Jururawat dan penjagaan spiritual - Utusan Malaysia

Jururawat dan penjagaan spiritual

Jururawat mempelajari kaedah membantu pesakit ketika bersolat dan taharah (bersuci).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM arena penjagaan kesihatan yang dinamik dan semakin kompleks, aspek spiritual menjadi salah satu perkara penting dalam merawat pesakit. Ia juga adalah salah satu cabang ilmu kejururawatan yang semakin diketengahkan ketika ini.
Ini kerana penjagaan spiritual yang baik dapat membentuk jati diri pesakit di samping meningkatkan ketahanan fizikal serta keupayaan mereka melawan penyakit. Ini telah dibuktikan secara saintifik oleh kajian-kajian terdahulu yang mana penjagaan spiritual pesakit kanser menunjukkan kesan positif dan meningkatkan kualiti hidup pesakit.
Penjagaan spiritual merujuk kepada perawatan yang memenuhi keperluan spiritual individu atau keperluan kepercayaan agama ketika mereka menangani rasa sakit, rasa kehilangan, kesedihan atau kesakitan.
Penjagaan ini mampu membantu mereka sembuh secara psikologikal juga fizikal, serta membina semula perhubungan mereka dengan orang sekeliling dan membina semula kesihatan spiritual mereka.
Sementara itu, apa yang dikatakan sumber-sumber spiritual adalah amalan atau ritual, kepercayaan, objek atau hubungan yang biasanya diperlukan seseorang sebagai satu sumber pengharapan dalam tempoh krisis ini. Ini termasuklah solat, zikir, kitab-kitab agama, tasbih, meditasi dan hubungan bersama keluarga, rakan dan pemimpin agama.
Sesetengah individu menemui makna kehidupan, memperoleh keselesaan dan harapan melalui amalan agama dan ritual kepercayaan masing-masing. Ini tidak hanya tertakluk kepada kelompok pesakit semata-mata, malah ia termasuk kelompok jururawat yang datang daripada pelbagai latar belakang kepercayaan dan agama. Apatah lagi di Malaysia yang merupakan sebuah negara yang mempunyai pelbagai etnik dan agama.
Maka apakah peranan jururawat dalam memenuhi keperluan spiritual ini? Tanpa mengira perbezaan agama dan kepercayaan, adalah penting untuk jururawat berusaha menyediakan sumber dan memenuhi keperluan pesakit terutamanya semasa berada di bawah jagaan mereka di hospital.
Ada kajian mendapati tanggungjawab ini diambil ringan oleh setengah jururawat kerana mereka merasakan elemen spiritual adalah sesuatu yang terlalu peribadi. Tidak kurang juga merasakan aspek berkaitan agama dan kepercayaan adalah sensitif dan tidak boleh dibincangkan secara terbuka. Mereka mempercayai kata-kata berkaitan agama dan kepercayaan hanya boleh dibincangkan bersama orang terdekat seperti keluarga. Ia menjadi tanggungjawab mereka sendiri untuk memenuhi tuntutan tertentu.
Seharusnya, tanggapan seumpama ini diperbetulkan kerana jururawat juga orang yang paling hampir dengan pesakit di saat mereka memerlukan bantuan. Ia boleh dilakukan dengan meningkatkan komunikasi yang baik, bersifat lebih prihatin dan juga mengambil tahu tentang keunikan tuntutan pelbagai agama dan kepercayaan.
Tiga kata kunci yang boleh dijadikan panduan bagi para jururawat adalah menghormati, berunding dan memudahcara.
Jururawat mampu untuk memenuhi keperluan spiritual pesakit sebaik mungkin selagi ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada pesakit.
Sebagai contoh, memberi sedikit masa untuk pesakit bermeditasi dan berada di samping pesakit di saat mereka memerlukan bantuan untuk melaksanakan kewajiban mereka sebagai penganut sesuatu agama mampu memberi impak yang signifikan terhadap keperluan spiritual klien.
‘Hospital mesra ibadah’ contohnya adalah satu inisiatif yang amat signifikan dalam memperkasa jururawat bagi memenuhi keperluan spiritual pesakit dengan memahami konsep ‘taharah’ dan ‘rukhsah’ antara intipatinya. Inisiatif seumpama ini amatlah diperlukan untuk meningkatkan lagi kompetensi jururawat dalam penjagaan secara holistik.
Selain itu, para jururawat dirasakan mampu untuk mening­katkan lagi kefahaman mereka tentang peri pentingnya keperluan spiritual dalam merawat pesakit dengan pembacaan dan perkongsian bersama rakan sekerja yang berbilang kaum.
Dalam pada itu, jururawat boleh merujuk kepada pesakit mereka sendiri berkaitan keperluan spiritual yang diperlukan serta merujuk kepada tokoh-tokoh agama bagi mendapatkan pandangan sekiranya mereka kurang yakin dengan tindakan yang akan dilakukan.
Sesung­guhnya kerjaya jururawat adalah satu kerjaya mulia dan mengem­balikan semula pengharapan jururawat kepada Yang Maha berkuasa adalah antara tugas mulia yang mampu dilakukan oleh para jururawat.
Semoga dengan usaha ini, para jururawat berupaya memenuhi keperluan pesakit secara holistik di samping menjadi individu yang lebih kompeten bukan sahaja dari aspek klinikal malah jasmani dan rohani.

Penulis ialah Pensyarah Fakulti Sains Kesihatan UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya