Risiko MRI untuk implan logam - Utusan Malaysia

Risiko MRI untuk implan logam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MRI atau Pengimejan Resonan Magnet adalah kaedah pengimejan diagnostik yang menggunakan medan magnet dan gelombang radio untuk menghasilkan gambaran imej komputer tiga dimensi. MRI diterjemahkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai Pengimejan Resonan Magnet.
Pengimbasan MRI adalah kaedah untuk melihat tubuh manusia tanpa menggunakan sinaran mengion seperti Sinar X. Oleh itu, ia tidak akan memberi kesan biologi sinaran kepada manusia dan tidak menyakitkan seperti mana dalam pembedahan.
MRI digunakan untuk mengesan atau melakukan diagnos penyakit seperti kanser, ketumbuhan yang tidak normal, kecacatan pada organ dalaman atau fisiologi sesuatu organ pada tubuh manusia.
MRI sangat sesuai untuk mengesan penyakit pada bahagian tisu lembut seperti otak, jantung, saraf tunjang, payudara, salur darah dan lain-lain lagi.
Menurut Juru X-ray, Hospital Pakar KPJ Puteri, Nur Sabrina Mohd. Istani, MRI adalah prosedur pengimejan yang menggunakan medan magnet dan gelombang radio yang kuat untuk menghasilkan imej struktur dalaman badan.
Katanya, pengimbas MRI yang lebih maju seperti pengimbas MRI 3T mengandungi medan magnet yang lebih tinggi berbanding 1.5T.
“Medan magnet yang kuat ini boleh menjejaskan implan perubatan yang mengandungi logam atau magnet. Setiap mesin MRI mempunyai risiko kepada pesakit yang mempunyai implan logam yang tertanam dalam badan tanpa mengira jumlah medan magnet yang dikenakan daripada pengimbas.
“Pesakit, penjaga, penyedia penjagaan kesihatan dan ahli teknologi MRI perlu mengetahui risiko dan mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan kejadian buruk yang mungkin berlaku ketika MRI dilakukan,” terangnya.
Tambah Nur Sabrina, implan adalah biomaterial yang dimasukkan ke dalam atau pada permukaan badan pesakit untuk tujuan rawatan. Ia semakin penting dalam perubatan terutamanya dalam rawatan ortopedik.“Banyak implan adalah prostetik iaitu bertujuan menggantikan bahagian badan yang hilang. Ia diperbuat daripada keluli tahan karat, logam ferus, sangat berkesan kepada medan magnet yang kuat.
“Peranti perubatan elek­tronik juga dianggap sebagai implan yang dibuat untuk memberikan sokongan kepada organ dan tisu. Sese­tengah implan tidak sesuai untuk pengimbas MRI,” jelasnya.
Tambah beliau, komplikasi berkaitan implan logam dalam MRI berinteraksi antara medan magnet yang kuat dan implan logam boleh mengakibatkan beberapa kesan buruk kepada pesakit dengan implan logam.
“Kesan buruk dan risiko termasuk sakit dan ketidakselesaan semasa dan selepas imbasan, bengkak atau kerosakan kulit pada magnet implan, terasa panas atau terbakar di tapak implan.
“Selain itu, ia mengakibatkan implan logam dialihkan dari tapak pembedahan, kehilangan fungsi peranti sepenuhnya atau sebahagian keselamatan MRI untuk implan,” jelasnya.
Tambah Nur Sabrina, disebabkan kebimbangan yang tinggi terhadap kesan buruk berkaitan implan logam dalam MRI, implan logam yang lebih baru diperbuat daripada bahan bukan ferus kini digunakan secara meluas.
“Bahan-bahannya diperbuat daripada aloi titanium yang merupakan pilihan selamat dan terbukti serasi dengan MR. Selain itu, implan yang lebih baru dilabelkan dengan penarafan untuk keselamatan MRI.
“Justeru, pesakit yang memerlukan MRI mesti memberitahu penyedia penjagaan kesihatan dan ahli teknologi MR tentang implan logam supaya mereka boleh mengambil langkah berjaga-jaga dan melakukan pemeriksaan implan sebelum membenarkan MRI.
“Sekiranya pesakit mengalami salah satu kesan buruk berkaitan implan logam semasa imbasan, adalah diingatkan agar pesakit segera melaporkan kepada pakar teknologi MRI dengan membunyikan butang kecemasan yang diberikan sebelum imbasan,” katanya.
Justeru, katanya, penyedia penjagaan kesihatan dan teknologi MRI boleh mempertimbangkan jenis pengimejan lain jika sesuai secara klinikal.

Pesakit dengan implan logam tidak boleh memasuki mana-mana bilik MRI tanpa memberitahu ahli teknologi MR jika mereka mempunyai mana-mana implan berikut:

Implan koklea (telinga) atau alat bantu pendengaran.
Injap jantung tiruan.
Pam infusi ubat yang diimplan.
 Anggota tiruan atau prostesis sendi logam.
 Klip aneurisme otak.
 Gegelung logam/stent diletakkan di dalam saluran darah.
 Pin logam, skru, plat, stent atau kokot pembedahan.
 Beberapa IUD .
 Neurostimulator atau peranti boleh aturcara yang ditanam.
Defibrilator jantung dan perentak jantung.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya