Pemindahan rahim bantu wanita tanpa rahim hamil - Utusan Malaysia

Pemindahan rahim bantu wanita tanpa rahim hamil

Prof. Dr. Nur Azurah Abdul Ghani
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kini berusaha untuk membantu wanita tanpa rahim di negara ini hamil menerusi prosedur pemindahan rahim.
Usaha itu diketuai Prof. Dr. Nur Azurah Abdul Ghani dan Prof. Madya Dr. Ani Amelia Zainuddin yang bekerjasama dengan Persatuan MRKH (Mayer Rokinstansky Kauser Haser) Malaysia yang disertai oleh kira-kira 300 wanita tanpa rahim.
Menurut Dr. Nur Azurah, pemindahan rahim boleh dilakukan sekiranya wanita terbabit mempunyai kilang telur yang berfungsi.
“Ini kerana rahim dipindahkan itu memerlukan hormon di dalam badan penerima bagi membolehkan kitaran haid berlaku selepas pemindahan. Selain itu, wanita yang dilahirkan tanpa rahim adakalanya tidak mempunyai faraj.
“Oleh itu, pembentukannya perlu dilakukan menggunakan alatan ‘dilator’ atau pembedahan yang dilakukan sebelum prosedur pembedahan pemindahan rahim dijalankan,” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.
Sebelum ini, dunia digemparkan dengan kelahiran bayi selepas ibu mereka menjalani prosedur pembedahan pemindahan rahim di Australia dan Britain. Pemindahan rahim bukanlah prosedur baru dilakukan malah percubaan pertama dijalankan sejak tahun 2000 di Arab Saudi.
Malangnya, rahim itu terpaksa dibuang kerana penerima mengalami penolakan terhadap rahim tersebut. Sejak itu, beberapa negara lain juga melakukan prosedur itu, malangnya tidak membuahkan hasil.
Kata, Dr. Nur Azurah, pada 2012, sekumpulan penyelidik dari Sweden berjaya melakukan pembedahan pemindahan rahim ke atas tujuh wanita. Prosedur itu berjaya apabila bayi pertama dilahirkan pada 2014.
“Sehingga kini terdapat lebih 90 pembedahan pemindahan rahim dilakukan di seluruh dunia dan lebih 40 bayi berjaya dilahirkan dengan prosedur ini. Di negara ini, penderma berpotensi adalah ibu kepada wanita MRKH atau adik-beradik perempuannya.
“Setakat ini kita belum menjalankan saringan lagi walaupun ada seorang ibu yang sanggup mendermakan rahimnya kepada anak mereka yang mengalami MRKH dan ingin mendapatkan zuriat sendiri,” katanya.

Semak kembali fatwa
Bagi merealisasikan pemindahan rahim di negara ini, Dr. Ani Amelia sedang memohon menyemak semula fatwa pemindahan rahim oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 2015.
“Fatwa sebelum ini menyatakan, pembedahan ini bukanlah darurat dan tidak diharuskan setelah mengambil kira risiko kepada penderma dan penerima serta ketiadaan bukti kejayaan pada ketika itu. Namun, kajian terkini menunjukkan risiko kepada penerima serta penderma dapat dikurangkan dengan kemajuan kepakaran yang ada,” katanya.
Dr. Nur Azurah berkata, hasil kajian penyelidik UKM mendapati, ramai wanita MRKH mengalami kemurungan disebabkan tidak mampu melahirkan kerana tidak mempunyai rahim. Malah katanya, ada diceraikan kerana masalah ini.
“Dalam usaha menangani desakan dari wanita MRKH ini, kumpulan penyelidik menyediakan kertas kerja yang akan dibentangkan kepada Jakim untuk penyemakan semula fatwa sedia ada dalam masa terdekat,” katanya.
Kumpulan penyelidik ini juga berjaya mendapat khidmat nasihat daripada Pelapor Pembedahan Pemindahan Rahim dunia, Prof. Mats Branstorm.
Pada penghujung Julai 2023, Dr. Nur Azurah menganjurkan bengkel pembedahan pemindahan rahim menggunakan kambing yang mana Prof. Mats Branstorm dijemput sebagai penceramah utama.
“Bengkel itu disertai ramai pakar perubatan dari pelbagai bidang seperti gine-onkologi, anaestiologi, pembedahan vaskular, nefrologi serta patologis. Ia memberi pendedahan awal kepada pakar perubatan negara mengenai teknik yang akan digunakan ketika pembedahan sebenar.
“Dalam pembedahan pemindahan rahim, tiada unsur genetik yang dipindahkan dari penderma kepada penerima. Rahim diibaratkan sebagai rumah di mana janin (hasil pasangan yang sah) akan diletakkan untuk membesar,” katanya.

Komplikasi
Bagaimanapun Dr. Nur Azurah berkata, seperti pembedahan lain, sudah tentu pembedahan pemindahan rahim juga mempunyai komplikasi ke atas penderma serta penerima.
“Antaranya alahan kepada ubat bius, kecederaan usus, pun­di kendi, salur kencing serta pendarahan. Kesemua risiko ini dapat dikurangkan de­ngan kepakaran dalam bi­dang itu. UKM mempunyai kepakaran dan kemudahan yang mampu sahut cabaran ini.
“Bimbingan daripada Prof. Mats Branstorm mampu menjadikan impian ini realiti suatu masa nanti sekiranya prosedur pemindahan rahim dibenarkan oleh fatwa di negara ini,” jelasnya.

Fakta:

1. Definisi sindrom MRKH:
Dilahirkan tanpa rahim dan vagina sempurna, berkemungkinan rahim terlalu kecil atau tiada langsung dan vagina biasanya lebih pendek.
2. Gejala MRKH:
Tidak datang haid pada usia 16 tahun ke atas, selalunya salah satu tanda pertama Sindrom MRKH
Gejala MRKH Jenis 1 termasuk:
 Hubungan seksual yang menyakitkan atau sukar
 Kedalaman dan lebar faraj yang kurang
Gejala MRKH Jenis 2 adalah serupa dengan Jenis 1, tetapi mungkin juga termasuk:
 Komplikasi atau kegagalan buah pinggang akibat pembentukan atau kedudukan buah pinggang yang tidak normal, atau buah pinggang yang hilang
 Keabnormalan rangka (kebiasaannya pada vertebra tulang belakang)
 Kehilangan
pendengaran kecil
 Kecacatan jantung
 Komplikasi lain
berkaitan organ

2. Jenis Sindrom MRKH:
Kes Sindrom Mayer-Rokitansky-Küster-Hauser biasanya dipecahkan kepada dua jenis:
Sindrom MRKH Jenis 1– rahim dan faraj tidak normal tetapi organ lain tidak terjejas.
Sindrom MRKH Jenis 2- Wanita juga mengalami keabnormalan pada organ lain (kebiasaannya tiub fallopio dan biasanya buah pinggang dan tulang belakang).
Dalam kebanyakan kes MRKH, rahim yang kurang berkembang menjadikannya mustahil untuk mengandung. Bagaimanapun, ovari sihat membolehkan untuk mempunyai anak biologi melalui pembia­kan yang diban­tu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya