Risau melampau tanda anxiety, perlu dirawat - Utusan Malaysia

Risau melampau tanda anxiety, perlu dirawat

Prof. Madya Dr. Muhammad Muhsin Ahmad Zahari
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Resah gelisah memikirkan sesuatu perkara sehingga keletihan menjadi petanda seseorang individu sedang mengalami kerisauan atau lebih dikenali sebagai anxiety.
Anxiety adalah masalah kerisauan yang menjurus kepada perkara yang masih belum berlaku. Penghidap biasanya terlalu memikirkan perkara yang tidak baik atau tidak disukai untuk berlaku.
Perunding Kanan Psikiatri Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Muhammad Muhsin Ahmad Zahari berkata, terdapat juga petanda fizikal lain seperti degupan jantung lebih laju, rasa mual dan loya, perut yang tidak selesa, rasa pening, berpeluh dengan banyak dan tangan menggigil.
“Sekiranya gejala ini menjadi serius, ia mungkin menganggu tidur seseorang itu. Ada juga merasakan tidak mampu menanggung gejala kerisauan ini sehingga berfikir untuk menamatkan kehidupan mereka.
“Penyakit kerisauan ini jika tidak dirawat dengan secukupnya, boleh mengganggu fungsi individu dalam keluarga, tempat kerja dan masyarakat, “ katanya kepada Mingguan Malaysia.
Tambah beliau, sebenarnya ramai mengalami gejala kerisauan pada masa-masa tertentu tetapi dalam kalangan penghidap anxiety, masalah kerisauan menjadi lebih serius dan mengganggu fungsi seharian mereka.
Setakat ini, tiada kajian khusus berkaitan jumlah penghidap anxiety di negara ini. Di Australia dan Amerika Syarikat, kadar kekerapan penghidap adalah sekitar 16 dan 29 peratus untuk penyakit kerisauan.
Penyakit kerisauan adalah jenis penyakit mental tertinggi dialami dalam kalangan pesakit mental ber­banding jenis penyakit mental lain.

Peristiwa lampau
Trauma akibat peristiwa yang tidak baik yang pernah dialami boleh menjadi punca utama seseorang mengalami masalah anxiety.
Dr. Muhammad Muhsin berkata, selain itu persekitaran yang tidak sihat boleh menyumbang kepada kerisauan seperti masalah dalaman, kewangan dan keluarga.
“Ini ditambah pula dengan adanya sejarah keluarga yang pernah mengalami anxiety. Faktor keturunan atau genetik juga boleh menyebabkan masalah ini timbul.
“Ada juga mengalami anxiety berikutan menggunakan bahan terlarang seperti amphetamines, ice dan syabu yang mendedahkan kepada penyakit kerisauan ini,” katanya.
Corak pemikiran atau personaliti seseorang juga boleh meningkatkan risiko mereka mendapat anxiety. Sebagai contoh, seorang yang terlalu mementingkan kesempurnaan, obsesif dan mereka yang begitu teliti dalam melakukan pekerjaan.
mengesan anxiety
Pada masa ini, ramai yang dengan rela mendakwa mereka mengalami masalah anxiety. Hakikatnya, memang gejala kerisauan dialami setiap orang tetapi tidak semua merupakan penyakit.
Dr. Muhammad Muhsin berkata, di dalam kehidupan perasaan risau adalah normal apabila berdepan detik cemas.
“Badan secara semulajadi bertindak balas dengan perkara cemas yang bercorak fight and flight reaction. Namun bagi mengesahkan seseorang itu ada penyakit kerisauan, ia memerlukan penilaian doktor atau pakar psikologi klinikal
“Anxiety boleh dikesan menerusi temu bual dengan pakar psikiatri. Selain itu, ada skala seperti Skala Penyakit Kerisauan Am (Generalized Anxiety Disorder Scale). Biasanya doktor perlu memahami banyak aspek seperti sejarah kehidupan pesakit, sama ada tekanan, sejarah lampau, peristiwa penting dalam hidup serta sejarah keluarga, “katanya.
Katanya lagi, selain memahami personaliti pesakit, doktor juga akan menyelidiki sama ada pesakit mengalami masalah fizikal seperti masalah tiroid, jantung atau sistem penghadaman.

Rawatan
Penghidap anxiety boleh dibantu dengan meningkatkan kefahaman orang ramai mengenai penyakit ini. Menerusi kesedaran, orang ramai khususnya saudara mara dan sahabat handai boleh memberikan sokongan kepada pesakit.
Dr. Muhammad Muhsin berkata, pendidikan kesihatan (psychoeducation) adalah penting dalam meningkatkan kefahaman pengidap terhadap penyakit kerisauan ini.
“Rawatan psikoterapi seperti terapi tingkahlaku kognitif boleh membantu. Bagi penyakit fobia atau masalah anxiety sosial, terapi pendedahan berperingkat mungkin juga membantu.
“Selain itu, penyakit seperti kerisauan am (Generalized anxiety disorder) atau masalah panik, ubat-ubatan juga digunakan untuk proses perawatan. Ubat-ubat ini perlu diambil secara berterusan mengikut nasihat doktor,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan supaya mengelakkan mengambil ubat tanpa nasihat doktor seperti ubat penenang semata-mata.
Rawatan tanpa merujuk kepada doktor pakar boleh mendedahkan kepada gejala lain seperti pengambilan ubat berlebihan kerana ketagihan ubat tidur atau penenang.
Peranan ubat ini adalah untuk mengurangkan gejala. Seterusnya mencegah penyakit daripada berulang.Kesesuaian ubat akan ditentukan oleh doktor.

Langkah untuk membantu pesakit supaya terhindar dari stigma dan diskriminasi

 ikut rawatan yang disarankan supaya tahap penyakit kerisauan adalah minima dan tidak mengganggu fungsi individu
 insuran kesihatan perlu turut melindungi penyakit mental seperti penyakit kerisauan
 Masyarakat amnya dari pelbagai golongan perlu empati terhadap pengidap penyakit mental
 pen­didikan terhadap orang ramai bahawa penyakit mental boleh dirawat, dan rawatan awal akan mengelak daripada penyakit mental menjadi lebih serius

Tips mencegah anxiety
 amalkan cara hidup sihat. Amalkan kecergasan fizikal seperti melakukan riadah secara tetap
 mengamalkan kehidupan dengan elemen-elemen psikologi yang positif
 meng­amalkan pengurusan kewangan secara berhemah mengikut ke­mampuan individu
 menjaga hubungan interpersonal supaya kekal baik bagi meminimakan kesan dari permasalahan yang mungkin timbul
 hindari merokok, arak atau dadah terlarang
 memastikan rakan-rakan dan saudara mara yang mendampingi kita adalah mereka yang bersikap positif kerana mereka akan mempengaruhi corak pemikiran kita
 berkongsi dengan individu yang boleh dipercayai apabila kita ada masalah
 cuba atasi masalah semasa masih kecil daripada membiarkan ia menjadi lebih parah dengan kemahiran penyelesaian masalah (problem solving). – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya