Moses juara KLSCM 2022 berkongsi tips - Utusan Malaysia

Moses juara KLSCM 2022 berkongsi tips

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AURA pelari elit Kenya meresap dalam badan sebaik mendekati pemenang tempat pertama Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) 2022, Moses Kiptoo Kurgat dengan catatan masa 2:11:04s.
Tapi malangnya, aura tersebut tidak kekal lama dalam tubuh saya untuk menjadi pesaingnya merebut tempat pertama bagi siri seterusnya.
Tidak mengapa kerana ada sesuatu yang boleh dikongsikan pelari elit yang berusia 30 tahun ini bagi mereka yang bercita-cita mahu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan beliau.
Namun apa yang pasti tiada jalan mudah. Selain susuk tubuh kecil dan ringan yang membantu untuknya bergerak pantas, regim latihan dan disiplin ketat penentu kejayaannya selain kekuatan mental serta fizikal.
Moses yang agak peramah tidak lokek untuk mendedahkan rahsia kejayaan yang diraih baru-baru ini.
Ceritanya, dia memberi fokus kepada latihan insentif tiga bulan sebelum acara itu tanpa ada pengecualian hari.
“Latihan SCKLM 2022 bermula tiga bulan sebelum itu. Saya akan berlari sekurang-kurang 25 kilometer (km) ketika pagi dan 10 atau 15 km ketika petang.
“Kebiasaannya latihan bermula dari pukul 6 sehingga 7.30 pagi manakala untuk sesi petang pula pada pukul 4 petang. Namun tiada latihan pada waktu malam,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Tambah Moses, latihan turut melibatkan kawasan bukit pada jarak tertentu dan berlari pada jarak ditetapkan bergantung kepada kelajuan. Malah kata Moses, latihan bagi pelari sepertinya tetap diteruskan walaupun tiada acara dipertandingkan dalam satu jangka masa pendek.
“Ini penting bagi memastikan kecergasan kekal dan berada pada tahap terbaik untuk bertanding dalam kejohanan seterusnya,” terangnya.Sebenarnya ada banyak lagi yang saya cuba cungkil tentang rahsia latihan dan diet yang mungkin boleh dimanfaatkan untuk pelari marathon, namun malangnya tidak berkesempatan di sebabkan kekangan masa.
Mana tidaknya, ujian doping pun dilakukan agak lambat iaitu ketika sidang akhbar hampir saja bermula disebabkan keadaan fizikal beliau yang mengalami dehidrasi pada masa itu.
Paling membanggakan pada dirinya, selain menjadi pemenang sudah semestinya berjaya memecahkan rekod catatan masa KLSCM sebelum ini iaitu lebih tiga minit.
Untuk rekod, masa terpantas yang dicatatkan setakat ini bagi jarak 42 km masih dipegang Eliud Kipcoge dengan catatan masa 2:01:09.
Dalam pada itu, Pengarah Projek KLSCM Rainer Biemans berkata, walaupun perlu berdepan dengan ancaman Covid-19 dan kesibukan persiapan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) serta cuaca tidak menentu, acara larian tersebut berjaya diadakan tanpa sebarang masalah.
“Semuanya berjalan lancar dan pelari gembira dengan acara ini. Kami juga berharap dapat menambah baik program ini tahun depan kerana penambah baikkan itu sentiasa ada serta ia menjadi matlamat kami.
“Kami tidak mengetepikan kualiti dengan mengutamakan kuantiti pelari yang akan menyertai acara ini nanti,” jelasnya.
Rainer juga tidak menolak kemungkinan untuk mengadakan acara bagi kategori kanak-kanak pada tahun depan.
Ditanya tentang tarikh acara bagi tahun depan, Rainer berkata, masih tiada tarikh yang tepat bila ia akan diadakan bagi edisi 2023.
“Kita pernah adakan marathon pada April, Oktober, Jun dan sebagainya.
“Tahun ini kita umumkan Mei. Seperti kita tahu setiap penganjuran ada cabaran dan saya sudah bercakap dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pihak Bank Standard Chartered untuk mengadakan lebih awal sedikit,” jelasnya. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya