Apabila bencana alam seperti banjir berlaku secara tiba-tiba, pasti masalah kesihatan dan penyakit bawaan air yang memudaratkan akan mula datang tanpa diduga. Apakah sebenarnya penyakit bawaan air?
Pegawai Perubatan Residen, Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Dr. Muhammad Shafiq berkata, penyakit bawaan air adalah sekumpulan jenis penyakit yang menjangkiti manusia tidak mengira umur, jantina dan etnik melalui makanan dan minuman tercemar.
Katanya, antara contoh penyebab penyakit bawaan air yang sering berlaku adalah kolera (taun), demam tifoid (kepialu), leptospirosis (kencing tikus) dan hepatitis A, yang mana setiap penyakit memberi gejala dan komplikasi berbeza.
“Pantau juga gejala seperti demam, muntah, cirit-birit dan status hidrasi dan mengamalkan langkah pencegahan.
“Jika gejala bertambah teruk, disaran untuk mendapatkan rawatan di klinik atau hospital,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Antara langkah yang boleh dilakukan apabila gejala penyakit bawaan air mula timbul ialah dengan meningkatkan kebersihan diri dan persekitaran.
Mengenai kesan terhadap kesihatan dan kehidupan mendatang, Dr. Muhammad berkata, seringkali penyakit bawaan ini bersifat self limiting.
Bagaimanapun, katanya, dalam kes teruk ia boleh menyebabkan komplikasi.
“Komplikasi spesifik penyakit bawaan air bergantung kepada agen penyebab penyakit tersebut. Antara komplikasi umum penyakit bawaan air adalah seperti dehidrasi, jangkitan kuman dalam darah, ketidakseimbangan elektrolit, kegagalan fungsi buah pinggang, kegagalan fungsi hati dan kematian,” katanya.
Rawatan ikut jenis penyakit atau penyebab
Dr. Muhammad menjelaskan, pencegahan adalah lebih baik daripada merawat penyakit bawaan air ini. Walau bagaimanapun rawatan untuk penyakit-penyakit ini bergantung kepada jenis penyakit atau penyebab.
“Umumnya, rawatan yang boleh diberikan adalah untuk mengurangkan gejala-gejala penyakit ini.
“Antara rawatan yang boleh diberi kepada pesakit adalah dengan menggunakan ubatan seperti ubat demam, ubat tahan muntah, ubat tahan cirit-birit, rehidrasi, dan antibiotik. (jika agen penyebab adalah bakteria),” katanya.
Tips pencegahan:
Orang ramai yang terlibat dalam bencana banjir untuk mengamalkan langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan diri daripada terkena penyakit bawaan air.
1) Basuh tangan dengan air dan sabun sebelum memasak atau makan.
2) Minum air yang telah dimasak terlebih dahulu.
3) Basuh makanan segar dan sayuran dengan air yang bersih.
4) Memastikan sumber air adalah bersih sebelum digunakan.
5) Menjauhi makanan mentah.
6) Membasuh alatan memasak dan menghidangkan makanan dengan air yang bersih.
7) Memastikan makanan dimasak dengan sepenuhnya.
8) Membeli makan dari gerai dan penjual yang bersih.