Setiap pasangan pasti gembira apabila mengetahui mereka akan mendapat zuriat. Pelbagai persediaan dilakukan tidak kira sama ada bakal cahaya mata itu perempuan atau lelaki.
Tetapi bagi sesetengah ibu bapa, mengetahui jantina anak bukanlah mudah. Misalnya, berlaku kekeliruan penentuan jantina bayi sebaik sahaja dilahirkan.
Kekeliruan boleh timbul apabila ibu bapa kepada bayi khunsa tersebut melihat zakar bayi itu kelihatan terlalu kecil atau tidak sempurna sifatnya. Keadaan ini boleh dikenal pasti hanya berdasarkan penglihatan mata kasar.
Terdapat juga keadaan kehadiran zakar bersama faraj.
Apabila situasi ini terjadi, biasanya ibu bapa akan menentukan alat kelamin manakah yang lebih sempurna bentuknya dan melabelkan anak mereka sebagai lelaki atau perempuan.
Menurut Pakar Pediatrik Hospital Pakar KPJ Johor, Dr. Kate Chan Sook Cheng, kira-kira satu dalam 2,000 kelahiran akan mempunyai masalah khunsa.
“Khunsa bermaksud orang yang mempunyai dua alat kelamin. Bagi bayi yang dilahirkan dengan dua alat kelamin ini, beberapa ujian akan dilakukan oleh doktor pakar.
“Doktor kemudiannya akan memberi cadangan tentang jantina bayi itu berdasarkan keputusan ujian,” terangnya.
Cadangan itu, katanya, mengambil kira punca, jantina genetik, anatomi, sistem pembiakan, potensi seksual, kemungkinan identiti jantina ketika dewasa, serta perbincangan bersama ibu bapa.
Dalam sesetengah kes, jelasnya, keluarga bayi akan membuat keputusan berkaitan jantina bayi tersebut dalam masa beberapa hari selepas bayi itu dilahirkan.
Tambah Dr. Sook Cheng, adalah disarankan supaya keluarga bayi itu menunggu keputusan ujian-ujian yang dijalankan ke atas bayi itu.
Penentuan jantina ini bukanlah mudah kerana prosedurnya kompleks.
Selain itu, kesan faktor panjang juga perlu dititikberatkan. Sebarang kemungkinan boleh berlaku apabila bayi itu meningkat dewasa. Ini kerana mereka mungkin memilih jantina berbeza daripada yang dipilih keluarga.
“Doktor akan berusaha untuk mengenal pasti punca apabila bayi lahir dengan dua alat kelamin. Punca itu akan membantu doktor memberi rawatan terbaik bagi anak.
“Kebiasaannya doktor akan bertanya kepada ibu bapa tentang sejarah perubatan dan kesihatan keluarga.
“Selain itu, doktor juga akan melakukan ujian fizikal bagi memeriksa alat sulit bayi itu,” jelasnya.
Tambah beliau, antara ujian yang doktor sarankan adalah ujian darah bagi mengukur tahap hormon, menganalisis kromosom dan menentukan jantina genetik (XX atau YY) atau ujian bagi gangguan gen tunggal.
Selain itu, ujian yang dilakukan adalah ultrasound pada bahagian pelvis dan abdomen serta kajian sinar-X menggunakan pewarna kontras untuk membantu menjelaskan anatomi.
Gangguan ini, katanya, dicirikan oleh silang jantina yang kuat dan berterusan (seperti menyatakan keinginan untuk menjadi jantina lain atau kerap memperlihatkan diri sebagai jantina lain) ditambah pula dengan rasa ketidakselesaan berterusan dengan jantinanya sendiri.
“Mereka yang mempunyai masalah kekeliruan jantina seperti lelaki suka pakai pakaian wanita dan seumpamanya diklasifikasikan di bawah kategori F64 iaitu – Kekeliruan Identiti Jantina (Gender Indentity Disorder).
“Berdasarkan klasifikasi terkini 2017/2018, F00-F99 adalah bagi yang sakit mental. Ini adalah berdasarkan definisi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” jelasnya.
Dalam pada itu, Dr. Sook Cheng menasihatkan agar keluarga mendapatkan khidmat kaunseling daripada pakar psikiatri.
Tambah beliau, kaunseling ini perlu bagi pesakit, ibu bapa pesakit serta keluarga pesakit.
Tidak ketinggalan, pastikan pesakit berada di dalam pengawasan pakar psikiatri dengan cara sentiasa mendapatkan nasihat daripada pakar berkenaan.
Keluarga juga perlu memberikan sokongan moral kepada pesakit.
Panduan ibu bapa yang mempunyai anak khunsa
Perlulah memilih jantina bagi anak
Ibu bapa dan doktor akan bekerjasama memilih jantina yang sesuai untuk anak. Namun begitu, apabila anak meningkat dewasa, masih terdapat kemungkinan mereka cenderung untuk menjadi jantina berlawanan daripada yang ditetapkan.
Tangguhkan pembedahan alat sulit
Jika diperlukan secara perubatan, kebanyakan pakar mengatakan pembedahan awal untuk membuang alat sulit sama ada anak lelaki atau perempuan haruslah dielakkan. Ini kerana pembedahan itu tidak boleh diulang semula. Identiti yang dipilih ketika anak masih bayi mungkin tidak tepat dengan kehendak anak itu pada masa depan. Dapatkan pasukan dan sokongan perubatan yang kuat.
Apabila anak semakin membesar, dia bukan sahaja memerlukan pakar kanak-kanak, malah lebih lagi. Seorang pakar endokrin pediatrik, pakar urologi dan pakar psikiatri juga harus terlibat dalam membantu anda membuat keputusan untuk anak.
Dapatkan sokongan
Ini langkah paling penting. Walaupun pasukan perubatan adalah penting, sokongan dan bimbingan daripada ibu bapa yang sedang menjalani situasi yang sama adalah amat bernilai.
Terbuka dengan anak-anak
Anak kecil mungkin tidak akan memahami istilah perubatan, ada cara tertentu yang boleh membuatkan mereka lebih faham. Ibu bapa boleh pergi berjumpa ahli terapi bagi mendapatkan khidmat nasihat tentang cara-cara betul untuk memberitahu anak agar mereka dapat menerima dan faham dengan baik. – Mingguan Malaysia