Mira seringkali mengalami masalah lenguh pinggang dan cramp pada bahagian abdomen bawah. Keadaan ini berlarutan sehingga berbulan-bulan lamanya sehinggalah rakan sekerjanya mengesyorkan agar membuat pemeriksaan kerana Mira juga bakal mendirikan rumah tangga.
Masalah ini membuatkan dia berasa tidak selesa, sakit pinggang bahagian belakang yang terlalu kerap dan masalah keputihan yang mengganggu aktiviti harian.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), statistik 2010 hingga 2015 menunjukkan kadar kesuburan pasangan di Malaysia semakin merosot sehingga 1.97 kanak-kanak untuk setiap isi rumah.
Melalui simptom dialami Mira, mungkin dia mengalami masalah radang pelvis tetapi masih melengah-lengahkan untuk membuat pemeriksaan di hospital.
Dianggarkan dua peratus wanita akan mengalami radang pelvis tetapi ini mungkin satu anggaran yang kurang tepat kerana kebanyakan wanita tidak mahu mendapatkan rawatan. Penyakit ini juga sukar dikesan kerana ia tidak menunjukkan gejala bagi kebanyakan pesakit.
Menurut Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Pantai Sungai Petani, Kedah, Dr. Norhayati Kasim, radang pelvis atau pelvic inflammatory disease (PID) adalah keadaan berlakunya jangkitan kuman di bahagian pelvis (uterus, saluran fallapion, ovari dan kawasan sekitarnya).
Kebiasaannya kuman yang menyebabkan jangkitan ini adalah Chlamydia trachomatis dan Gonorrhea. Selalunya disebarkan secara hubungan seksual.
“Tetapi tidak semestinya disebabkan oleh STD semata-mata, ia juga boleh terjadi kepada pesakit yang menggunakan IUCD sebagai kontraseptif disebabkan jangkitan berlaku semasa kelahiran, keguguran ataupun sebarang prosedur atau pembedahan di bahagian pelvis dan juga boleh terjadi dalam kalangan pesakit diabetes yang tidak terkawal gulanya.
“Biasanya pesakit akan mengalami tanda-tanda seperti sakit-sakit di ari-ari atau bawah abdomen. Selain itu, sakit semasa membuang air kecil atau pun sakit semasa bersama suami.
“Lebih teruk, berlakunya keputihan yang banyak dan berwarna kuning kehijauan dan berbau daripada vagina. Diikuti demam panas yang tinggi dan sakit pinggang belakang,” jelasnya.
Tambah beliau, penyakit ini boleh diubati. Pesakit memerlukan rawatan antibiotik dengan segera.
Sekiranya terjadinya nanah atau abses di bahagian pelvis, nanah atau abses tersebut perlu dikeluarkan secara pembedahan laparaskopi.
Dalam kes kronik, penyakit ini boleh membunuh sekiranya tidak diubati dan boleh menyebablan sepsis iaitu jangkitan kuman ke seluruh badan dan organ-organ. Seterusnya boleh menyebabkan kegagalan organ dan kematian.
“Untuk mengenal pasti dan mendiagnosa PID, selalunya berdasarkan simptom dan gejala yang terdapat pada pesakit, ujian speculum dan ultrasound di bahagian pelvis perlu dilakukan dan seterusnya sampel yang diambil di vagina dihantar untuk ujian makmal,” katanya.
Dr. Norhayati memberitahu, masalah kesuburan berlaku tidak kira jantina kerana statistik menunjukkan faktor lelaki dan wanita menyumbang kepada masalah kesuburan adalah sama.
Bagi wanita, ketidaksuburan disebabkan sistem peranakan bermasalah seperti ovari tidak menghasilkan ovum ketika ovulasi disebabkan pelbagai punca.
“Antara puncanya, masalah ovari seperti menopaus awal, menghidap penyakit sindrom ovari Polisistik (PCOS), sakit kronik berpanjangan seperti diabetes, kanser atau kegagalan buah pinggang, kesan sampingan ubat-ubatan an seperti kemoterapi atau pengambilan dadah, masalah genetik dan kemungkinan masalah radang pelvis.
“Masalah radang pelvis ini selalunya menyebabkan keadaan berlakunya perlekatan yang teruk di bahagian organ peranakan wanita dan risiko berlakunya kecederaan ovari dan tiub fallapion semasa proses mengeluarkan nanah atau abses semasa pembedahan,” ujarnya.
Tambah beliau, keadaan ini akan menyebabkan kesuburan wanita terjejas selepas pesakit sembuh daripada jangkitan ini.
Satu daripada lapan pesakit selalunya mengalami masalah kesuburan. Jika PID pesakit ringan dan cepat dirawat, kebarangkalian untuk hamil adalah tinggi. Satu episod PID tidak berkemungkinan menjejaskan kesuburan.
“Jika wanita yang menghidap PID teruk atau tidak dirawat, kebarangkalian tiub tersumbat adalah tinggi. Episod PID yang berulang meningkatkan risiko tidak dapat hamil.
“Kerosakan pada tiub falopian yang diakibatkan oleh PID juga meningkatkan risiko kehamilan luar rahim,” jelasnya.
Justeru, rawatan antibiotik dengan segera adalah sangat penting untuk memastikan kuman tidak merebak.
Beliau turut menasihatkan, sekiranya terdapat sebarang perubahan pada cecair vagina, perlulah segera berjumpa doktor untuk memastikan sama ada ia disebabkan oleh PID atau jangkitan biasa. – Mingguan Malaysia
Masalah radang pelvis jejaskan kesuburan?
- Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
- 3 Julai 2022, 5:41 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Masih tebar roti canai, Farhan Mustapha akui tidak rasa malu
22 Disember 2024, 2:41 pm
Penjual kelapa didakwa rogol anak saudara teman wanita
22 Disember 2024, 2:22 pm
Polis siasat resit hina Islam, Melayu di Johor
22 Disember 2024, 2:18 pm