Gemar makan daging diproses punca kanser usus - Utusan Malaysia

Gemar makan daging diproses punca kanser usus

Dr. Nurhashim Haron
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Statistik National Cancer Registry (NCR) 2012 sehingga 2016, menunjukkan peningkatan bilangan pesakit kanser kolorektal atau kanser usus.
Kanser kolorektal adalah kanser nombor dua tertinggi dikesan di negara ini selepas kanser payudara. Kanser ini lebih kerap dialami oleh lelaki berbanding wanita. Nisbah pesakir lelaki adalah 56 peratus berbanding 44 peratus wanita.
Kes kanser usus dalam kalangan kaum Cina didapati paling tinggi, diikuti Melayu dan India.
Dr. Nurhashim Haron, Pakar Bedah Am dan Kolorektal, Hospital Pakar KPJ Tawakkal KL berkata, kebanyakan pesakit didiagnos atau dikesan mengalami kanser usus pada tahap lewat iaitu tahap tiga dan empat.
“Pengesanan pada peringkat lewat ini akan memberikan kesan kurang baik terutama ke atas rawatan kanser yang diberikan.
“Lebih awal rawatan diberikan, peluang sembuh lebih tinggi. Sebaliknya jika lewat menerima rawatan, lebih sukar untuk merawatnya, “ katanya kepada Mingguan Malaysia.
Punca kanser usus
Kebanyakan kanser berlaku berpunca daripada masalah genetik iaitu masalah di dalam proses penyembuhan sel di dalam tubuh badan seseorang.
“Individu yang mempunyai sejarah keluarga yang pernah menghidap kanser usus, adalah berisiko tinggi untuk mengalaminya berbanding mereka yang tiada sejarah kanser usus dalam keluarga.
“Sebagai contoh, jika ada keluarga terdekat, ibu bapa, adik-beradik atau sepupu, bapa dan ibu saudara yang menghidap kanser ini, maka risiko akan menjadi tinggi, iaitu dua hingga tiga kali dibandingkan dengan mereka yang tiada sejarah keluarga menghidap kanser usus,” katanya.

Tanda-tanda
kanser usus
Dr. Nurhashim berkata, terdapat tanda-tanda atau gejala yang menunjukkan seseorang itu berkemungkinan mengalami kanser usus.
“Antara petandanya adalah mengeluarkan najis berdarah selepas membuang air besar. Pesakit juga akan mengalami tanda lain seperti perubahan dalam pembuangan air besar.
“Pesakit biasanya akan mengalami sakit perut yang berterusan. Mereka akan mengalami Tenesmus iaitu rasa nak membuang najis walaupun baru saja membuang air besar. Namun bila ke tandas, tiada najis yang keluar,”katanya.
Individu yang mempunyai Tenesmus mungkin akan meneran dengan kuat ketika membuang air besar untuk cuba mengosongkan usus mereka tetapi hanya sedikit najis keluar.
Tambah beliau, pesakit juga akan mengalami hilang selera makan dan penurunan berat badan.
Selain itu, pesakit kanser usus juga sering mengalami lesu-lesu badan. Keadaan menjadi lebih buruk sekiranya pesakit sememangnya mengalami anaemia atau kekurangan darah.
Ujian saringan mengesan kanser usus
Pengesanan awal kanser usus boleh meningkatkan peluang untuk sembuh selain menyelamatkan nyawa pesakit.
Ini boleh dilakukan dengan menjalani saringan kanser usus sekurang-kurangnya setiap 10 tahun sekali.
“Saringan boleh dibuat menggunakan pemeriksaan najis untuk mengesan darah atau sel-sel yang bahaya. Jika ujian najis adalah positif, pemeriksaan boleh diteruskan dengan menjalani ujian kolonoskopi.
“Bagi individu yang mempunyai sejarah keluarga, berusia 45 tahun ke atas, disyorkan untuk membuat ujian kolonoskopi setiap lima hingga 10 tahun sekali,” katanya.

Pembedahan,
buang polip
Kanser usus berpeluang tinggi untuk dirawat dan sembuh sekiranya berada di tahap awal dan tidak merebak ke tempat lain.
Dr. Nurhashim berkata, rawatan awal termasuk membuang polip atau ketumbuhan di dalam usus menggunakan kolonoskopi bagi mencegah kanser daripada berlaku.
“Apabila polip dikeluarkan, doktor tidak perlu memotong usus. Bagaimanapun, sekiranya tumor atau ketumbuhan berisiko merebak, pesakit mungkin perlu menjalani pembedahan kolektomi.
“Pembedahan kolektomi hanya dijalankan bagi kes yang berisiko atau sudah menjadi kanser. Pembedahan bertujuan membuang bahagian kanser terbabit, “ katanya.
Tambah beliau, pesakit yang berada pada tahap tiga dan empat, penambahan rawatan termasuk radioterapi atau kemoterapi perlu dilakukan selepas pembedahan.
Cara mencegah kanser usus
Kanser usus boleh dicegah dengan memastikan anda menjalani gaya hidup sihat terutama melalui diet atau pemakanan.
Selain menjalani ujian saringan kanser usus, kanser usus boleh dicegah dengan diet seimbang dan sihat.
“Jauhi makan daging yang diproses seperti sosej, bacon, nugget, kepingan burger dan semua makanan sejuk beku. Makan makanan segar dan seimbang.
“Elakkan juga tabiat merokok kerana ia meningkatkan risiko pelbagai jenis kanser termasuk kanser usus. Selain itu, pastikan berat badan tidak berlebihan atau obesiti,” katanya.
Amalkan makan buah-buahan dan sayur-sayuran segar bagi mendapatkan usus yang sihat.
Pastikan anda makan buah-buahan bersama kulitnya sekali bagi mendapatkan manfaat serat dari kulit berkenaan. Sebagai contoh, buah limau, buang kulit tetapi makan bersama urat-uratnya.
Bijirin penuh juga baik untuk kesihatan kolon anda. Ia membantu mengekalkan pergerakan usus yang teratur dan meningkatkan bakteria usus yang sihat. Pilih roti bijirin penuh, pasta, beras perang, oat atau barli.
Secara ringkas, Dr. Nurhashim menasihatkan supaya mengamalkan gaya hidup sihat dengan selalu beriadah atau bersenam bagi mencegah risiko kanser.
Jalani saringan awal dengan menjalani ujian najis. Sekiranya ada simptom hendaklah terus berjumpa doktor untuk menjalani ujian kolonoskopi.

Fakta
Gejala kanser usus:
Darah pada najis
Cirit-birit
Sembelit atau merasa masih ada najis atau tidak puas mem­buang air besar.
Sakit perut, kejang yang tidak hilang
Kehi­langan berat badan tanpa sebab

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya