Rimba by Dking tarikan di Karak - Utusan Malaysia

Rimba by Dking tarikan di Karak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBUT pasal durian dan patin, banyak yang terbayangkan dua daerah yang cukup popular iaitu Raub dan Temerloh. Akan tetapi ada satu lagi daerah yang tidak kurang hebatnya apabila memperkatakan dua jenis makanan ini iaitu Karak.
Berkesempatan melawat Rimba by Dking yang terletak betul-betul di tepi Lebuh Raya Karak berhampiran dua stesen minyak menghala ibu negara membuka mata saya terhadap potensi agro pelancongan di daerah ini.
Saya sendiri tidak menyangka terdapat sebuah kawasan berkeluasan hampir tiga ekar ini yang dilengkapi pelbagai kemudahan untuk orang ramai mengisi cuti hujung minggu.
Malah, kedudukan yang begitu dekat dengan ibu negara iaitu kira-kira 50 kilometer menjadi kelebihan terutama buat mereka yang mahu merancang trip balik hari tanpa perlu bermalam. Antara tarikan utama di sini sudah semestinya durian pelbagai jenis seperti D24, Musang King, Tekka dan Duri Hitam.
Apa yang menarik, pada musim durian, pengunjung boleh menikmati raja buah secara buffet sepuas-puasnya dengan harga RM48 sahaja di Rimba by Dking. Sekiranya mahu dibeli dengan harga timbang pula, ia bergantung kepada  jenis dan saya difahamkan untuk sekilogram durian Musang King berharga antara RM35 ke RM48 sekilogram kepada bekalan.
Apa yang paling penting, Rimba by Dking turut mempunyai kemudahan glamping untuk mereka yang sukakan alam semula jadi dan mahu lari daripada kesibukan kota.
Tidak perlu bersusah payah meredah hutan atau mencari kenderaan pacuan empat roda untuk menikmati kehidupan alam semula jadi. Cuma kemudahan tersebut hanya terhad untuk 10 orang dalam satu-satu masa.
Pada saya jumlah ini paling ideal bagi mereka yang mencari privasi dan dalam masa sama memastikan ketenangan untuk bersantai bersama keluarga.
Di samping itu, pengunjung yang mahu bermalam tidak perlu bimbang tentang kemudahan asas kerana segalanya lengkap termasuk surau, elektrik, tandas dan tempat letak kereta selain bilik khas untuk berkaraoke.
Bagi mereka yang mahu merasai pengalaman glamping di sini, harga yang dikenakan adalah RM220 seorang untuk dewasa pada hari biasa manakala hujung minggu pula RM250 termasuk sarapan dan makan malam.
Selain kemudahan asas, terdapat dua kolam ikan khusus kepada mereka yang mahu mencuba aktiviti memancing. Antara spesies ikan yang terdapat di sini adalah patin dan tilapia merah. Tiga ekor ikan pertama yang berjaya ditangkap diberi percuma. Ikan yang ditangkap juga boleh diberikan kepada restoran untuk dimasak mengikut cita rasa pilihan pengunjung. Bagaimanapun, jangan bimbang kalau pemancing gagal mendapat sebarang hasil tangkapan.
Anda tidak akan berlapar sebabnya terdapat sebuah restoran di sini yang menghidangkan menu tempatan terutama masakan patin tempoyak dan makanan ala Barat.
Percayalah menu ikan patin di sini tidak mengecewakan dan hampir setanding dengan restoran terkenal di Temerloh. Paling penting ikan yang dimasak sedikit pun tiada bau hanyir.
Selain tarikan sedia ada di Rimba by Dking, pengunjung juga ada beberapa pilihan untuk singgah dan mandi di air terjun Sungai Dua.
Sekiranya ada yang mahu membawa keluarga menikmati percutian agro, Rimba by Dking terletak di Lot 15724 Lebuhraya Karak dan dibuka setiap hari kecuali Rabu. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya