Menurut data Polis Diraja Malaysia (PDRM), jumlah kes bunuh diri bagi 2019 adalah sebanyak 609 kes. Pada 2020 pula, sebanyak 631 kes direkodkan manakala bagi tempoh Januari hingga Mei 2021, sebanyak 468 kes dilaporkan.
Angka ini membuktikan beberapa perkara, dan satu antaranya adalah tindakan bunuh diri didapati meningkat dalam musim pandemik Covid-19.
Soalnya, apa yang mendorong seseorang bertindak sedemikian? Soalan lebih utama, bagaimana memastikan masyarakat tidak terburu-buru mengambil keputusan buruk sebegitu?
LATAR BELAKANG
Menurut ahli psikologi klinikal dari Hospital KPJ Sentosa, Kuala Lumpur, Loheswary Arumugam, tekanan perasaan adalah tekanan mendasari emosi negatif seseorang yang mana ia mempengaruhi kemampuan individu untuk melakukan fungsi harian.
“Tekanan emosi biasanya berlaku apabila seseorang merasakan diri tidak mempunyai sumber peribadi mencukupi atau tidak mampu mengatasi situasi krisis secara emosional,” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.
TEKANAN PERASAAN AKIBAT PANDEMIK
Menurut beliau, dalam konteks semasa apabila keadaan ekonomi memburuk, fenomena tekanan perasaan semakin jelas membelenggu masyarakat sehingga mendorong tindakan yang membahayakan nyawa.
Katanya, pandemik Covid-19 memusnahkan ekonomi rakyat, sehingga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat mengenai masa depan mereka.
Hal ini, katanya, mendorong pelbagai masalah psikologi sekali gus mencetuskan suasana tidak sihat terhadap masyarakat dari pelbagai latar belakang yang terkesan akibatnya.
“Semasa pandemik, yang mengakibatkan ekonomi merosot, ia boleh menyebabkan fenomena termasuk orang yang bimbang dan takut dengan beban kewangan dan pekerjaan mereka sendiri.
“Pada masa sama, ia mewujudkan perasaan marah dan sedih ketika mengalami pengangguran atau muflis. Keadaan ini boleh mengakibatkan tekanan emosi,” jelasnya.
KAEDAH ATASI TEKANAN
Terangnya lagi, terdapat beberapa kaedah klinikal dan psikologikal yang boleh digunakan bagi membantu golongan masyarakat yang terkesan emosinya akibat pandemik ini.
“Untuk mengurangkan kadar bunuh diri, kaedah untuk mengurus tekanan emosi dengan lebih baik termasuk meluangkan masa untuk berehat serta teknik pernafasan asas akan memberi isyarat kepada otak untuk mendorong kesan menenangkan, sekali gus mengawal emosi kita semasa krisis.
“Juga cuba berhubung dengan orang lain. Sentiasa berhubung dengan orang yang dapat menyokong anda, secara praktikal dan juga emosi. Minta pertolongan daripada keluarga, rakan-rakan atau kumpulan agama atau komuniti rapat yang dengan anda,” katanya.
Namun, beliau berkata, jika keadaan tidak berubah malah bertukar serius, disarankan agar individu yang terkesan mendapatkan nasihat dan rawatan profesional dengan segera.
INFO
Kementerian Kesihatan dalam rencana Panduan Menangani Stres, menjelaskan beberapa simptom seseorang mungkin sedang tertekan. Dari aspek fizikal, antara simptom termasuk:
Kering mulut
Gementar
Sakit kepala
Masalah tidur
Cepat letih
Lenguh badan
Jantung berdebar-debar
Sakit perut
Cirit-birit
Dari aspek psikologi pula, berikut beberapa tanda seseorang sedang mengalami tekanan:
Gelisah
Cepat marah
Lemah semangat
Bimbang
Kurang daya tumpuan
Mudah lupa
Takut gagal
Rendah diri
Resah
Bosan
Selain itu, seseorang yang sedang tertekan sering menunjukkan perilaku berikut:
Merokok berlebihan
Penyalahgunaan alkohol dan dadah
Masalah tabiat makan
Tingkahlaku agresif, buli dan vandalisme
Dalam rencana bertajuk Pemakanan dan Stres, Kementerian Kesihatan menitipkan pesan agar menjaga soal makan minum bagi mengelakkan tekanan perasaan. Antara makanan yang dapat membantu bagi mengurangkan stres adalah:
Sumber kekacang seperti badam, pistachio dan kacang walnut
Sumber ikan, terutama ikan laut dalam seperti ikan salmon, mackerel (tenggiri, kembung) dan sardin, dan ikan air tawar seperti ikan patin dan haruan.
Susu
Labu merah dan jambu batu
Bijirin penuh seperti roti mil penuh, bijirin sarapan pagi, beras perang dan oat mengandungi karbohidrat kompleks yang bertindak untuk merangsang pengeluaran hormon serotonin (bahan kimia pencetus rasa gembira di dalam otak). – MINGGUAN MALAYSIA