpa musibah yang dahsyat seperti ini. Malah kunjungan saya bersama sukarelawan Pertubuhan Peduli Insan ke Turkiye mengajar banyak perkara tentang kehidupan.
Berada di sana turut membuatkan saya sering terfikir mungkin disebabkan itu Allah SWT tidak menguji saya yang tidak tahan dan mampu dengan ujian sedemikian.
Paling saya ingat apabila kami dapat bertemu kanak-kanak yang terdiri daripada pelarian Syria. Rata-rata mereka masih boleh tersenyum walaupun ada ‘luka’ yang belum sembuh. Masih diingat lagi dengan jelas bagaimana salah seorang daripada mereka, Mariam Suud 11, menceritakan saatnya berdepan detik cemas sewaktu kejadian gempa bumi berlaku .
“Pada gempa bumi yang pertama, saya takut sangat. Saya fikir akan mati dan terus mengucapkan kalimah syahadah. Saya risau apa-apa akan terjadi pada adik beradik dan keluarga saya. Lepas habis gempa semua keluar rumah. “Saya tidak memakai pakaian tebal dan kami tidak tahu bagaimana untuk bergerak. Saya fikir kalau saya mati dan kemudian pergi ke syurga itu lebih baik,” katanya kepada kami.
Paling terharu mereka juga tahu adab dan budi bahasa serta sangat mesra walaupun masih trauma kesan akibat gempa bumi sehinggakan ada memberikan kami cokelat sebaik selepas menerimanya daripada pihak lain.
Apa yang mengagumkan, kanak-kanak ini juga mempunyai keyakinan diri yang tinggi, berani dan tidak takut dengan kehadiran orang yang tidak dikenali. Bercerita seperti sudah lama mengenali kami. Kanak-kanak di sini mengharapkan sentuhan dan kasih sayang selain daripada ibu bapa mereka. Dalam erti kata lain mereka betul-betul memerlukan pertolongan.
Kalau dilihat di kawasan tempat tinggal (khemah sementara) mereka sudah cukup menceritakan penderitaan yang dialami dan ia amat menyedihkan.
“Kami tiada apa-apa untuk makan. Tiada siapa beri makanan dan tiada siapa mahu edarkan makanan panas kepada kami. Tiada apa-apa bantuan langsung.
“Selain itu, tiada siapa mahu beri kami pemanas. Kalau ada pun mereka beri, pemanas tersebut sudah rosak dan tidak boleh digunakan. Selimut yang kami ada pun tidak cukup sedangkan dalam khemah sudah ada tujuh orang di ruang yang sempit tanpa ada tempat untuk memasak,” jelasnya.
Saya amat memahami penderitaan Mariam dan rakan-rakannya. Dalam satu sudut lain, untuk golongan yang lebih berumur, mereka kini hanya berserah kepada Allah SWT yang mengatur segala-galanya.
Hilang pekerjaan, tempat tinggal dan orang tersayang datang daripada-NYA dan hidup perlu diteruskan, urusan mati Allah SWT tentukan. Itu kata mereka.
Seperti orang lain yang adakalanya lupa nikmat dan rezeki dilimpahkan oleh-NYA, saya juga begitu.
Sebab itu, penting untuk kita semua melihat mereka yang berada ‘di bawah’ kerana kita tidak selalunya berada ‘diatas’ dalam masa sama sebagai peringatan untuk sentiasa bersyukur. – Mingguan Malaysia
Tergamam lihat kemusnahan
- Oleh MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI
- 5 Mac 2023, 2:43 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Ikut Machiavelli, ‘harimau dari perut’ atau taktikal
15 Disember 2024, 10:10 am
Jangan pinggirkan pendidikan inklusif
8 Disember 2024, 10:03 am
Melindungi pemberi maklumat rasuah
1 Disember 2024, 9:03 am