Pemakanan sihat imuniti lawan Covid-19 - Utusan Malaysia

Pemakanan sihat imuniti lawan Covid-19

Zetti Alia Alwi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) semata-mata tidak memadai sebaliknya senaman dan pengambilan makanan sihat perlu seiring bagi meningkatkan tahap kesihatan diri. Ini penting dalam usaha melawan ancaman Covid-19 serta varian Omicron yang semakin menular.
Dalam pada itu, pemakanan yang baik dan gaya hidup sihat adalah sangat penting semasa proses pemulihan selepas sembuh daripada Covid-19 kerana badan memerlukan masa untuk pulih sepenuhnya dengan baik.
Pemakanan sihat dengan seimbang dan pelbagai amatlah penting bagi mendapatkan kembali nutrien yang diperlukan badan bagi proses pemulihan ini.
Menurut Pegawai Diatetik Hospital Pakar KPJ Ipoh, Zetti Alia Alwi, ramai beranggapan rawatan Covid-19 tamat selepas sahaja seseorang itu mendapat keputusan negatif bagi virus tersebut.
Menurut Zetti, setiap pesakit mempunyai kadar pemulihan berbeza dan mengalami simptom berlainan dalam tempoh selepas Covid-19. Justeru perkara penting yang perlu diberi tumpuan adalah mengutamakan gaya hidup aktif dan sihat.
Katanya, bergelar bekas pesakit Covid-19, mereka juga mungkin akan melalui berbagai fasa pemulihan dari kedua-dua aspek fizikal dan mental.
“Realitinya, bekas pesakit kini telah memasuki fasa pemulihan. Kesan jangka panjang dari sudut perubatan dapat dilihat apabila bekas pesakit masih menunjukkan gejala seperti hilang selera makan, deria rasa dan bau dan mual-mual, walaupun selepas jangkitan Covid-19,” jelasnya.
Selain itu, beliau memberitahu, ramai juga bekas pesakit mengalami kehilangan berat badan drastik atas sebab tempoh intubasi yang lama atau stres metabolik yang dialami oleh badan selama melawan jangkitan virus.
Oleh itu, pentingnya untuk makan makanan daripada diet seimbang dan tidak mengikut pantang larang yang tidak berasas yang boleh menjadikan keadaan sedia ada lebih teruk.
“Orang ramai boleh menggabungkan kepelbagaian makanan dalam diet dari sumber karbohidrat, protein, lemak sihat dan serat dapat mempercepatkan impak kesembuhan optimum. Ini kerana setiap kumpulan makanan mempunyai nutrisi tersendiri yang penting bagi fungsi badan yang optimum.
“Jadikan piramid makanan Malaysia 2020 yang terkini sebagai bahan rujukan. Selain itu, penggunaan konsep pinggan sihat Malaysia ‘suku-suku separuh’ boleh diterapkan bagi memastikan telah mengambil nutrisi yang disarankan,” katanya.
Selain pengambilan vaksin, jelasnya, terdapat tips pemakanan lain untuk meningkatkan imun badan. Misalnya, vitamin berperanan menjaga sel imun agar berfungsi dengan baik. Jenis vitamin yang diperlukan adalah A, C, E dan B kompleks.
“Proses pembentukan sistem imun yang kuat juga memerlukan mineral seperti selenium, zink dan zat besi.
“Dengan menambahkan jenis makanan tinggi vitamin dan mineral, maka dapat meningkatkan lagi imun badan di samping makan makanan seimbang.
“Pengambilan suplemen juga boleh membantu peningkatan imum, namun haruslah dengan nasihat doktor,” katanya.

Minum air kosong
Menurut Zetti, air kosong amat penting semasa rawatan jangkitan Covid-19. Ini kerana simptom ketara yang dialami pesakit adalah muntah-muntah atau cirit-birit.
“Kedua-dua simptom ini boleh menyebabkan dehidrasi akibat kehilangan cecair badan. Oleh itu, penggantian cecair hendaklah dibuat dengan minum sekurang kurangnya lapan gelas air kosong sehari.
“Tetapi bukan semua pesakit boleh mendapat manfaat daripada minum air dengan banyak, pesakit Covid-19 yang juga menghidapi masalah buah pinggang atau pengumpulan cecair dalam paru-paru, perlu mengehadkan cecair. Mereka hanya boleh mengambil kuantiti cecair yang dinasihatkan oleh doktor,” jelasnya.
Tambahnya, selain air kosong, nutrien paling penting melawan virus Korona adalah protein kerana ia merupakan bahan paling penting dalam penghasilan sel imun.
“Sistem imun juga memerlukan asid amino. Asid amino adalah sebatian kecil yang membentuk protein. Kedua-dua sebatian ini diperlukan dalam pembentukan limfosit.
“Antioksidan memiliki peranan melawan radikal bebas dan melindungi sel imun daripada kerosakan. Ia sekali gus membantu sistem imun berfungsi secara optimum dan membantu mencegah jangkitan virus 2019-nCoV. Antioksidan boleh diperoleh dalam bentuk vitamin C, D, E dan beta-karoten, iaitu bahan mentah vitamin A.
“Selain vitamin, antioksidan juga terdapat dalam sebatian flavanoid dan lycopene pada sayuran dan buah-buahan. Terdapat juga beberapa kajian yang menyatakan halia, bawang putih dan kunyit mempunyai fungsi antikeradangan yang dapat melawan Covid-19. Namun, kajian percubaan klinikal ke atas manusia belum dapat dibuktikan secara besar-besaran,” jelasnya
Sebagai pesakit atau mereka yang sudah pulih, perlu menambah tenaga dengan mengikut keperluan kalori. Ini bermaksud membekalkan tenaga mencukupi bagi badan untuk melakukan proses selular, pencernaan, pernafasan, pergerakan otot dan juga proses pemikiran.Beliau menjelaskan, keperluan kalori amat berbeza bagi setiap orang. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya