“DEKAT kampung aku
ada sebuah pekan kecil
namenye pekan kaghei pekan enggo
aku pun tak tahu ape name pekan itu
ikut sukelah deme nak gelo
balei polis name kaghei pejabat pos name enggor
itupun aku tak sedo…,”
Orang Perak terutama bagi mereka yang berasal dari Karai atau lebih dikenali sebagai ‘Kaghe’ pasti terhibur apabila mendengar lagu ciptaan Sabri ini.
Ada unsur humor pada lirik yang secara tidak langsung akan mengimbau kembali kenangan terutama bagi mereka yang pernah menjejakkan kaki atau membesar di sekitar kampung berhampiran pekan kecil ini.
Malah rentak lagu dan loghat Perak yang digunakan juga sudah mampu mencuit hati, namun mungkin belum cukup tarikan untuk membawa pelancong ke pekan yang terletak kira-kira 10 kilometer (km) dari pekan Kuala Kangsar.
Tidak mengapa. Mungkin ada serba-sedikit yang boleh saya ceritakan di sini. Sebenarnya terdapat banyak tarikan di Karai.
Selain jambatan Victoria yang berusia lebih 100 tahun, Karai ada tarikan lain yang perlu diterokai.
Bermula daripada makanan sehinggalah kepada tinggalan sejarah dan alam semula jadi yang boleh dinikmati walaupun tidaklah seperti di tempat lain.
Antaranya, kubu pertahanan Jepun semasa era peninggalan Perang Dunia Kedua. Kedudukan kubu tersebut terletak berhampiran jambatan kereta api Victoria.
Namun, saya pasti ramai juga yang masih belum tahu berkenaan sebuah rumah agam usang yang kini hanya menjadi sebuah tinggalan sahaja.
Rumah tersebut usianya hampir sama bahkan mungkin lebih tua daripada Jambatan Victoria. Saya tidak dapat mengesahkan cerita dan sejarah sebenar di sebalik rumah agam ini.
Apa yang saya tahu reka bentuknya sememangnya menarik lebih-lebih lagi dengan lukisan seni abstrak gabungan seni masyarakat Cina dan Inggeris menjadikan ia sebagai khazanah yang sepatutnya dipelihara.
Selain itu, saya turut difahamkan rumah ini pernah dijadikan sebagai penempatan markas tentera Jepun satu ketika dahulu sekaligus menjadi satu peninggalan penting sebagaimana di Green Ridge, Kampar, Perak.
Alangkah baiknya rumah agam ini dijaga rapi lebih-lebih lagi dengan potensi yang ada untuk dijadikan sebagai salah satu ikon di Perak sama seperti Menara Condong atau Kellie’s Castle.
Seandainya ia direalisasikan nanti, Karai bukan lagi hanya sebagai tempat persinggahan semata-mata, sebaliknya mampu dimasukkan dalam peta pelancongan Perak.
Manakan tidak. Karai boleh dikatakan lengkap. Selain tempat-tempat yang telah dinyatakan sebelum ini, Karai turut terkenal sebagai salah satu ‘port’ untuk mencari makanan yang cukup terkenal di negeri ini.
Hampir semuanya ada. Nama-nama seperti putu perak, serawa durian dan kuih kundas antara menu wajib kalau datang ke sini.
Apa yang menarik, kuih kundas di sini dimakan bersama kuah kacang dan kalau bersarapan di pekan Karai di sini suasana retro pasti terasa.
Malah di pekan ini juga terdapat pasar malam pada setiap Selasa untuk anda mencari beberapa makanan lain yang istimewa.
Saya percaya, pengunjung yang datang selepas ini bukan lagi hanya mengambil gambar di jambatan Victoria semata-mata, sebaliknya ada pelbagai perkara lain boleh dilakukan.
Segalanya terpulang kepada pembaca. Tepuk dada tanya selera. – Mingguan Malaysia