Bengkak, demam malam petanda kanser limfoma - Utusan Malaysia

Bengkak, demam malam petanda kanser limfoma

Dr. Nor Rafeah Tumian
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Berdasarkan laporan Registri Kanser Kebangsaan Malaysia, limfoma adalah kanser ke empat paling kerap berlaku di Malaysia, merangkumi 5.1 peratus dari jumlah keseluruhan penyakit kanser.
Kanser limfoma dikesan kerap dialami wanita dan lelaki berusia 15 hingga 24 tahun. Bagi lelaki, limfoma adalah kanser keempat paling kerap dalam kalangan umur 25 hingga 59 tahun. Ia juga adalah kanser kelima dalam kalangan mereka yang berumur 60 hingga 74 tahun.
Pakar Perunding Perubatan dan Hematologi Klinikal, Fakulti Perubatan UKM, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Prof. Madya Dr. Nor Rafeah Tumian berkata, pihaknya merawat di antara 50 hingga 60 kes yang baru didiagnosa dengan kanser limfoma setiap tahun.
“Limfoma adalah kanser darah yang berlaku apabila sel darah putih yang dipanggil limfosit tumbuh di luar kawalan. Ia terjadi apabila limfosit yang tidak normal akan membahagi dengan tidak terkawal dan selalunya berkumpul dalam nodus limfa lalu menyebabkan saiz nodus limfa lebih besar daripada normal,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Tambah Dr. Nor Rafeah, ia boleh menjejaskan sistem pertahanan badan dan jika tidak dirawat, sel kanser limfoma ini boleh merebak ke organ lain serta mengganggu fungsi organ terbabit.

TANDA-TANDA
Antara tanda kanser limfoma adalah bengkak pada kelenjar tubuh yang semakin membesar dan tidak sakit, disusuli demam di malam hari.
“Bengkak yang dimak­sudkan adalah pada bahagian leher, ketiak, bahagian kelangkang atau pangkal paha, berkemungkinan adalah disebabkan kanser limfoma.
“Tanda-tanda lain seperti berpeluh-peluh dengan banyak dan berlebihan terutamanya pada waktu malam juga perlu diberi perhatian,” katanya.
Beliau berkata, secara umumnya, kanser limfoma boleh diklasifikasi kepada dua kumpulan besar iaitu limfoma Hodgkin (HL) dan limfoma non-Hodgkin (NHL).
Limfoma NHL boleh dibahagi lebih lanjut kepada limfoma sel B atau sel T yang bergantung kepada sel limfosit yang terbabit.
Kanser limfoma juga boleh dikelaskan kepada limfoma ‘low grade’ dan ‘high grade’ berdas­arkan kepada keputusan histologi dan sifat limfoma itu sendiri.
“Sebagai contoh, limfoma ‘low grade’ akan mengambil masa bertahun untuk membesar dan selalunya tidak begitu berbahaya.
“Di Malaysia, sel B NHL paling kerap adalah ‘diffuse large B cell lymphoma’ (DLBCL) yang adalah salah satu jenis limfoma ‘high grade’,” katanya.

PUNCA LIMFOMA

Antaranya faktor persekitaran atau genetik. Bagaimanapun terdapat beberapa faktor lain berkemungkinan menyumbang kepada risiko berlaku limfoma.
“Faktor berkaitan boleh menjadi punca limfoma seperti peningkatan usia, penyakit, sejarah ubat atau rawatan yang menyebabkan sistem pertahanan badan menjadi rendah.
“Sebagai contoh, penyakit auto imun yang menggunakan ubat penindasan imun atau pernah menjalani rawatan kemoterapi untuk penyakit kanser lain yang berpotensi menyebabkan sistem imun badan rendah,” katanya.
Dr. Nor Rafeah berkata, jangkitan virus atau bakt­e­­ria seperti ‘human immunodeficiency virus’ (HIV), Epstein Barr virus (EBV), bakteria Helicobacter pylori, boleh menjadi faktor berlaku limfoma.
Seseorang yang mempunyai sejarah ahli keluarga terdekat yang menghidapi kanser, akan lebih berisiko menghidapi kanser seperti limfoma berbanding yang tiada sejarah keluarga menghidap kanser.

RAWATAN
Pemeriksaan sum-sum tulang adalah perlu memandangkan limfoma adalah sejenis kanser darah.
Rawatan bergantung kepada faktor berkaitan limfoma itu seperti jenis limfoma, tahap limfoma, bahagian tubuh yang mana limfoma terlibat atau merebak, dan kadar limfoma menjadi besar atau merebak.
Tambah Dr. Nor Rafeah, faktor lain yang diambil kira adalah usia pesakit, keadaan kesihatan secara keselu­ruhan, masalah kesihatan lain seperti jantung dan buah pinggang.
Bagi pesakit yang baru didiagnos menghidapi limfoma, rawatan induksi piawai adalah kombinasi ubat kemoterapi. Terdapat sesetengah pesakit yang sesuai diberi rawatan sebagai pesakit luar.
“Rawatan bagi kanser limfoma terdiri dari rawatan definitif dan suportif. Rawatan kemoterapi induksi yang piawai bagi DLBCL adalah kombinasi R-CHOP iaitu gabungan ubat Rituximab dengan ubat cyclophosphamide, doxorubicin, vincristine dan prednisolone.
“Ia bertujuan membunuh sel-sel limfoma sehabis mungkin. Namun begitu, tidak semua pesakit limfoma DLBCL dapat disembuhkan dengan rawatan R-CHOP, iaitu terdapat 30 hingga 40 peratus pesakit yang tidak respon dengan baik terhadap rawatan induksi,”katanya.
Ada juga pesakit tiada langsung respon terhadap rawatan ini. Buat masa ini tiada petunjuk khusus yang dapat membantu doktor mengenalpasti pesakit mana yang akan respon atau tidak terhadap rawatan piawai ini.
Bagi limfoma Hodgkin, rawatan induksi piawai adalah kombinasi kemoterapi ABVD (Adriamycin, bleomycin, vinblastine dan dacarbazine).
Pesakit pada tahap awal juga boleh diberikan rawatan kemoterapi dituruti dengan radioterapi.

BOLEH BERULANG
Walaupun mendapat respon yang baik terhadap rawatan kemoterapi induksi, penyakit ini masih boleh berulang (relaps).
Bagi pesakit limfoma NHL jenis DLBCL, kadar relaps adalah sekitar 30 hingga 40 peratus. Kadar relaps bagi limfoma Hodgkin adalah 10 hingga 20 peratus bagi pesakit di tahap awal dan 30 hingga 40 peratus di tahap lebih lanjut.
“ Jika relaps terjadi, pesakit perlu diberi rawatan kemoterapi yang lebih intensif untuk menyembuhkan atau mengawal limfoma itu. Pesakit juga berkemungkinan mendapat kesan sampingan seperti jangkitan kuman atau kesan yang boleh mengganggu fungsi organ tubuh seperti buah pinggang.
“Sekiranya limfoma berulang ini dapat dirawat dengan baik oleh rawatan induksi kedua, pesakit disarankan menjalani rawa­tan transplantasi sel stem hematopoietic secara ‘auto­logous’ (dari diri sendiri),” katanya.

Limfatik adalah:
jaringan saluran, nodus dan organ seperti limpa atau kelenjar timus bagi menghasilkan sel imun iaitu sel pertahanan dalam badan.

Limfosit adalah:
sejenis sel darah putih yang berfungsi untuk melawan jangkitan.

Nodus limfa adalah:
struktur berbentuk seperti ginjal yang bersaiz lebih kurang 1 hingga 1.5 cm yang terdapat di hampir keseluruhan tubuh manusia,
contohnya di bahagian leher, ketiak dan kelangkang atau pangkal paha.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya