JANGAN terkejut kalau selepas ini permainan lastik dipertandingkan di peringat antarabangsa dengan format kejohanan tersendiri.
Lastik yang satu ketika dahulu menjadi ‘senjata’ wajib bagi kanak-kanak lelaki, kini turut menjadi starter kit (kit permulaan) untuk golongan dewasa.
Mana tidaknya, ketika saya berjumpa dengan salah seorang peminat tegar, Shamsol Bahari baru-baru ini, lastik yang dibawanya telah diinovasikan dan disimpan di dalam beg kecil.
Walaupun saya tidak pasti sejauh mana sambutan permainan lastik dalam kalangan kanak-kanak pada zaman sekarang, saya fikir permainan tradisional ini bakal mendapat sambutan menggantikan lato-lato.
Apa yang menarik menurut Pengerusi Kelab Lastik G25 ini, permainan tradisional ini bakal menampilkan format permainan tersendiri selain menampilkan inovasi baharu yang bukan lagi menggunakan kayu.
Sebaliknya kata Shamsol, lastik ini menggunakan titanium, besi dan plastik serta bahan-bahan lain dengan mengekalkan reka bentuk yang sama sebagaimana lastik tradisional.
“Harga lastik slingshot ini sekitar RM80 paling murah bergantung kepada bahan digunakan. Untuk getah pula, ada beberapa jenis dan ketebalan bergantung kepada kekuatan. Biasanya getah yang digunakan akan putus selepas ditarik kira-kira 100 kali,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Dia yang bermain lastik ini secara serius sejak 2021 berkata, ada format yang dipertandingkan antaranya termasuk jarak 10 dan 15 meter bergantung kepakaran.
“Lastik moden ini ada sasaran ditetapkan. Kita ada piring khas dan apabila dilastik, ia akan jatuh. Untuk peringkat kedua, kita gunakan kertas bulat dengan markah seperti memanah atau dart. Mereka yang dapat tembak di tengah memperoleh markah tinggi.
“Untuk peringkat ketiga di dalam hutan. Kita akan gantung macam botol atau piring di celah pokok. Dalam Mereka akan dibekalkan dengan lima atau 10 butir peluru. Maknanya setiap peringkat itu akan dikira markahnya,” terangnya.
Ceritanya lagi, lastik ini menggunakan dua jenis peluru iaitu mudball ( bebola lumpur) dan peluru ball bearing.
“Mudball macam tanah liat yang diproses. Apabila kena pada sasaran, ia akan pecah. Kalau ball bearing pula, apabila dilastik, ia akan melantun balik,” jelasnya.
Kini kelab itu dianggotai 40 orang dan terdapat beberapa kelab di negeri lain seperti di Perak dan Melaka.
Selepas mengalami inovasi, lastik moden ini harganya bermula RM80 sehingga RM500. Apa yang menarik, ia bukan sekadar bermain tanpa hala tuju atau mendatangkan kecederaan, tetapi ada peraturan tersendiri.
Pada saya bukanlah sesuatu yang pelik sekiranya permainan lastik ini menjadi sukan yang boleh diketengahkan dengan format tersendiri. Mungkin lastik boleh dipertandingkan dalam sukan Olimpik nanti? – Mingguan Malaysia
Potensi lastik zaman moden ganti lato-lato?
- Oleh Mohamad Hafiz Yusoff Bakri
- 19 Februari 2023, 4:07 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Ikut Machiavelli, ‘harimau dari perut’ atau taktikal
15 Disember 2024, 10:10 am
Jangan pinggirkan pendidikan inklusif
8 Disember 2024, 10:03 am
Melindungi pemberi maklumat rasuah
1 Disember 2024, 9:03 am