MELIHAT kelincahan kuda dalam disiplin sukan membabitkan haiwan ini memang memukau mata ramai orang.
Apa yang menarik haiwan mamalia ini mempunyai sifat seakan-akan manusia. Bayangkan sekiranya terdapat 50 ekor kuda dalam satu kawasan, ini bermakna ada 50 karakter berbeza yang perlu difahami terhadap haiwan kesayangan Nabi Muhammad SAW ini. Malah, bukan sesuatu yang pelik sekiranya kuda menarik minat ramai sama ada untuk menunggang atau memeliharanya.
Bagaimanapun, untuk mempelajari ilmu menunggang kuda juga memerlukan kesabaran tinggi. Terjatuh ketika menunggang kuda juga menjadi sebahagian asam garam dan paling penting jangan serik untuk menguasai ilmu ini.
Menurut jurulatih berkuda, Abu Dzar Zakaria, bagi mereka yang mahu melakukan aktiviti ini perlu memahami tiga pergerakan kuda paling asas iaitu berjalan (walk), trot dan canter.
“Trot bermaksud pergerakan kuda yang seakan-akan berjogging dengan kaki depan kanan dan kiri bergerak dalam satu gerakan manakala canter secara asasnya adalah pergerakan lebih pantas berbanding trot atau bahasa mudahnya berlari.
“Ketiga-tiga pergerakan berbeza ini memerlukan seseorang itu bertindak membetulkan posisi dan cara duduk bergantung kepada keadaan ,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Abu Dzar berkata, setiap individu yang mahu melakukan aktiviti berkuda memerlukan stamina kerana ia melibatkan pergerakan seluruh badan badan yang kuat dan perlu stabil.
“Biasanya kelas berkuda mengambil masa 40 minit dan ada pelajar yang fikir 40 minit singkat sedangkan sewaktu kelas bermula, aktiviti ini akan mengaktifkan keseluruhan badan untuk keseimbangan,” jelasnya.Tambahnya, untuk mahir sukan berkuda ini, seseorang itu perlu mengambil masa agak lama bagi memastikan badan mampu berada pada kedudukan seimbang pada setiap masa.
“Seseorang itu mampu menunggang kuda dengan sendiri biasanya mengambil masa lebih kurang lima atau enam kelas, bagaimanapun, untuk betul-betul mahir mengendalikan kuda dalam apa jua keadaan, seseorang itu perlu banyak belajar bergantung kepada disiplin yang diceburi,” jelasnya.
Bercerita tentang pengalamannya dalam sukan berkenaan, penglibatannya bermula sejak 2013 dengan menyertai kejohanan memanah berkuda sama ada di dalam dan luar negara antaranya Korea Selatan, Turki dan Indonesia.
Katanya, seseorang atlet dan kuda saling bergantung dan bekerjsama dalam satu-satu kejohanan dan segalanya boleh dilihat kepada disiplin yang diceburi dengan mempunyai peratusan berbeza-beza.
Jelasnya, untuk sukan kuda lasak, peratus kejayaan seseorang itu adalah 80 peratus bergantung kepada prestasi kuda manakala selebihnya penunggang.
Disiplin ini, katanya, memerlukan atlet menunggang kuda pada jarak jauh iaitu bermula antaranya 40 kilometer (km) sehingga 120 km tanpa ada lompatan. Setiap kuda juga wajib melakukan pemeriksaan heart rate pada setiap pusingan.
“Untuk sukan memanah berkuda pula, kadar kebergantungan seseorang itu dengan kuda adalah separuh antara atlet dan kuda. Penunggang dalam masa sama juga perlu meletakkan kepercayaan sepenuhnya pada kuda kerana rein (tali yang diikat pada kuda) akan dilepaskan untuk memanah.
“Sementara itu, sukan jumping pula adalah 40 peratus kepercayaan diletakkan pada kuda dan selebihnya individu. Penunggang juga perlu tahu pada masa bila kuda bersedia untuk melompat halangan tersebut. Untuk disiplin dressage, biasanya penunggang perlu mempunyai kemahiran 80 peratus dan selebihnya pada kuda,” terangnya.
Abu Dzar dalam masa sama turut menyatakan pandangan kepada mereka yang berkemampuan dan mahu menguasai ilmu ini agar tidak terus membeli kuda sebaik tamat kelas asas. Seseorang itu perlu menguasai karakter kuda yang pelbagai sehingga ada kalanya kuda agak agresif.
“Penunggang kuda perlu merasai pengalaman mengendalikan pelbagai jenis karakter kuda terlebih dahulu. Itu adalah sebaik-baiknya,” katanya. – Mingguan Malaysia
Memahami seni walk, trot dan canter
- Oleh MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI
- 13 November 2022, 5:09 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Aktiviti berkuda meriah, bangkit semangat patriotisme di Pantai Kempadang
17 September 2024, 4:00 pm
Mohd. Faris Haikal juara kategori utama kejohanan kuda lasak
28 Julai 2024, 3:13 pm
206 pelumba berentap Kejohanan Kuda Lasak Piala Yang Di-Pertuan Muda Terengganu
26 Julai 2024, 4:46 pm