Perkara penting yang perlu diberi perhatian ketika menjamu selera adalah bahaya yang mungkin datang apabila tiada batasan dan kawalan dalam menikmati hidangan.
Ini kerana keracunan makanan khususnya pada musim banjir atau ketika jamuan keraian boleh berlaku jika perkara ini dipandang remeh.
Menurut Pakar Perubatan Dalaman dan Perubatan Pernafasan Hospital Pakar KPJ Johor, Dr. Muhammad Redzwan S. Rashid Ali, keracunan makanan adalah apa jua penyakit yang disebabkan oleh pengambilan makanan atau minuman yang tercemar. Ini terjadi akibat makanan yang tercemar dengan bakteria, virus, bahan kimia dan organisma lain.
“Makanan tercemar apabila ia mengandungi bahan-bahan tidak sepatutnya seperti kuman patogen yang boleh menyebabkan jangkitan penyakit seperti bakteria, kulat yis, parasit serta virus.
“Antara makanan yang mudah dicemari bakteria adalah keju, mentega, daging burger, susu, telur, daging, ayam dan hasil laut,” katanya.
Tambah Dr. Muhammad Redzwan, selain itu makanan yang tercemar turut mengandungi tumbuhan dan racun semula jadi seperti kulat, cendawan, ‘shellfish’ atau tercemar oleh kuman perosak yang senang berjangkit seperti kolera dan tifoid. Keracunan makanan menyebabkan gangguan gastrousus kepada seseorang.
Oleh itu, orang ramai perlu mengesan tanda atau gejala awal masalah ini. Biasanya mangsa akan mula mengalami muntah, sakit perut, cirit-birit, rasa loya, sakit kepala dan demam (berpeluh).
“Mereka yang mengalami gejala tersebut, perlu mendapatkan rawatan segera kerana kesilapan boleh mengundang risiko maut,” jelasnya.
Kesan gejala awal
Selain itu, kesan daripada muntah dan cirit birit boleh menyebabkan komplikasi kehilangan cecair badan yang ketara hingga menyebabkan dehidrasi. Ini seterusnya akan menurunkan tekanan darah, kegagalan buah pinggang dan lain-lain lagi. Antara kesan lain kepada badan adalah kehilangan garam kalium terlalu yang mengakibatkan kekejangan otot termasuk jantung, sawan dan koma.
Dr. Muhammad Redzwan memberitahu, kebiasaannya tanda dan gejala ini timbul beberapa jam selepas makan makanan yang sudah tercemar atau beberapa hari kemudiannya.
“Tanda dan gejala yang dialami berbeza dari setiap individu bergantung kepada sistem ketahanan badan, kuantiti bakteria, virus atau agen penyebab toksin yang dimakan dan umur. Komplikasi lebih mudah terjadi pada kanak-kanak, ibu mengandung, orang tua dan golongan kurang imuniti,” ujarnya.
Selain ejen pencemaran terdapat pelbagai faktor lain menyebabkan keracunan makanan termasuk makanan tidak dimasak sempurna khususnya makanan laut dan makanan berasaskan haiwan seperti telur, daging, ayam, susu dan hasil tenusu.
“Keracunan juga boleh berpunca daripada pengendali makanan itu yang tidak mengamalkan kebersihan termasuk kebersihan peralatan untuk mengambil makanan dan diri sendiri.
“Cara penyimpanan makanan juga menjadi punca utama. Makanan yang disimpan terlalu lama pada suhu bilik mudah dijangkiti bakteria. Makanan mesti disimpan dalam peti sejuk untuk mengelakkan bakteria bertambah dengan cepat,” jelasnya.
Bagi memastikan keracunan makanan tidak berlaku, beliau menasihatkan orang ramai mengutamakan kebersihan.
“Caranya mudah iaitu membersihkan tangan sebelum menyentuh makanan dan membasuh tangan selepas menggunakan tandas,” katanya.
Dalam pada itu, orang ramai turut dinasihatkan mengamalkan tiga langkah ini: lihat, hidu, rasa sebelum makan terutama pada majlis tertentu, di premis makanan dan kantin sekolah.
“Langkah ini walaupun nampak remeh tetapi masa beberapa minit melakukannya adalah berbaloi bagi mengelak keracunan atau kejadian lebih malang seperti kematian akibat makanan tercemar.
“Lihat dulu rupa fizikal makanan jika terdapat kelainan seperti kuah melekit atau sebagainya. Apabila fizikal makanan itu baik, maka hidu pula baunya jika terdapat bau basi, seterusnya rasa sedikit dan jika yakin ia segar, ia boleh makan,” katanya.
Untuk mengelakkan terkena keracunan makanan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan:-
Membasuh tangan sebelum menyediakan makanan.
Basuh dengan bersih permukaan tempat makan atau penyediaan makanan dan peralatan yang digunakan untuk menyediakan makanan.
Basuh buah-buahan dan sayur-sayuran dengan sempurna jika dimakan mentah.
Pastikan makanan dimasak sempurna. (ayam dimasak sehingga 73 darjah Celcius dan daging sehingga 63 darjah Celcius)
Simpan makanan yang telah dimasak di tempat yang betul.
Jangan tinggalkan makanan pada suhu bilik lebih daripada empat jam.
Sentiasa pilih kedai makan yang bersih jika makan di luar.
Apa yang perlu saya lakukan jika mengalami keracunan makanan?
Segera ke klinik atau hospital untuk mendapatkan rawatan.
Simpan makanan yang disyaki menyebabkan keracunan untuk siasatan Pegawai Kesihatan.
Pastikan tiada orang lain makan makanan tersebut.
Laporkan semua kejadian keracunan di Pejabat atau Pusat Kesihatan yang berhampiran dengan segera. – Mingguan Malaysia