Antibiotik rawat Covid-19 hanyalah mitos - Utusan Malaysia

Antibiotik rawat Covid-19 hanyalah mitos

Zarihasyum Wan Zein@Md Zain
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAMA ADA dalam bentuk pil atau cecair, antibiotik antara ubat diberi apabila berjumpa doktor ketika mendapatkan rawatan sesuatu penyakit.
Bagaimanapun, jika terlalu kerap makan atau terlalu bergantung kepada antibiotik boleh menyebabkan bakteria semakin kebal dan bertukar menjadi ‘superbug’ sehingga penyakit dialami sukar dirawat pada masa depan.
Dalam pada itu, laporan demi laporan disiarkan oleh media, bersumberkan autoriti sahih, bahawa hingga kini Covid-19 belum ada penawar, namun masih ramai dalam kalangan rakyat Malaysia terpedaya dengan pelbagai ubat-ubatan yang kononnya mampu merawat jangkitan itu termasuklah antibiotik.
Menurut Ketua Farmasi Kumpulan, KPJ Healthcare Berhad, Zarihasyum Wan Zein@Md Zain, antibiotik juga dikenali sebagai antibakteria adalah ubat yang digunakan untuk melawan jangkitan yang disebabkan oleh bakteria pada manusia dan haiwan.
“Sebagai seorang pesakit, anda disyorkan untuk berbincang dengan doktor atau ahli farmasi mengenai pengambilan antibiotik yang sesuai. Hanya menggunakan antibiotik atau memberi antibiotik kepada anak anda, apabila mendapat kebenaran (preskripsi) oleh doktor sahaja,” katanya.
Mengulas sama ada antibiotik berkesan merawat Covid-19, Zarihasyum memberitahu, antibiotik tidak dapat mencegah dan merawat Covid-19 kerana ia adalah disebabkan oleh jangkitan virus. Ini kerana antibiotik hanya berkesan untuk merawat jangkitan bakteria dan bukan virus.

Bagaimanapun, terdapat pesakit Covid-19 yang mungkin dijangkiti bakteria. Dalam keadaan ini, doktor akan merawat jangkitan bakteria tersebut dengan antibiotik.
“Seseorang yang sedang menjalani rawatan kendiri tidak perlu mengambil antibiotik sekiranya tiada simptom-simptom yang disyaki disebabkan oleh jangkitan bakteria.
“Selain itu, pesakit perlu merujuk kepada doktor terlebih dahulu untuk pemeriksaan lanjut. Secara amnya, antibiotik digunakan untuk merawat atau mencegah beberapa jenis jangkitan bakteria. Antibiotik bekerja dengan membunuh bakteria atau menghalangnya daripada membiak dan merebak,” katanya.
Zarihasyum menjelaskan, antibiotik tidak berkesan terhadap jangkitan virus, seperti selesema, demam, kebanyakan batuk dan sakit tekak.
“Tidak semua jenis demam perlu dirawat dengan antibiotik. Kecuali jika doktor mengesyaki anda mempunyai jangkitan bakteria seperti radang tekak, doktor tidak menetapkan antibiotik untuk merawat demam.
“Sekiranya demam anda disebabkan oleh virus, seperti selesema atau bronchitis akut, antibiotik tidak akan menyembuhkannya atau melegakan simptomnya. Hanya doktor yang boleh menentukan antibiotik yang sesuai untuk merawat jangkitan tertentu,” katanya.
Tidak dinafikan, antibiotik adalah ubat paling berkuasa melawan bakteria tetapi ia tidak semestinya digunakan ke atas setiap penyakit terutama penyakit disebabkan virus.
“Antibiotik melawan jangkitan yang berpunca daripada bakteria dan menghalang terus merebak.
“Lazimnya, antibiotik tidak berkesan untuk jangkitan seperti demam, sakit tekak atau selesema biasa dan jika ia diambil ketika pesakit mengalami jangkitan virus, ia akan membunuh bakteria baik di dalam tubuh,” katanya.
Katanya, bakteria baik diperlukan untuk menghadamkan makanan, memberikan nutrien secara tidak langsung dan melindungi daripada bakteria jahat.
Bakteria adalah mikroorganisma yang mampu berkembang secara sendiri, terdapat di sekeliling atau di dalam tubuh kita tetapi hanya dalam jumlah kecil saja mengakibatkan jangkitan.
Sementara itu, virus adalah lebih kecil berbanding bakteria dan memerlukan hos untuk berkembang seperti manusia, haiwan atau tumbuh-tumbuhan. Antibiotik tidak berkesan untuk menentangnya.
Sekiranya individu tidak sihat, mereka dinasihatkan berjumpa doktor untuk mengetahui sama ada anda mengalami jangkitan bakteria atau virus.
“Rintangan antibiotik berlaku apabila bakteria berubah untuk mengurangkan atau menghapuskan keberkesanan antibiotik.
“Bakteria terus berkembang dan menjadi lebih berbahaya dan sukar dirawat dengan antibiotik yang lazimnya digunakan untuk melawan sesuatu penyakit,” jelasnya. – Mingguan Malaysia

Berikut antara jenis jangkitan yang boleh dirawat dengan antibiotik:
Jangkitan telinga dan sinus
 Jangkitan gigi
 Jangkitan kulit
 Meningitis (pembengkakan otak dan saraf tunjang)
Radang tekak
 Jangkitan pundi kencing dan buah pinggang
 Pneumonia
 Batuk kokol

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya