Rawatan DIBH untuk kanser payudara - Utusan Malaysia

Rawatan DIBH untuk kanser payudara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Momokkan rawatan kanser menyakitkan, membuatkan ramai lebih rela ‘berdiam diri’ mendapatkan rawatan, selain ada yang lebih mempercayai kaedah alternatif kerana beranggapan penyakit itu boleh disembuhkan dengan cara itu.
Keadaan ini membuatkan kebanyakan pesakit hanya mendapatkan nasihat doktor selepas kesihatannya bertambah teruk, badan semakin lemah dan selepas didiagnosis, sel kanser sudah merebak lebih serius.
Menurut Pakar Konsultan Onkologi dan Radioterapi Hospital Gleneagles Pulau Pinang, Dr. Lee Wei Ching, pesakit kanser payudara takut mendapatkan rawatan kerana bimbang akan kesan sampingan.
“Saya bagi contoh, terapi sinaran boleh mengekang penyebaran sel kanser selepas pembedahan, tetapi gelombang tenaga tinggi yang dipancarkan semasa proses itu boleh menyebabkan berlakunya kerosakan jangka panjang pada tisu dan organ normal di sekelilingnya.
“Mungkin ramai masih tidak tahu terdapat rawatan baharu seperti terapi sinaran Deep Inspiration Breath Hold (DIBH) yang mengurangkan potensi kerosakan jantung dan paru-paru dalam rawatan kanser payudara dan paru-paru,” jelasnya. Beliau memberitahu, kanser payudara disebabkan pelbagai faktor seperti pemakanan, aktiviti fizikal dan keadaan sekeliling.

“Faktor-faktor itu sukar untuk dikenal pasti. Namun begitu, pemakanan yang sihat dan senaman dapat mengurangkan risiko. Justeru, penting untuk wanita melakukan pemantauan dan mengesan awal tanda-tanda kanser ini,” katanya.
Dalam pada itu, pembedahan dan terapi merupakan cara merawat kanser payudara yang paling lazim dilakukan. Selain rawatan itu, pesakit boleh lakukan perubahan dalam gaya hidup dan mengambil ubat-ubatan alternatif untuk merawat kanser payudara.

“Pesakit yang menjalankan rawatan kanser perlulah berbincang dengan doktor terlebih dahulu mengenai rawatan yang dipilih. Kebanyakan rawatan selamat dilakukan, tetapi ia datang dengan kesan sampingannya yang tersendiri,” jelasnya.Bagi pesakit yang telah menjalani pembedahan, mereka mungkin memerlukan terapi radiasi.
“Terapi radiasi adalah sejenis rawatan yang menggunakan sinaran atau partikel bertenaga tinggi untuk membunuh sel kanser.
“Bagaimanapun, terapi tidak akan dimulakan selagi kesan pem bedahan belum baik sepenuhnya. Jika pesakit menerima rawatan kemoterapi, terapi radiasi dijalankan selepas rawatan kemoterapi selesai,” ujarnya.
Terapi radiasi boleh dilakukan dengan dua cara iaitu radiasi luaran dan dalaman. Radiasi luaran akan diberikan dari luar badan ke kawasan payudara. Terapi radiasi jenis ini adalah yang paling lazim untuk merawat kanser payudara manakala radiasi dalaman dilakukan setelah pesakit melakukan pembedahan untuk membuang tumor.
Pasukan perubatan di seluruh dunia telah melakukan kajian untuk meminimumkan kesan sampingan radioterapi dan membangunkan teknologi baharu untuk merawat kanser tanpa membahayakan tubuh.
“DIBH secara umumnya disasarkan kepada rawatan payudara kiri. Kajian menunjukkan DIBH mengurangkan kesan sampingan kardiopulmonari. Berbanding radioterapi konvensional, terapi sinaran ini dikaitkan dengan 10.6 peratus kurang kecederaan jantung. Selain itu, berbanding radioterapi konvensional, terapi sinaran inidikaitkan dengan 4.2 peratus kurang kerosakan paru-paru,” katanya.
Katanya, kesan sampingan terapi sinaran DIBH adalah sama seperti radioterapi kanser payudara standard.
“Kesan sampingan termasuk kulit merah kering, fibrosis tisu kulit, fibrosis paru-paru, keletihan, sakit tekak dan lain-lain.
“Namun, dengan pelarasan skop radioterapi, ia boleh mengurangkan kerosakan pada jantung dan paru-paru. Bilangan sesi rawatan terapi radiasi DIBH adalah setanding dengan radioterapi konvensional, kecuali sesi rawatan yang pertama memakan masa dan memerlukan perancangan yang lebih teliti oleh pasukan perubatan,” jelasnya.

Bertindak cepat
Hilangkan rasa takut dan bertindak cepat apabila mengalami simptom kanser payudara seperti perubahan struktur, payudara membengkak, benjolan pada bahagian ketiak, lengan dan payudara. Pada peringkat awal ia tidak berasa sakit.
Berjumpa doktor. Pengesanan awal boleh mencegah risiko kanser serius yang pastinya memerlukan lebih banyak kos rawatan untuk kemoterapi dan sebagainya.

Saringan mamogram
Salah satu punca kanser disebabkan usia meningkat. Apa yang boleh dilakukan untuk mengurangkan risiko adalah dengan menjalani saringan mamogram setiap dua tahun.

Kenal pasti
ketulan kanser
Ketulan kanser selalunya berasa keras dan sukar digerakkan seperti biji benih lemon. Ia boleh berlaku dalam pelbagai bentuk dan saiz. Ketulan itu boleh diperiksa sendiri dengan merasa menggunakan jari bermula dari ketiak ke tulang selangka dan tulang rusuk yang bawah sekali. Untuk mengetahui keputusan lebih tepat, buat pemeriksaan mamogram secara berjadual iaitu setiap satu hingga dua tahun sekali.

Merujuk pakar profesional
Pesakit harus sedar vitamin dan ubatan tradisional tidak boleh mencegah dan merawat kanser. Pesakit harus mendapatkan rawatan dan merujuk ahli profesional.
Jangan mudah terpedaya dengan produk makanan tambahan yang menjanjikan penyembuhan dan manfaat kesihatan hingga tidak menerima rawatan di hospital kerana beranggapan ubat moden tidak selamat. – MINGGUAN MALAYSIA 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya