Risiko hamil di usia 40-an - Utusan Malaysia

Risiko hamil di usia 40-an

Dr. Tee Swi Peng
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU ketidaksuburan di Malaysia, yang menyukarkan pasangan terutama berusia lingkungan 35 ke 40 tahun mendapatkan zuriat, memerlukan kepekaan tentang tahap kesihatan masing-masing.
Menurut Pengasas dan Perunding Kesuburan di Metro IVF , Dr. Tee Swi Peng, berkata, secara umum, semakin meningkat usia wanita semakin kesuburan berkurang kerana kuantiti dan kualiti telur (benih wanita) menurun. Namun, teknologi perubatan terkini membolehkan wanita lewat usia mempunyai peluang untuk hamil.
“Ini menerusi rawatan ke­suburan seperti bayi tabung uji atau in-vitro fertilisation, mahupun ubat-ubatan un­tuk membuatkan wanita meng­alami ovulasi agar te­­lur wanita itu bersedia disenyawakan pada waktu yang bersesuaian dengan sper­ma suami. Pemantauan berterusan daripada doktor amat penting untuk mengelak komplikasi berlaku sepanjang kehamilan dan sewaktu ke­lahiran,” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.

FAKTOR GENETIK
Katanya, sebaik saja pasangan tersebut sudah bersedia untuk memiliki zuriat, mereka digalakkan menjalani pemeriksaan kesihatan secara menyeluruh bagi mengenal pasti risiko penyakit yang mungkin diwarisi anak nanti.
“Hal ini penting untuk dibincangkan bersama pakar supaya pertumbuhan janin dapat dipantau sehingga lahir. Paling penting, saringan awal membolehkan pasangan membuat persediaan rapi termasuk mendapatkan sokongan emosi daripada keluarga sekiranya berlaku kelahiran bersifat luar jangka.
“Risiko untuk mendapat zuriat yang mempunyai penyakit keturunan atau genetik selepas usia 40-an adalah lebih tinggi berbanding wanita yang lebih muda,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, ada ujian saringan tertentu seperti PGS dan PGD untuk mengenal pasti penyakit genetik yang mungkin dihadapi oleh pasangan tersebut seperti talasemia, sindrom down, sindrom turner, sindrom patau atau penyakit Huntington’s.

RISIKO WANITA 40-AN
Jelasnya lagi, wanita berusia 40-an memang mempunyai risiko tinggi kesukaran untuk hamil.
“Semasa wanita mencapai akil baligh atau kitaran haid bermula bilangan telur sekitar 300,000 hingga 500,000 telur. Jumlah telur akan terus menurun dan pada usia 35, jumlah telur sekitar 65-70 ribu telur. Jika tidak disenya­wakan, telur-telur ini akan gugur menerusi kitaran haid.
“Oleh itu, semakin usia wanita meningkat, bekalan telur juga menurun. Semasa proses pembahagian sel, iaitu proses pembahagian sel induk kepada dua atau lebih sel yang baru, kemungkinan akan berlaku kromosom abnormal.
“Sel manusia normal mengandungi 46 kromosom dan biasanya berbentuk dalam pasangan dan jika tidak normal boleh menimbulkan risiko seperti penyakit genetik kepada kandungan itu,” katanya.
Katanya, setiap wanita perlu membuat keputusan sekiranya ingin hamil dan perlu tabah menghadapi kemungkinan yang berlaku termasuk risiko seperti Sindrom Down.
“Jika wanita mempersiapkan diri dengan mengambil makanan seimbang dan senaman, ia mampu mengurangkan risiko penyakit. Perlu diingatkan untuk tidak merokok kerana kandungan nikotin memberikan kesan yang tidak baik kepada janin,” katanya.

 

Proses yang perlu dilalui oleh pasangan sukar hamil:

Ujian imbasan ultra untuk melihat rahim dan ovari
Membuat ujian saringan – ujian paras hormone AMH, FSH, LH, progesteron dan estrogen untuk mencari punca ketidaksuburan.

 

Ujian saringan selepas berjaya hamil melalui rawatan kesuburan seperti IVF:

Imbasan Nuchal Translucency
Ujian darah HCG dan
Protein plasma A (PAPP-A) – Ujian makmal ini dijalankan pada 12-13 minggu. Dalam sesetengah keadaan, mungkin seminggu lebih awal
Ujian Pranatal Bukan Invasif (NIPT)
untuk pemantauan kesihatan yang baik sepanjang tempoh kehamilan.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya