Pusat Rawatan Kanser Amerika Syarikat melaporkan, hampir 65 hingga 70 peratus pesakit kanser mengalami malnutrisi. Kanser berkaitan malnutrisi akan menyebabkan pesakit berasa letih, lemah dan gagal mencapai matlamat rawatan yang diberikan.
Bagi mengelakkan pesakit kanser mengalami malnutrisi, Pakar Pemakanan Gleneagles Penang, Jazeera Julaili berkata, ada beberapa jenis makanan yang boleh diambil pesakit kanser ketika berpuasa.
Dalam pada itu, pesakit dinasihati tidak meninggalkan sahur kerana ia dapat membantu memberikan tenaga sepanjang berpuasa. Waktu bersahur paling digalakkan adalah 30 minit sebelum imsak.
“Mereka perlu mengutamakan pengambilan karbohidrat kompleks dan tinggi serat seperti nasi beras perang, oat dan roti atau biskut mil penuh. Ini kerana makanan itu lebih mengenyangkan dan dapat membekalkan tenaga lebih lama serta mengurangkan rasa lapar ketika berpuasa,” jelasnya.
Jazeera berkata, pesakit kanser memerlukan sumber protein yang tinggi dan mereka harus memastikan mengambil sumber itu dalam setiap hidangan.
“Protein amat penting untuk membaiki tisu rosak dan memberi kekuatan bagi meningkatkan sistem ketahanan badan dalam melawan jangkitan kuman.
“Protein turut melambatkan proses pencernaan kerana strukturnya lebih kompleks. Contoh makanan tinggi protein seperti ikan, ayam, daging, telur, kekacang, susu dan produk tenusu,” katanya.
Pesakit, tambahnya, disarankan memulakan berbuka dengan makan tiga biji kurma dan minum segelas air kosong.
Kurma, terangnya lagi, mengandungi gula ringkas fruktosa yang memberikan tenaga segera dan mengembalikan kecergasan badan dengan cepat.
“Kurma juga kaya dengan sumber mineral seperti potassium, fosforus, kalsium, sodium dan zat besi, magnesium serta dapat mengelakkan food coma.
“Selain itu, ia mengandungi serat yang membantu proses penghadaman,” jelasnya.
Kata Jazeera lagi, pesakit boleh mengembalikan tenaga sepanjang berpuasa dengan mengambil makanan sihat dan seimbang.
Caranya adalah mengamalkan pinggan sihat iaitu Suku Suku Separuh. la merangkumi suku pinggan untuk bijirin (nasi, mi dan roti), suku pinggan bagi protein (ikan, ayam, telur dan tofu) dan separuh pinggan adalah buah-buahan serta sayur-sayuran.
Selain memilih sajian berasaskan bijiran penuh, katanya, pesakit harus memperbanyakkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran segar dalam menu harian. Ini kerana Ia membekalkan vitamin, mineral serta serat.
Tambah Jazeera, minuman manis seperti kordial boleh diganti dengan jus buah-buahan segar tanpa gula.
“Jadikan buah-buahan dan sayur-sayuran sebagai hidangan moreh berbanding kuih atau manisan yang tinggi kalori,” katanya.
Kata Jazeera, pesakit kanser perlu mengutamakan pengambilan air masak yang secukupnya iaitu sekurang-kurangnya lapan gelas sehari bagi meningkatkan kandungan air dalam badan.
“Selain itu, pengambilan cecair juga dapat ditingkatkan dalam bentuk minuman, sup, bubur, puding dan makanan yang mengandungi kandungan air yang tinggi seperti tembikai, timun serta tomato.
“Untuk moreh pula, pesakit dinasihati mengelak daripada mengambil makanan berat seperti nasi dan mi goreng kerana badan tidak memerlukan tenaga yang banyak pada waktu malam.
“Cukup sekadar menikmati snek ringkas seperti sandwich, biskut, roti dan kuih muih, tetapi kuantiti snek yang diambil tetap perlu dikawal,” terangnya.
Dalam pada itu, Jazeera memberitahu, moreh sebenarnya tidak digalakkan. Lebih baik dielakkan dan hanya ambil sekiranya perlu.
Dia memberitahu, ada dua kategori pesakit barah yang tidak digalakkan berpuasa iaitu pesakit yang sedang menjalani rawatan radioterapi dan kemoterapi kerana mereka berisiko mengalami kesan sampingan.
Tambahnya, kesan sampingan yang selalu dialami pesakit semasa dan selepas menerima rawatan radioterapi dan kemoterapi adalah hilang selera makan, loya, muntah, perubahan deria rasa, bau, sakit mulut, tekak serta cirit birit.
“Kesan sampingan ini akan mempengaruhi proses penghadaman dan penyerapan nutrien daripada makanan yang diambil. Kekurangan nutrien akan meningkatkan risiko malnutrisi,” jelasnya.
INFO:
Daripada sudut keselamatan makanan atau food safety, pesakit kanser tidak digalakkan mengambil makanan mentah atau separuh masak kerana ia boleh mengganggu sistem imun badan seperti telur setengah masak, sushi, sashimi dan air kosong yang tidak dimasak.
Manfaat puasa
Melalui beberapa penyelidikan, penghidap kanser yang berpuasa mempunyai perkembangan dalam pelbagai perkara. Kajian itu dilakukan terhadap penghidap kanser pankreas, payudara, paru-paru dan kanser prostat.
Manfaat puasa juga ditemui dalam kajian yang dilakukan pada pesakit yang menerima kaedah rawatan serta jenis ubat kemoterapi yang berbeza. Hampir semua hasil kajian menunjukkan manfaat puasa Ramadan dapat membantu memperbaharui sel-sel stem yang mempengaruhi sistem imun tubuh, sehingga ia lebih kuat dalam melawan kanser dan mengalami sedikit kesan sampingan rawatan.
Selain itu, puasa juga diketahui dapat meningkatkan keberkesanan daripada rawatan yang dijalani oleh penghidap kanser. – Mingguan Malaysia