Pernahkah anda mengalami kesakitan di kaki apabila berjalan dan perlu duduk seketika sebelum meneruskan perjalanan?
Sekiranya ada, anda mungkin mengalami Pheripheral Artery Disease (PAD) atau dalam bahasa mudahnya pembuluh darah tersumbat di bahagian kaki.
Pada peringkat global, penyakit ini telah menyerang seramai 200 juta orang dan kebanyakan daripada mereka berusia lebih 40 tahun.
Menurut Perunding Kardiologi dan Pakar Perubatan Residen Hospital Fatimah, Ipoh, Dr. Choong Choon Hooi, PAD sama seperti penyumbatan salur darah ke jantung atau otak yang mengakibatkan serangan jantung atau strok, cuma bezanya ia berlaku pada kaki.
Menurut Dr. Choon Hooi, mereka yang diserang PAD biasanya mengalami simptom seperti kaki kejang, sakit dan berasa dingin. Jika tidak dirawat segera, lama-kelamaan keadaan bertambah buruk seterusnya menjadi hitam menandakan kematian sel. Lebih parah apabila kaki pesakit terpaksa dipotong.
Apa yang menakutkan, ada antara pesakit PAD yang awalnya tidak mengalami sebarang gejala atau tanda, namun kemudian berkembang secara perlahan-lahan tanpa disedari.
Tambah Dr. Choon Hoi antara faktor yang menyebabkan pembuluh darah tersumbat di kaki adalah kandungan kolestrol dan atherosclerosis (plak membina dalam pembuluh darah).
Selain itu, PAD juga berpunca daripada tabiat merokok, diabetes, tekanan darah tinggi, obesiti dan peningkatan umur.
“Kalau merokok, penyakit ini akan berlaku lebih cepat, mereka yang mengalami penyakit diabetis, kolestrol tinggi dan darah tinggi sebab itu pemakanan itu perlu kita jaga dengan baik.
“Selalunya, kes yang biasa dilihat ketika pesakit itu berjalan dia mengalami sakit di betis, paha atau bahagian punggung tetapi bergantung kepada di mana sempitan (tersumbat) itu berlaku.
“Sakit itu akan muncul apabila kita bergerak berdasarkan jarak tertentu sebagai contoh jika kita bergerak dalam 500 meter, kita mengalami kesakitan dan perlu berehat beberapa minit sebelum sakit itu hilang dan semakin sakit kita rasa semakin teruklah sumbatan itu berlaku,” katanya.
Beliau menjelaskan, bagi mengetahui sama ada seseorang itu mengalami PAD atau sebaliknya pakar perubatan akan membuat pemeriksaan denyutan nadi pada bahagian kaki. Ia sama seperti pemeriksaan nadi pada femoral (paha), popliteal (otot pada belakang sendi lutut) dan buku lali. Apabila salah satu daripada nadi lemah atau hilang, ini menandakan pesakit menghadapi PAD.
“Selepas melakukan diagnosis PAD, doktor akan membuat pemeriksaan angiogram dan MRA untuk memastikan bahagian saluran darah yang sempit atau tersumbat sebelum memutuskan rawatan sesuai. Ia bergantung kepada keadaan pesakit dan salur darah terbabit,” katanya.
Dalam kebanyakan kes, Dr. Choon Hoi menggalakkan kombinasi ubat dan perubahan gaya hidup. Ini dapat mengurangkan simptom dan mengurangkan kemungkinan pesakit mengalami serangan jantung atau strok.
Contohnya, doktor mungkin menasihati berhenti merokok jika anda merokok, makan makanan seimbang untuk membantu mengurangkan kadar glukosa dalam darah, menurunkan kolesterol dan digalakkan mengikuti program senaman yang sederhana.
“Ubat-ubatan seperti ubat cair darah dan pengawal paras kolesterol akan diberikan kepada pesakit bagi mengurangkan tekanan darah dan melancarkan kembali peredaran darah. Namun jika ia tidak berkesan angiogram dan angiografi magnetik resonans (MRA) akan dilakukan.
Selain itu, dua rawatan juga boleh dilakukan dengan penggelembungan (Ballon angioplasti) dan pembedahan pintasan untuk implan sten. Pembedahan pintasan lebih sesuai bagi sebahagian besar penyempitan atau penyumbatan saluran darah. Ini kerana kadar kejayaannya juga adalah lebih baik berbanding angioplasti, terutama sekali pada bahagian saluran darah pada paras lutut dan ke bawah.
Tambah beliau, angioplasti adalah kaedah menggunakan kateter dengan belon pada hujungnya. Ia kemudian dimasukkan ke saluran darah yang sempit dan belon itu akan dikembangkan pada bahagian tersebut. Selepas rawatan ini pesakit akan merasai kesan panas menandakan darah mengalir lancar pada kaki mereka.
Dalam keadaan PAD akut (secara tiba-tiba), pesakit dinasihatkan menjalani rawatan serta-merta. Ia membabitkan salah satu daripada dua kaedah iaitu trombolisis atau pembedahan pintasan.
“Melalui rawatan trombolisis, satu prosedur akan dilakukan dengan menghancurkan darah beku yang terdapat dalam arteri. Selepas penilaian dilakukan, pesakit mungkin memerlukan rawatan sama ada angioplasti atau pembedahan pintasan,” katanya.
Tanda-tanda penyakit:
Penyempitan salur darah di bahagian kaki – Penghidap berasa sakit terutama di paha dan betis seperti ditekan. Dalam masa lima minit ia akan hilang, tetapi kemudian datang kembali dan berasa sakit semula.
Walaupun tidak berjalan, tetap berasa sakit atau sakit datang secara tiba-tiba ketika sedang berehat. Ia adalah ketidaksempurnaan di bahagian kaki kerana kekurangan darah di anggota berkenaan.
Luka atau ulser di kaki yang berpanjangan (lambat sembuh) kerana darah tidak sampai dan tiada zat di bahagian itu seterusnya menyebabkan hitam atau lebam. Jika tidak dirawat dengan cepat, pesakit akan kehilangan anggota tubuh yang terpaksa dipotong kerana jangkitan kuman.
Pencegahan
Ubah gaya hidup iaitu berusaha berhenti merokok bagi perokok tegar yang lebih terdedah dan bahaya kerana sukar sembuh.
Gaya pemakanan tidak sihat juga perlu diubah. Mereka yang mempunyai masalah tahap kolesterol tinggi perlu mengawalnya kerana penyakit ini akan mengecilkan perjalanan darah ke anggota penting.