Kepala berpusing, Vertigo boleh sebabkan kemurungan - Utusan Malaysia

Kepala berpusing, Vertigo boleh sebabkan kemurungan

Dr. Tengku Ezulia Tengku Nun Ahmad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Kepala sakit, badan lemah, meng­gigil, rasa mual. Perut pula rasa senak seperti kembung. Sakit mula terasa di kepala dan leher serta tengkuk. Kepala berpusing-pusing setiap dua hingga tiga minit, tidak boleh tundukkan kepala langsung,” kata Julia, penghidap Vertigo.
Wanita berusia awal 50 an itu pernah mengalami serangan Vertigo secara tiba-tiba, lima tahun lalu. Berkongsi pengalamannya, Julia berkata, selepas makan ubat yang diberikan doktor, kepalanya masih terasa berpusing setiap lima hingga 10 minit. Bagaimanapun katanya, dia masih boleh bercakap seperti biasa namun tiada selera makan.
“Hari ketiga, masih mengalami sakit kepala dan perut kembung, macam masuk angin. Kepala masih bergoyang tetapi berkurangan sedikit, 20 minit sekali akan berpusing semula. Masuk hari kelima, keadaan saya pulih sepenuhnya, “ katanya.
Pakar Bedah Telinga, Hidung, Tekak, Kepala dan Leher, Hospital Pakar KPJ Tawakkal, Dr. Tengku Ezulia Tengku Nun Ahmad berkata, Vertigo adalah istilah yang mana seseorang itu mengalami pening yang seolah-olah persekitarannya sedang berpusing pusing.
Tanda-tanda seseorang mengalami vertigo, terasa badan tidak seimbang, persekitaran berpusing, telinga berdesing, pergerakan mata tidak normal, terasa mual malahan ada yang muntah dan berpeluh. Sesetengahnya hilang pendengaran.
“Vertigo biasanya dialami oleh penghidap Diabetes. Ia kerap berlaku ke atas wanita dan mereka yang berumur lebih 50 tahun serta mempunyai sejarah kecederaan di kepala. Malah vertigo juga boleh menyerang kanak-kanak.
“Berdasarkan dua kajian terbesar iaitu Mendel et al (2010) dan Neuhauser et al (2008), peratusan populasi yang mengalami sama ada pening atau Vertigo adalah diantara 4.9% dan 10.5%. Bagaimanapun, tiada data spesifik kes Vertigo dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya.

RAWATAN
Persoalan yang sering timbul di minda kebanyakan pesakit adalah Vertigo bolehkah dirawat atau disembuhkan? Kebiasaannya Vertigo akan hilang dalam beberapa hari apabila diberikan rawatan sewajarnya tetapi ada memerlukan tempoh lebih lama untuk sembuh sepenuhnya.
Dr. Tengku Ezulia berkata, rawatan yang diberikan kepada pesakit bergantung kepada punca berlakunya Vertigo. Bagaimanapun, beliau tidak menolak sesetengah jenis Vertigo boleh disembuhkan sepenuhnya.
“Rawatan adalah pelbagai dan bergantung kepada punca berlakunya Vertigo. Sebagai contoh, jika mengalami Vertigo yang disebabkan oleh jangkitan telinga, rawatan antibiotik boleh menghi­langkan Vertigo berke­naan.
“Bagai­ma­napun, ada beberapa keadaan yang menye­babkan Vertigo tidak dapat disembuhkan dengan mudah. Sebagai contoh, mereka yang mengalami kecederaan kepala atau leher lebih berisiko mengalami Vertigo kronik atau jangka masa panjang, “ katanya.

BOLEH ANCAM NYAWA
Dr. Tengku Ezulia berkata, vertigo berpotensi menjejaskan kualiti hidup pesakit dan lebih serius, penyakit ini juga boleh mengancam nyawa.
“Pesakit Vertigo juga boleh mengalami gangguan mood seperti kerisauan (anxiety) dan kemurungan (depresi). Mereka juga selalunya terpaksa mengehadkan aktiviti termasuk kerja dan bersosial.
“Anxiety dan Vertigo ada hubungan rapat. Anxiety boleh menyebabkan Vertigo apabila berlakunya peningkatan kortisol dan adrenalin dalam badan yang boleh mencetuskan pening,” katanya.
Tambah beliau, apabila seseorang mengalami Vertigo, risiko untuk mengalami Anxiety juga lebih tinggi kerana pesakit akan sangat risau dengan keadaan yang dialami.
Ini akan lebih teruk sekiranya pesakit pernah mengalami pengalaman buruk atau trauma sewaktu Vertigo itu berlaku. Hormon kortisol dan adrenalin akan mencetuskan rasa berpusing atau pening.

KAEDAH TANGANI VERTIGO
Selain ubat-ubatan, pesakit juga dinasihatkan tidak bangun dan berdiri terlalu cepat dari tempat duduk atau baring kerana mungkin boleh menyebab­kan pening.
“Jika anda mengalami pening semasa berjalan atau berdiri, adalah dinasihatkan untuk duduk terlebih dahulu. Bergerak secara perlahan-lahan dan tidak terlalu mengejut bagi mengu­rangkan gejala yang dialami.
“Anda juga dinasihatkan berehat dengan berbaring di dalam bilik sunyi dan gelap bagi mengu­rangkan rasa berpusing serta rasa loya. Elakkan stress kerana ia boleh memburukkan keadaan,” katanya.
Beliau juga menasihatkan pesakit supaya minum air mencukupi dan mengekalkan hidrasi untuk mencegah atau mengurangkan pening. Elakkan pengambilan kafein dan tembakau. Bahan ini boleh menyebabkan sekatan kepada aliran darah, menjadikannya lebih teruk.
“Kafein di dalam kopi boleh menyebabkan berlakunya Vertigo atau memburukkan lagi gejala Vertigo. Ini terutamanya bagi mereka yang mempunyai hipersensitiviti kepada kafein yang terdapat di dalam minuman berkenaan.
“Makanan yang mengandungi garam berlebihan juga boleh menyebabkan Vertigo. Garam menyebabkan pengekalan air berlebihan dalam badan. Ini boleh menjejaskan keseimbangan cecair dan tekanan dalam badan. Ia juga boleh mengganggu keseimbangan dalaman dan mekanisme keseimbangan di telinga dalam,” katanya.

Cara atasi serangan Vertigo:
 Buat senaman ringkas bagi menghilangkan gejala dialami.
 Tidur dengan kedudukan kepala tinggi sedikit menggunakan dua atau lebih bantal.
 Bangun perlahan-lahan daripada katil dan duduk di bucu katil selama seminit atai sebelum berdiri.
 Elakkan membongkokkan untuk mengambil barang.
 Elakkan mendongak untuk melihat sesuatu yang berada di tempat tinggi.
 Buat senaman yang boleh mencetuskan Vertigo, jadi otak terbiasa dengannya dan mengurangkan gejala.  Pastikan anda tidak terjatuh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya