PADA musim perayaan ini, ramai perantau memandu pulang ke kampung halaman untuk menyambut berhari raya bersama keluarga.
Sebagai pemandu, mereka perlu pastikan cukup rehat mental dan fizikal, lebih-lebih lagi kepada yang menghadapi perjalanan jarak jauh bagi mengelakkan kejadian terlelap semasa memandu atau microsleep.
Bagaimana ia boleh berlaku? Ini kerana segala input daripada deria pendengaran dan penglihatan tidak dapat diproses otak. Selalunya ia berlaku dalam masa satu hingga 30 saat.
Microsleep ini terjadi terutamanya sewaktu memandu dan ia sangat membahayakan diri dan keluarga yang bersama-sama kita.
Pakar Bedah Telinga, Hidung, Tekak, Dengkur dan Tidur, Hospital Pakar Antarabangsa Beacon, Dr. Raymond Tan berkata, microsleep terjadi tanpa amaran dan antara penyebab sering berlakunya kemalangan di jalan raya kerana apabila badan keletihan, otak akan ‘tertidur’ selama beberapa saat, walaupun mata terbuka dan tangan memegang stereng.
“Kebanyakan yang mengalami microsleep tidak sedar mereka tertidur. Sebenarnya ia terjadi berulang kali dalam beberapa minit atau sejam. Apabila terjaga, kenderaan tiba-tiba sudah terbabas, masuk parit atau terlanggar kereta di hadapan.
“Antara simptom seseorang itu mungkin menjadi mangsa microsleep adalah lambat bertindak balas terhadap maklumat, pandangan kosong, mata berkelip lebih kerap, menguap berlebihan dan tersentak tiba-tiba,” katanya.
Tambah Dr. Raymond, kebiasaannya yang menjadi mangsa microsleep itu merasakan dia masih memandu sedangkan sudah shut down dan ini boleh berlaku ketika mata masih terbuka.
“Selalunya kejadian ini berlaku ketika seseorang memandu waktu puncak mengantuk antara jam 3 hingga 5 pagi dan antara 2 hingga 4 petang.
“Lazimnya potensi menjadi mangsa microsleep adalah apabila memandu jarak jauh. Selain itu, terdapat faktor lain seperti waktu pemanduan, keadaan kesihatan dan kecergasan pemandu, bentuk dan permukaan jalan raya sertakeadaan cuaca boleh menyebabkan mengantuk,” jelasnya.
Dr. Raymond memberitahu, golongan berisiko mengalami microsleep ialah pekerja syif seperti pemandu lori dan bas disebabkan perubahan corak pola tidur.
“Pukul 12 tengah malam hingga 6 pagi adalah waktu semula jadi badan berehat. Jika perubahan waktu tidur terganggu, badan mula letih dan mengantuk.
“Mengganggu corak tidur normal boleh menyebabkan keletihan, dan mengantuk siang hari. Mereka yang mengalaminya juga berisiko membuat keputusan salah, masalah dengan kewaspadaan dan sukar memberi tumpuan,” jelasnya.
Dalam pada itu, katanya, microsleep tidak hanya terjadi semasa memandu, malah boleh berlaku semasa menonton televisyen, ketika berada di dalam kelas, menghadap komputer dalam jangka masa panjang dan sebagainya.
“Jadi, jangan paksa diri untuk terus memandu atau bekerja dalam keadaan badan letih dan mengantuk.
“Berhentilah di mana-mana tempat selamat dan lelapkan mata sebentar. Lima minit pun cukup atau berhenti setiap dua atau tiga jam jika pemanduan jarak jauh,” katanya.
Selain itu, terdapat beberapa rawatan mudah boleh diamalkan pemandu.
Antaranya, perlu tidur mencukupi dan berkualiti (tujuh hingga sembilan jam) sebelum memulakan perjalanan yang panjang.
Untuk itu, pemandu hendaklah melaraskan gaya hidup dan rutin tidur.
Sebagai contoh, elakkan mengambil kafein sebelum tidur, elakkan terlalu aktif sebelum tidur, padamkan lampu atau bunyi sekeliling.
“Jika terpaksa memandu, anda boleh minum dua cawan kopi dan meneruskan perjalanan.
“Pun begitu, sebaik-baiknya, mendapatkan rehat yang cukup dan mengelakkan pergantungan kepada kafein,” terangnya.
Simptom-simptom microsleep
• Tersengguk-sengguk
• Kelopak mata semakin tertutup atau kuyu
• Mata terkebil-kebil
• Merenung dalam ke arah sesuatu yang kosong
• Tak boleh nak fokus
• Lupa kejadian pada waktu terakhir
Dalam situasi ini, peranan bagi penumpang hadapan amat penting. Anda boleh mengamalkan langkah-langkah berikut bagi membantu si pemandu sentiasa berada dalam keadaan sedar:
Bawa bersembang dengan pemandu untuk elakkan rasa mengantuk.
Perhatikan cara pemanduan. Jika sudah mula membawa tidak mengikut lorong, tegur pemandu. Cadangkan untuk berehat seketika di stesen minyak.
Sekali sekala lihat paparan dashboard pemandu. Adakah pemanduan terlalu laju? Jika ada, sila tegur.
TIPS
• Jangan memandu jika mengantuk.
• Bertukar pemandu jika boleh.
• Dengar radio.
• Rehat yang cukup sebelum memulakan perjalanan.
• Berhenti seketika untuk tidur 20 minit.
• Tubuh badan digerakkan.
• Mengambil vitamin atau kafein.