KOLON adalah istilah perubatan untuk usus besar manakala rektum adalah bahagian yang menyambung usus besar dan dubur. Digabungkan, panjang kolon dan rektum adalah kira-kira 150 sentimeter. Kolon dan rektum adalah sebahagian daripada saluran gastrousus yang berperanan dalam sistem pencernaan dan penyahtinjaan. Adakah anda tahu bahawa setiap tahun, Mac adalah bulan kesedaran kanser kolorektal?
Kelaziman dan insiden
Kanser kolorektal adalah kanser ketiga paling lazim di dunia, dan berada di tempat kedua bagi punca kematian berkaitan kanser. Di Malaysia, ia adalah kanser paling kerap berlaku dalam kalangan lelaki (14.8 per 100,000 orang) dan kedua, paling kerap dalam kalangan wanita (11.1 per 100,000 orang).
Kanser kolorektal akan meningkatkan selari dengan peningkatan umur, terutamanya apabila mencecah 50 tahun dan ke atas. Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, kanser kolorektal di usia muda menunjukkan trend peningkatan yang membimbangkan. Analisis kajian di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), mendedahkan peningkatan kes untuk kumpulan umur 40-44 tahun dan 45-49 tahun, sejak 2003 hingga 2017.
Selain peningkatan umur, seseorang akan turut terdedah kepada risiko kanser sekiranya mempunyai sejarah keluarga kanser kolorektal ataupun polip. Faktor risiko lain yang cukup penting juga adalah dari segi diet pemakanan. Kajian kawalan kes terbaru di HCTM menunjukkan pesakit kanser kolorektal cenderung mengambil diet mengandungi serat rendah, pengambilan daging merah dan makanan yang sudah diproses. Semua ini termasuk dalam kategori makanan pro-radang. Tambahan lagi, berbanding individu sihat, pesakit kanser kolorektal didapati mempunyai berat badan berlebihan.
Apa itu polip kolon/usus?
Polip merupakan ketumbuhan kecil di lapisan dinding kolon. Pada kebanyakan kes, polip ini tidak berbahaya. Namun begitu, ia mempunyai potensi berkembang menjadi kanser kolorektal dalam masa 7-10 tahun. Potensi untuk menjadi kanser akan menjadi lebih tinggi sekiranya saiz polip melebihi 1 sentimeter, dan mempunyai ciri-ciri histologi tertentu seperti displasia.
Tanda dan gejala
Antara tanda dan gejala kanser kolorektal termasuklah:
1. Perubahan dalam tabiat pembuangan air besar (sembelit atau cirit-birit)
2. Darah dalam najis/ dubur berdarah
3. Ketidakpuasan dalam membuang air besar
4. Ketidakselesaan perut (kembung, sakit, kekejangan)
5. Hilang selera makan
6. Surut berat badan
7. Rasa lemah atau letih
Saringan kanser kolorektal
Agak malang kerana kebanyakan kes kanser kolorektal dikesan lewat, iaitu apabila sudah mencapai tahap 3 (sel kanser merebak ke nodus limfa berdekatan) dan tahap 4 (merebak ke organ lain seperti hati). Dua faktor utama menyumbang kepada perkara ini adalah kurangnya kesedaran mengenai kanser ini dalam kalangan masyarakat dan juga pengamal perubatan dan kurangnya galakan kepada masyarakat untuk menjalani ujian saringan.
Kementerian Kesihatan memberi garis panduan jelas mengenai ujian saringan bagi kanser kolorektal. Setiap individu yang berumur antara 50 -75 tahun (yang tidak bergejala), mereka disarankan menjalani ujian najis (Immunochemical Fecal Occult Blood) bagi mengesan kehadiran darah yang tidak kelihatan dengan mata kasar. Jika keputusannya negatif, ujian najis ini perlu diulangi setiap 2 tahun. Ujian najis ini boleh didapati hampir di semua hospital dan klinik kerajaan mahupun swasta. Alternatif kepada ujian najis ini adalah ujian kolonoskopi dan juga imbasan CT.
Terdapat keraguan dan ketakutan dalam kalangan masyarakat berkenaan dengan ujian kolonoskopi. Kolonoskopi merupakan pemeriksaan usus besar dengan menggunakan tiub panjang yang mempunyai kamera di bahagian hujungnya. Ia amat berguna dalam mengesan polip mahupun kelainan di lapisan dinding kolon.
Prosedur ini dilakukan oleh pakar gastroenterologi dan pakar bedah berpengalaman, dan secara umumnya, ia selamat dan rendah risiko komplikasinya. Sehari sebelum hari prosedur, pesakit akan diberi minum ubat persediaan usus, untuk pembersihan usus daripada najis. Pada hari kejadian, sebelum prosedur dimulakan, pesakit diberi ubat pelali dan pemantauan pernafasan serta nadi pesakit dijalankan sepanjang prosedur kolonoskopi.
Kesimpulannya, kanser kolorektal masih merupakan antara kanser paling lazim di Malaysia. Kesedaran tentang kanser ini dalam kalangan masyarakat umum perlu ditingkatkan supaya pengesanan dapat dilakukan pada peringkat awal. Kanser kolorektal boleh dicegah, dirawat, dan boleh dikalahkan!
Dr. Khairul Najmi Muhammad Nawawi ialah Pakar Perunding Gastroenterologi, Hospital Canselor Tuanku Muhriz dan UKM Specialist Centre, Cheras, Kuala Lumpur.