Elak keghairahan makan manis - Utusan Malaysia

Elak keghairahan makan manis

Norhamizah Sohaimi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Manis oh manis! Hidup yang ceria pasti ramuannya manis tapi berhati-hati manis juga boleh bertukar kepada pahit bila terlalu banyak.

Budaya makan orang Malaysia terkenal dengan pedas dan manis. Setiap pagi pasti ada yang menghirup kopi, teh tarik dan milo panas Makanan dan minuman manis bukan lagi perkara yang asing tapi wajib untuk kita semua. Pun begitu, lama-kelamaan tabiat craving atau ghairahkan makanan manis  ini akhirnya menjadi punca diabetes.

Menurut Pakar Pemakanan Pantai Hospital Laguna Merbok,  Norhamizah Sohaimi, diabetes adalah  satu  masalah kesihatan yang kenali sebagai pembunuh senyap atau silent killer. Penyelesaian untuk masalah diabetes adalah dengan cara menguruskan masalah penyakit ini dengan serius.

“Tahukah anda seorang daripada lima individu dewasa atau kira-kira 3.9 juta orang berumur 18 tahun ke atas di Malaysia menghidap diabetes, menurut dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019. Prevalen diabetes di negara ini didapati meningkat kepada 18.3 peratus berbanding 13.4 peratus pada 2015.

“Sejumlah 49 peratus daripada penghidap diabetes di Malaysia, tidak pernah diperiksa atau didiagnosis menghidap penyakit ini. Menurut dapatan tinjauan itu lagi, tiga negeri merekodkan penyakit diabetes tertinggi, iaitu Negeri Sembilan, Perlis dan Pahang,” ujarnya.

Mengulas tentang keghai­ra­han makan makan manis, Norhamizah berkata, keingi­nan yang tinggi pada makanan yang manis berlaku apabila kita tidak makan makanan yang seimbang dan memakan terlalu banyak karbohidrat. Untuk pengetahuan, karbohidrat adalah sumber tenaga utama dan tidak kekal lama dalam perut setelah kita memakannya.

“Jadi, jika kita tidak mengambil makanan seimbang iaitu mengandungi protein, sedikit lemak, dan serat yang lebih tinggi, tubuh kita akan berasa masih lapar dan menginginkan sesuatu yang manis. Oleh itu, pastikan setiap hidangan yang diambil adalah seimbang iaitu mengandungi karbohidrat, protein dan serat seperti konsep suku-suku separuh,” katanya.

Justeru, beliau menasi­hatkan orang ramai menga­malkan gaya hidup sihat bagi mencegah penyakit ini. Ini termasuk mengambil makanan pada masa yang tetap.

“Penghidap diabetes digalakkan untuk mengambil makanan secara sedikit dan kerap mengikut keperluan.

“Kemudian, orang ramai perlu mengawal makanan yang mengandungi karbohidrat kompleks.

Pengambilan karbohidrat kompleks perlulah dikawal kerana pengambilan yang berlebihan boleh mening­katkan aras gula dalam darah,” katanya.

Tidak ketinggalan, pengambilan jumlah karbohidrat bagi pesakit diabetes perlulah konsisten dan haruslah dikira mengikut keperluan pesakit secara individu bergantung kepada keperluan kalori dalam sehari dan gaya hidup pesakit.

Di samping itu, pesakit bolehlah merujuk kepada pakar pemakanan atau dietitian bagi mengira keperluan karbohidrat pesakit dalam sehari bagi mengawal paras gula dalam darah.
Pesakit juga akan dinilai adakah mereka perlu mengamalkan pengambilan karbohidrat secara sederhana atau terhad bergantung kepada tahap kandungan gula dalam darah.

“Bagi pesakit diabetes, pastikan pengambilan buah-buahan bersama hidangan utama dalam porsi yang ditetapkan. Pesakit diabetes boleh mengambil buah-buahan sebanyak dua hidangan dalam sehari iaitu bersamaan satu biji epal dan satu potong jambu batu,” ujarnya.

Tambah Norhamizah, bagi mengawal kandungan gula dalam darah, pesakit digalakkan mengamal pemilihan buah-buahan yang rendah kandungan Glicemik Indeks bagi mengawal kenaikan paras gula dalam darah seperti epal, oren, pir, jambu batu dan beries.

Namun pesakit diabetes tidak digalakkan mengambil buah-buahan di dalam bentuk cecair atau jus kerana menggunakan banyak buah. Sebagai contoh, segelas kecil jus oren mungkin mengambil dua hingga empat biji oren bergantung pada ukurannya. Selain itu jus juga tidak mempunyai serat yang dapat mengawal kenaikan paras gula di dalam darah.

Mangulas tentang pemanis tiruan yang dikatakan menggantikan pengambilan gula,  Norhamizah tidak menafikan peranan pemanis tiruan yang membuatkan makanan berasa manis, rendah kalori dan tidak meningkatkan paras gula dalam darah dengan cepat.

“Pemanis tiruan seperti stevia adalah dibenarkan untuk menggantikan gula dalam makanan atau minuman. Bagaimanapun, penggunaan pemanis tiruan perlu diambil dengan selamat iaitu sebanyak satu titik  dalam satu cawan dan dibenarkan hanya untuk dua  kali sehari untuk elak kesan sampingan lain,” katanya.

Pun begitu, pesakit diabetes perlulah berhati-hati dengan istilah ‘bebas gula’. Orang ramai perlu membaca label dan memperhatikan jumlah karbohidrat dalam makanan.

Tips pemakanan sihat
Mengambil makanan pada masa yang tetap
Penghidap diabetes digalakkan untuk mengambil makanan secara sedikit dan kerap mengikut keperluan

Mengawal makanan yang mengandungi karbohidrat kompleks.
Pengambilan karbohidrat kompleks perlulah dikawal kerana pengambilan berlebihan boleh meningkatkan paras gula dalam darah.

Mengawasi pengambilan karbohidrat ringkas seperti makanan dan minuman  manis.
Pengambilan karbohidrat ringkas yang tinggi boleh menyebabkan kenaikan gula darah secara mendadak dan menyumbangkan kepada pertambahan kalori dan menye­bab­kan kenaikan berat badan.

Mengambil makanan yang mengandungi serat yang tinggi.
Makanan tinggi serat seperti sayur-sayuran, buah-buahan, legum (kacang soya, kacang pea) dan bijirin gandum penuh dapat mengawal paras gula dalam darahMengurangkan makanan yang mengandungi lemak tinggi. Makanan tinggi lemak boleh menyebabkan insulin resistant.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya