Kaedah rawatan brakiterapi merupakan salah satu kaedah alternatif untuk merawat kanser lidah.
Di Malaysia, gabungan pakar di Institut Perubatan dan Pergigian Termaju telah memperkenalkan satu teknik brakiterapi yang dikenali sebagai Hybrid Brachytherapy-Intensity Modulated Radiotherapy atau HyBIRT yang memberi pilihan tambahan kepada pesakit kanser lidah untuk merawat kanser tersebut sekali gus berpotensi untuk mengembalikan fungsi lidah sepenuhnya.
Pakar Perunding Otorinolaringologi-pembedahan kepala dan leher (ORL-HNS) Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Bertam, Dr. Muhamad Yusri Musa berkata, kaedah berkenaan sesuai untuk pesakit yang sama ada enggan menjalani pembedahan pemotongan lidah (glossectomy) atau terdapat kontra indikasi untuk kaedah pembedahan.
“Kes kanser lidah pertama saya kendalikan menggunakan dengan kaedah brakiterapi ialah kepada pesakit yang kebetulan pada waktu itu tidak boleh dibedah dan tidak sesuai menjalani external radiotherapy.
“Pada masa itu saya menerima saranan daripada Pakar Radioterapi dan Onkologi, Dr. A. Gokula Kumar serta beberapa pakar berkaitan di IPPT USM Kampus Bertam untuk menggunakan teknik Brachytherapy.
“Teknik itu dilihat memberikan perkembangan positif ke atas pesakit yang dirawat,” katanya ketika ditemui di IPPT USM Kampus Bertam, di sini baru-baru ini.
Teknik brakiterapi untuk kanser kepala dan leher sudah lama diperkenalkan di negara luar seperti Jepun, Itali dan India.
Teknik brakiterapi moden dengan sedikit modifikasi mula dilakukan di Malaysia pada 2016 di IPPT seterusnya berkembang kepada teknik HyBIRT.
Selepas melihat perubahan positif ke atas beberapa pesakit yang menjalani rawatan brakiterapi , beliau bersama Dr. Gokulakumar dan Dr. Mohd Zahri (pakar fizik perubatan) cuba menambah baik teknik rawatan tersebut, menggunakan teknik modifikasi yang dilakukan terhadap dua kaedah rawatan kanser lidah sedia ada iaitu radioterapi eksternal secara Intensity Modulated Radiotherapy (IMRT) dan Brachytherapy sehingga tercetusnya kaedah HyBIRT.
Mengulas mengenai beza antara IMRT dengan HyBIRT, Dr. Muhamad Yusri berkata, IMRT melibatkan radioterapi luaran kepada pesakit kanser lidah dengan dos terapi yang terhad kerana sumber radioaktif akan melalui semua kawasan kanser dan juga bukan kanser termasuk kulit dan sebagainya.
Sebaliknya melalui HyBIRT, pakar perubatan boleh memberi dos yang lebih tinggi sedikit yang akan diberikan kepada kawasan kanser. Kemudian diikuti dengan dos standard melalui kaedah IMRT, bermaksud gabungan teknik brakiterapi dan IMRT melaui kaedah HyBIRT.
BUKAAN KECIL SAHAJA
Proses pembedahan kecil di kawasan leher (di bawah dagu) pesakit masih diperlukan bagi memasukkan Brachytherapy applicator. Kaedah itu membolehkan pakar perubatan merancang di mana sumber radioaktif boleh dilepaskan tanpa memberi kesan ke atas bahagian yang tiada kanser.
Dr. Muhamad Yusri menjelaskan, apabila dos lebih tinggi diberikan kepada pesakit dengan tepat, ia berkemungkinan akan menyebabkan lebih banyak sel kanser dapat dihapuskan sekaligus meningkatkan potensi kesembuhan pesakit kanser.
“Daripada 14 orang pesakit yang menggunakan rawatan ini dan telah diperiksa semula selepas rawatan melalui pengesanan Magnetic Resonance Imaging (MRI), 13 daripadanya sembuh sepenuhnya,” katanya.
Berhubung kos rawatan, Dr. Muhamad Yusri berkata, ia banyak bergantung kepada jumlah Brachytherapy applicator digunakan sepanjang prosedur berlangsung.
“Satu applikator berharga sekitar RM2,000. Jika pesakit perlukan 10 applicator maka kos minimum adalah lebih kurang RM20,000,” katanya. Kos mungkin berubah mengikut situasi berbeza setiap pesakit.
“Saya rasa bagaikan orang baharu. Tak sangka kejayaan pasukan perubatan IPPT USM Kampus Bertam membantu mengembalikan fungsi lidah saya,” kata Muhammad Firdaus Sultan Kaaber, 30.
Bekas pesakit kanser lidah ini menjalankan rawatan HyBIRT yang dijalani pada tahun lepas.
Bercerita mengenai bagaimana dia melalui rawatan itu, katanya pada Mac 2021, dia mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Kelantan berikutan mengalami sakit ulser dalam mulut yang berlarutan.
Selepas melakukan ujian biopsi hospital mengesahkan bahawa dia menghidap kanser lidah.
“Prosedur yang ditawarkan ketika itu ialah melalui pembedahan memotong lidah. Saya kalau boleh memang tidak mahu lakukannya,” katanya.
Anak ketiga daripada empat beradik ini memberitahu, disebabkan tidak mahu menjalani prosedur berkenaan, dia mencari alternatif lain dengan membuat pencarian di internet mengenai rawatan kanser lidah sehinggalah menjumpai rawatan dengan kaedah HyBIRT di IPPT USM Kampus Bertam.
“Sewaktu pertama kali bertemu dengan Dr. Yusri dan Dr. Gokula, mereka memberitahu bahawa tahap kanser saya alami itu sebenarnya masih boleh dirawat dengan kaedah lain jika tidak mahu dibedah.
“Apa yang perlu saya lakukan ialah menjalani rawatan HyBIRT yang memakan masa kira-kira 40 hari. Tempoh berkenaan termasuk rawatan kimoterapi, rawatan lain dan tempoh berehat,” katanya.
Muhammad Firdaus menjelaskan dalam tempoh sekarang, dia hanya perlu mendapatkan rawatan susulan dua bulan sekali (sebulan sekali untuk tahun pertama) bagi memastikan tiada kesan sampingan yang serius atau kemungkinan kewujudan sel kanser baharu.
“Saya rasa lebih semangat dan bertenaga menjalani kehidupan seharian berbanding sebelum ini. Berat badan pun dah bertambah.
“Masa mula-mula datang buat rawatan dulu, berat saya sekitar 53 kilogram (kg) berbanding 98 kg sebelumnya. Tapi, sekarang berat badan dah naik sedikit 61 kg dan dijangka akan naik lagi dari masa ke masa,” katanya sambil menambah rawatan HyBIRT yang dijalani itu memakan kos kira-kira hampir RM30,000.
Pemuda asal Kota Bharu, Kelantan ini berkata sepanjang menjalani tempoh rawatan di IPPT USM Kampus Bertam, dia tinggal secara sementara di sebuah inap desa berhampiran kampus bagi memudahkan uruskan mendapatkan rawatan di situ.
“Inap desa tersebut telah disediakan oleh Majlis Kanser Nasional (MAKNA) kepada pesakit kanser secara percuma,” katanya.
IPPT USM Kampus Bertam adalah hospital agensi kerajaan yang pertama mempunyai pusat brakiterapi di Malaysia yang telah diberi pengiktirafan oleh BrachyAcademy di Netherlands Belanda pada 2020, untuk lima cabang kanser iaitu kanser kepala dan leher, kanser hati, kanser esofagus, kanser prostat dan kanser payudara dengan memenuhi syarat-syarat tertentu.
Perancangan rawatan brakiterapi di IPPT USM Kampus Bertam adalah berasaskan imej CT Scan atau melalui pemeriksaan Magnetic Resonance Imaging (MRI) dan ia diakui sebagai pusat kepakaran brakiterapi di rantau ini apabila telah dianugerahkan akreditasi oleh sebuah institusi brakiterapi yang berpangkalan di Belanda sebagai Pusat Latihan dan Penyelidikan Antarabangsa Brachyacademy (International Educational and Research Center of Brachyacademy).