BERAT mata memandang, berat lagi bahu memikul” – Itulah peribahasa yang terlintas di hati apabila melihat keadaan mangsa banjir baru-baru ini.
Jalan raya, premis kedai, kenderaan, ternakan, tanam-tanaman malah rumah untuk tempat berteduh – semuanya rosak, musnah atau hilang, sehingga ada dalam kalangan penduduk yang tinggal sehelai sepinggang akibat musibah ini.
Keadaan ini memberi impak psikologi terhadap mangsa banjir dan penting untuk mangsa banjir mengetahui cara menguruskan emosi dengan baik.
Kajian yang dijalankan berkaitan kesan bencana kepada kesihatan mental mendapati seseorang mangsa yang mengalami bencana akan merasai kesan bencana itu dalam tempoh sehingga sembilan bulan selepas bencana dan jika tidak diurus dengan betul mampu membawa kepada masalah kesihatan mental.
Menurut Perunding Psikiatri Hospital Gleneagles Pulau Pinang, Dr. Zasmani Shafiee, faktor-faktor bencana yang boleh mempengaruhi kesihatan mental dibahagikan kepada empat jenis.
“Pertama, faktor yang mempengaruhi kesihatan mental mangsa banjir adalah tahap, jenis dan tempoh masa berlaku bencana tersebut. Kedua, faktor berkaitan individu seperti sejarah kesihatan, sejarah hidup, tekanan hidup seharian, pengalaman trauma yang lalu serta keupayaan daya tindak.
“Selain itu, faktor interpersonal iaitu kekuatan sistem sokongan sosial termasuk keluarga dan sumber kewangan.
“Tidak ketinggalan, faktor komuniti iaitu sejauh mana peranan komuniti membantu mangsa yang terlibat dengan bencana,” katanya.
Justeru, Dr. Zasmani memberitahu, terdapat beberapa langkah yang penting dalam pengurusan emosi.
Ia melibatkan semua fasa iaitu sebelum bencana berlaku, ketika berpindah, di pusat pemindahan serta apabila kembali semula ke rumah.
“Pertama adalah membuat perancangan dan persediaan. Pada tahap ini, individu mula bersedia menghadapi sebarang kemungkinan masalah bencana.
“Persediaan rapi perlu dilakukan termasuk persediaan dari sudut fizikal dan barangan yang diperlukan, rancangkan pelan pergerakan dan pengangkutan yang selamat, apa yang perlu dipindahkan, bagaimana menyesuaikan diri serta membuat persediaan mental dan spiritual,” ujarnya.
Jika terdapat penyakit sedia ada tidak kira penyakit fizikal atau mental, pastikan anda mempunyai bekalan ubatan mencukupi kerana ini juga boleh mendatangkan tekanan.
Seterusnya adalah mempraktikkan kemahiran pengurusan tekanan serta penyelesaian masalah yang baik. Kenal pasti masalah yang dihadapi serta lihat bagaimana langkah penyelesaian.
Tambah beliau, mangsa juga boleh meminta pertolongan daripada orang lain sekiranya perlu.
Berkongsi masalah serta perasaan yang dialami, berfikiran positif serta cuba menyesuaikan diri dengan keadaan dapat membantu mengurangkan tekanan.
“Kekalkan interaksi serta hubungan dengan keluarga dan rakan-rakan untuk membantu menguatkan semangat.
“Selain itu, kekalkan rutin harian seperti biasa. Pastikan supaya individu tersebut mendapat tidur dan makan yang cukup, serta lakukan riadah yang bersesuaian di masa lapang.
“Pengisian masa yang produktif dapat menghalang mangsa daripada berfikir tentang masalah secara berterusan,” jelasnya.
Selain itu, pengukuhan rohani serta spiritual dapat membantu individu mendapatkan kekuatan mental serta daya tahan.
Di pusat pemindahan banjir, individu boleh mendapatkan bantuan daripada Pasukan Kesihatan Mental dan Respons Psikososial sekiranya perlu.
Antara perkhidmatan psikososial yang diberikan adalah psychological first aid, kaunseling, melaksanakan teknik relaksasi serta saringan kesihatan mental bagi mengenal pasti tahap emosi serta kemurungan dalam kalangan mangsa terlibat.
Mereka boleh membuat rujukan terus kepada kaunselor dan pakar psikiatri selepas penilaian dibuat.
“Kebiasaannya, reaksi normal bagi seseorang itu mengalami tekanan selepas bencana tetapi selepas beberapa bulan seseorang itu sudah mampu untuk berfungsi seperti sedia kala.
“Bagaimanapun, sekiranya gejala psikologi tersebut berterusan maka mereka perlu mendapatkan penilaian serta rawatan lanjut daripada perawat kesihatan mental,” jelasnya.
Tip menangani krisis bencana
Cuba bertenang, secara kognitif atau spiritual.
Fokus pada apa yang perlu dilakukan sekarang “here and now” – keselamatan, keperluan asas untuk diri, keluarga makan, minum, tempat tinggal sementara.
Komunikasi – Dapatkan sokongan daripada komuniti atau sukarelawan.
Isikan masa dengan rutin harian.
Alihkan fokus dan perhatian pada perkara yang tidak menambahkan rasa panik.
Penting untuk fokus pada masa sekarang “here and now”, dan elak daripada berfikir/risau tentang apa yang akan berlaku pada kehidupan akan datang.