Mendengar mampu cegah bunuh diri - Utusan Malaysia

Mendengar mampu cegah bunuh diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia diadakan pada 10 September setiap tahun.
Tema untuk tahun ini masih mengekalkan tema yang digunakan sejak tahun 2021, iaitu Bertindak Segera, Harapan Terbina (Creating Hope Through Action).
Perbincangan berkaitan gejala membunuh diri selalu dianggap sebagai amat sensitif, namun perlu dilakukan dengan lebih terbuka dan lebih fokus. Tumpuannya adalah untuk mendidik masyarakat awam bahawa gejala bunuh diri boleh dicegah pada peringkat awal lagi sebelum menjadi satu wabak yang tidak terkawal.
Ketika ini pun, banyak kejadian bunuh diri dilaporkan di negara ini di dalam media arus perdana dan media sosial. Kebanyakannya berpunca daripada tekanan hidup. Pakar Psikiatri, Hospital Pakar KPJ Batu Pahat, Dr. Kartini Abdullah menjelaskan terdapat beberapa tanda yang biasa diperlihatkan atau ditunjukkan oleh seseorang yang berkeinginan untuk membunuh diri.
Antaranya, katanya, membicarakan keinginan untuk membunuh diri, tidak memiliki harapan terhadap situasi yang sedang mereka hadapi, perasaan sedih dan moody yang ekstrem (keterlaluan), gangguan tidur, perubahan pada keperibadian dan penampilan serta memencilkan diri daripada orang lain.
Menurut beliau, cara yang paling penting untuk membantu individu yang mempunyai niat membunuh diri adalah dengan menjadi pendengar yang terbaik.
Berada di sisi mereka dan menyokong mereka adalah perkara terbaik yang boleh anda lakukan dan membiarkan mereka bercakap apabila mereka sudah bersedia.
“Pastikan anda menunjukkan keprihatinan yang tulus terhadap mereka dan dengar luahan mereka tanpa penilaian.
“Kebanyakan mereka yang mempunyai hasrat untuk membunuh diri sebenarnya sedang bergelut dengan penyakit mental.
“Jadi, anda boleh menggalakkan mereka untuk mendapat bantuan profesional daripada pakar kesihatan mental, kaunselor ataupun kumpulan sokongan,” tambah Dr. Kartini kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Cara ini, katanya lagi, mungkin agak susah jika mereka tidak bersedia untuk mendapatkan bantuan profesional.
Bagaimanapun, terangnya, apa yang boleh dilakukan adalah dengan meyakinkan bahawa mereka tidak bersendirian dan keperluan untuk mendapatkan rawatan segera kerana ini adalah langkah penting ke arah pemulihan.
Menurut beliau, sekiranya sibuk atau mempunyai kekangan masa untuk sentiasa berada di sisi orang yang mengalami kemurungan, anda masih boleh menunjukkan bahawa anda peduli kepadanya dengan kekal berhubung melalui SMS, WhatsApp ataupun panggilan telefon.
“Mengekalkan hubungan dengan mereka yang menghidap kemurungan mungkin sukar kerana sikap mereka yang suka menyendiri.
“Bagaimanapun sentiasalah bersikap positif dan memberi sokongan kepada mereka kerana sokongan anda sangat bermakna untuk mereka,” tambah Dr. Kartini.
Nasihatnya, jika seseorang bercakap mengenai keinginan mereka untuk membunuh diri ataupun mempunyai tingkah laku yang mencurigakan, jangan cuba abaikan tanda tersebut dengan harapan ia akan pulih dengan sendirinya.
Ini sangat membahayakan kerana ia adalah petanda-petanda jelas bahawa mereka amat tertekan dan perlukan sokongan dan pertolongan.
“Intervensi yang anda lakukan mungkin dapat membantu mereka kekal selamat dan boleh mendapatkan rawatan yang sewajarnya.
“Jadilah orang yang mendengar tanpa spekulasi dan bantu mereka men­dapatkan sokongan dan bantuan yang mereka perlukan,” katanya. – Mingguan Malaysia 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya