Menangani kes trauma dan kemalangan - Utusan Malaysia

Menangani kes trauma dan kemalangan

Dr. Ahmad Wildan Azhar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tujuh hari lalu, Khairi Tarmizi, 30 (bukan nama sebenar) dikejarkan ke unit kecemasan di salah sebuah hospital berdekatan rumahnya. Dia tiba-tiba sesak nafas selepas bersenam.
Dalam keadaan dilema kerana tiada rekod masalah kesihatan, Khairi terpaksa akur ditolak masuk ke zon kuning. Rupa-rupanya, doktor mendapati paru-paru Khairi bocor sehingga oksigen di dalam badannya turun mendadak.

“Alhamdulillah, tindakan pantas datang ke unit kecemasan telah menyelamatkan nyawa saya,” ujarnya.
Kes Khairi Tarmizi adalah salah satu bukti penerimaan pesakit secara tiba-tiba di unit kecemasan. Pastinya dalam keadaan pandemik Covid-19 yang masih mengganas ini, Unit Kecemasan, Trauma dan Kemalangan di hospital adalah lokasi penting.

Situasi itu turut diakui oleh Ketua Pegawai Perubatan, Bahagian Kecemasan, Pantai Hospital Laguna Merbok, Dr. Ahmad Wildan Azhar.

Menurut beliau, peranan utama bahagian kecemasan adalah memberi rawatan awal yang penting kepada pesakit.

“Ini termasuk memastikan pesakit berada dalam keadaan stabil dari segi pengudaraan, pernafasan, pengaliran darah dan kecacatan Jika pesakit sudah distabilkan, langkah seterusnya adalah memastikan jenis kecederaan dialami pesakit dengan cara pemeriksaan fizikal penuh,X-ray dan imbasan jika perlu sebelum pesakit dirujuk kepada pakar.

“Jika kecederaan pesakit dianggap ringan, kebiasaannya pesakit dibenarkan pulang selepas rawatan awal diberikan,” katanya.

Tambah Dr. Wildan, purata kes bahagian kecemasan kebiasaannya bergantung kepada kapasiti hospital sama ada awam atau swasta dan kepadatan penduduk di sekitar hospital terlibat.

Sebagai contoh, Hospital Pantai Pulau Pinang mempunyai purata kes dalam 30 hingga 50 pesakit sehari. Jika dibandingkan dengan hospital awam, kebiasaannya jumlah pesakit boleh mencecah dua hingga tiga kali ganda jumlah tersebut.

“Kakitangan perubatan seperti pegawai perubatan, jururawat dan penolong pegawai perubatan adalah tonggak utama pengurusan pesakit. Selain itu, juru xray, pegawai farmasi serta juruteknologi makmal perubatan adalah individu yang banyak memberi sokongan kepada bahagian kecemasan secara menyeluruh,” ujarnya,

Terang Dr. Wildan, kebiasaannya pesakit akan dinilai di bahagian triage untuk menentukan tahap keseriusan kes.

Terdapat tiga kategori biasa digunakan oleh bahagian kecemasan iaitu Merah (Kritikal) yang perlu dilihat serta-merta, Kuning (Berisiko Tinggi) yang perlu dilihat dengan segera atau kurang dari 30 minit dan Hijau (Tidak Kritikal).

“Mana-mana hospital akan memberi prioriti kepada pesakit kategori Merah dan Kuning untuk dilihat dan distabilkan terlebih dahulu kerana boleh melibatkan kehilangan nyawa.

“Oleh itu, pesakit kategori Hijau kebiasaannya mengambil masa lebih lama untuk dilihat oleh pegawai perubatan,” jelasnya.

Dr. Wildan menambah, petugas-petugas perubatan di hospital secara keseluruhannya sudah divaksin dan rata-rata memiliki ketahanan yang lebih kuat terhadap Covid-19. Walaupun sudah divaksin, petugas sentiasa menggunakan PPE.

PERSEDIAAN DI BAHAGIAN KECEMASAN

Paling kurang ada seorang waris yang sentiasa bersedia di luar bahagian kecemasan, terutamanya bagi golongan warga emas yang mungkin sukar memberikan sejarah penyakit serta ubat-ubatan.

Waris pesakit juga perlu patuh kepada garis panduan disediakan pihak hospital. Antara contohnya:

Tidak meluru masuk ke bahagian kecemasan sehingga mengganggu kakitangan perubatan merawat pesakit

Tidak mengambil gambar atau video tanpa kebenaran.

Mematuhi SOP seperti pemakaian pelitup muka dan penjarakan sosial.

Hantar seorang atau dua waris yang dapat membuat keputusan muktamad apabila doktor perlu melakukan rawatan kecemasan. Masalah yang selalu dihadapi waris tidak dapat membuat keputusan sebab perlu meminta kebenaran daripada waris lain yang tiada di bilik kecemasan. – MINGGUAN MALAYSIA

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya