Bencana banjir yang teruk memberi kesan kepada hidupan sehingga boleh membawa kepada risiko kematian. Selain kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa, bencana banjir juga boleh menyebabkan penyakit berjangkit.
Berdasarkan perkongsian info oleh portal rasmi myhealth.gov.my, (Kementerian Kesihatan) antara kesan paling buruk banjir adalah kesihatan manusia kerana penyakit berjangkit mudah dijangkiti ketika dan selepas bencana itu.
Banjir yang berlaku menyebabkan sampah sarap dan takungan najis keluar bersama-sama limpahan air. Sampah sarap dan sisa najis itu bertaburan di merata-rata tempat sehingga mengakibatkan pelbagai jenis penyakit berjangkit.
Antara penyakit berjangkit yang mudah merebak ketika dan selepas banjir adalah cacar air.
Menurut Pakar Pediatrik Pantai Hospital Laguna Merbok, Dr. Senthil Kumaran, cacar air adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh virus varicella.
“Tanda-tanda umum penyakit ini adalah demam dengan ruam (lepuh berisi air) yang gatal. Ia boleh terjadi kepada sesiapa sahaja tanpa mengira umur, jantina atau bangsa.
“Secara umumnya, seseorang yang sudah pernah mengalami jangkitan ini, akan mempunyai kekebalan sepanjang hayat terhadap jangkitan yang sama. Ini kerana antibodi yang dihasilkan oleh badan sewaktu jangkitan pertama,” terangnya.
Dr. Senthil memberitahu, virus ini boleh bersembunyi dalam sistem saraf dan muncul pada masa hadapan sebagai kayap (shingles).
Ini selalunya terjadi apabila sistem imun individu menjadi lemah akibat usia tua atau faktor-faktor lain.
“Penyakit ini terjadi apabila seseorang itu terdedah dengan individu yang sedang menghidap cacar air. Virus varicella sangat mudah merebak melalui udara apabila individu yang menghidap cacar air batuk atau bersin. Virus yang keluar daripada lepuh yang pecah juga boleh merebak melalui udara,” terangnya.
Selain itu, kata Dr. Senthil, ia juga boleh berjangkit melalui sentuhan sama ada kontak langsung dengan pesakit cacar air.
Misalnya, berada di dalam bilik yang sama atau dalam jarak dekat adalah risiko utama bagi mendapat jangkitan ini.
“Setelah dijangkiti, virus ini akan mengalami tempoh inkubasi di dalam badan selama 10 hingga 21 hari, sebelum munculnya tanda-tanda jangkitan,” ujarnya.
Tambah beliau, walaupun penyakit ini sering dikaitkan dengan bayi atau kanak-kanak, sebenarnya jangkitan ini boleh terjadi pada setiap golongan usia.
Katanya, bayi baru lahir, kanak-kanak di bawah usia satu tahun atau lebih daripada 12 tahun, serta golongan dewasa mempunyai risiko komplikasi yang lebih tinggi.
“Kanak-kanak berusia satu hingga 12 tahun, penyakit ini selalunya tidak menimbulkan komplikasi, dan akan sembuh sendiri dalam jangka waktu tujuh hingga 10 hari.
“Pada golongan bayi di bawah satu tahun, remaja berusia 12 tahun ke atas dan golongan dewasa, jangkitan cacar air mempunyai risiko lebih tinggi untuk mengalami komplikasi yang lebih berat, seperti jangkitan paru-paru (pneumonia), radang otak (encephalitis), dan radang hati (hepatitis). Ini mungkin disebabkan oleh cara sistem imun kita melawan jangkitan cacar air, pada usia berbeza,” jelasnya.
Mengulas tentang rawatan, cara terbaik untuk mengelakkan penyakit cacar air adalah melalui vaksin.
“Vaksin terhadap cacar air ini tidak diberikan dalam Program Imunisasi Nasional kita, jadi ibu bapa perlu mengambil inisiatif sendiri mendapatkannya di klinik atau hospital swasta. Pemberian vaksin akan membina antibodi sama seperti seseorang yang pernah dijangkiti, sekali gus mengurangkan risiko penyakit yang serius.
“Kadang kala vaksin tidak dapat memberikan perlindungan penuh terhadap jangkitan cacar air, tetapi ia dapat mengelakkan komplikasi serius dan cuma menimbulkan gejala ringan dan cepat sembuh,” ujarnya.
Beliau memberitahu, cacar air dapat sembuh dengan sendiri, tetapi rawatan dapat diberikan untuk mengurangkan gejala.
“Rawatan yang biasa diberikan adalah ubat demam (paracetamol), ubat tahan gatal (anti-histamine),dan losyen untuk mengurangkan gatal (calamine). Ubat anti virus (acyclovir) selalunya diberikan kepada golongan berisiko tinggi mengalami komplikasi berat, seperti pada pada bayi baru lahir, ibu mengandung, pesakit paru-paru atau kulit kronik, serta golongan yang mempunyai sistem imun lemah,” katanya.
Dalam pada itu, demam campak dan cacar air adalah penyakit berbeza. Campak (Measles) disebabkan virus Rubeola manakala cacar air disebabkan virus Varicella. Seperti cacar air , Measles juga penyakit yang mudah berjangkit.
Kejadian penyakit Measles sudah dapat dikawal melalui pemberian vaksin secara global, termasuk di dalam Program Imunisasi Nasional kita, tetapi malangnya kes Measles kebelakangan ini semakin meningkat akibat bertambahnya golongan antivaksin di seluruh dunia.
Selain rawatan simptomatik dan antiviral, panduan berikut boleh diamalkan dalam pengurusan individu yang mengalami cacar air:
Elak menggaru dengan tangan. Pastikan kuku jari anak dipendekkan atau memakai sarung tangan bagi mengelakkan kesan garuan pada kawasan ruam dan lepuh.
Kenakan pakaian longgar dan mempunyai pengudaraan baik. Haba dan perpeluhan menambah rasa kurang selesa dan kegatalan.
Minum air secukupnya untuk mengelakkan dehidrasi.
Menjauhkan diri daripada kawasan tumpuan ramai.
Cacar air secara umumnya tidak serius. Rawatan secara simptomatik sudah mencukupi untuk merawat demam, rasa kurang selesa dan kegatalan.
Pengesanan awal serta diagnosis oleh doktor akan memudahkan rawatan cacar air dengan lebih berkesan. Sekiranya perlu, rawatan dengan antiviral akan dimulakan bagi mengelakkan komplikasi dan mempercepatkan penyembuhan. – Mingguan Malaysia