Pernahkah anda berhadapan dengan situasi degupan jantung laju seolah-olah anda berlumba atau perlahan dengan ritma yang tidak normal? Keadaan ini kadangkala dapat dirasai pada leher, tekak atau dada.
Degupan jantung tidak normal adalah keadaan kesihatan yang biasa berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira usia. Keadaan ini dapat ditangani dengan mengurangkan faktor risikonya. Simptom yang biasa berlaku adalah sesak nafas, pening, penat secara tiba-tiba dan sakit dada.
Salah satu rawatan mengurangkan simptom dan mengelakkan keadaan bertambah buruk adalah memasang perentak jantung.
Menurut Pakar Perunding Kardiologi dan Elektrofisiologi Hospital Pakar KPJ Selangor, Dr. Ahmad Fazli Abdul Aziz, perentak jantung adalah alat elektronik yang dipasang untuk mengawal dan mengatur degupan jantung supaya teratur mengikut rentak yang diperlukan.
“Kebiasaannya alat ini dipasang apabila rentak jantung seseorang itu terlalu perlahan. Rentak jantung yang normal biasanya antara 60 hingga 100 degupan seminit ketika berehat. Namun ada antara individu terutamanya aktif bersukan mempunyai rentak jantung yang lebih perlahan tanpa mengalami apa-apa masalah,” katanya.
Tambah beliau, rentak jantung perlahan (juga dipanggil bradycardia) boleh disebabkan oleh masalah pada noda sinoatrial (sinoatrial node) yang merupakan perentak jantung semula jadi atau noda atrioventrikular (atrioventricular node) iaitu pengaliran arus impuls elektrik jantung boleh tersekat.
Apabila ini berlaku, seseorang itu boleh mengalami gejala seperti keletihan, pening atau pitam. Gejala ini boleh berlaku secara berterusan atau hanya berlaku pada waktu-waktu tertentu apabila rentak jantung menjadi perlahan. Diagnosa akan dibuat dengan menjalankan ujian elektrokardiografi ketika gejala berlaku.
“Sekiranya keadaan ini berterusan dan tiada penyebab lain yang boleh dirawat, maka perentak jantung mungkin diperlukan. Ada beberapa jenis perentak jantung yang boleh dipasang mengikut keperluan dan kesesuaian pesakit. Kebanyakan alat perentak jantung dipasang di sebelah kiri dada dengan wayar ke jantung melalui salur darah.
“Dengan teknologi terkini, alat perentak jantung ini boleh dibuat lebih kecil dengan fungsi yang lebih canggih. Kini juga terdapat perentak jantung boleh terus dipasang dalam jantung tanpa memerlukan wayar,” jelasnya.
Tambah Dr. Ahmad Fazli, perentak jantung berfungsi secara automatik untuk melaraskan rentak jantung sesuai dengan keadaan. Jadi, pesakit tidak akan merasa apa-apa kelainan. Namun sekiranya pesakit mempunyai gejala seperti pening, letih atau hampir pitam, adalah disarankan untuk menyemak nadi dan mendapatkan pemeriksaan segera.
“Ketahanan bateri bergantung kepada jenis perentak jantung dan penggunaannya, secara puratanya antara tujuh hingga 10 tahun. Sekiranya keperluan bantuan perentak jantung hanya diperlukan sekali sekala, maka bateri boleh bertahan dengan lebih lama. Apabila jangka hayat bateri hampir berakhir perancangan akan dibuat untuk menukar perentak ini.
“Sekiranya wayar masih elok, cuma perentak yang dipasang di dada akan ditukar. Adalah penting untuk pesakit membuat rawatan susulan secara berkala kerana perentak jantung boleh diperiksa dan diprogram untuk memaksimumkan jangka hayat bateri,” ujarnya.
Ditanya sama ada pesakit boleh memandu atau bersukan selepas perentak jantung dipasang, beliau memberitahu, pesakit boleh memandu apabila sudah pulih dan dibenarkan oleh doktor.
Namun, jika bergejala ini memerlukan perhatian dahulu. Kebanyakan aktiviti sukan juga boleh dijalankan seperti biasa kecuali sukan yang boleh menyebabkan hentakan di perentak jantung seperti ragbi dan tinju.
“Peralatan elektrik seperti televisyen, ketuhar gelombang mikro dan lain-lain boleh digunakan tanpa mengganggu fungsi perentak jantung.
“Namun peralatan berkuasa tinggi yang boleh menyebabkan gangguan elektromagnetik seperti alat kimpalan perlu dijauhi. Peranti elektronik seperti telefon bimbit boleh digunakan, cuma elakkan meletaknya terlalu dekat dengan perentak jantung seperti di dalam saku baju di dada,” ujarnya.
INFO
Secara umumnya, degupan jantung ketika berehat adalah normal jika berada antara 60 hingga 100 degupan setiap minit (BPM)
Faktor risiko degupan jantung tidak normal
Penyakit arteri koronari
Penyakit jantung
Tekanan darah tinggi
Penyalahgunaan alkohol atau kafein
Stres
Anemia
Penyakit jantung yang diwarisi
Keradangan jantung
Penyakit paru-paru kronik
Usia: jantung orang tua lebih berisiko tinggi mengalaminya
Pencegahan
Fahami simptom dan faktor risiko supaya bersedia untuk mendapatkan bantuan perubatan secepat mungkin.
Kurangkan stres dengan terapi seperti yoga
Elakkan pengambilan kafein
Jangan merokok
Kerap bersenam
Amalkan diet berkhasiat
Kawal tekanan darah dan kolesterol
Jika mempunyai sebarang soalan, sila hubungi doktor untuk mendapatkan penyelesaian yang sesuai untuk anda. – MINGGUAN MALAYSIA