Ketakutan melampau terhadap serangga? - Utusan Malaysia

Ketakutan melampau terhadap serangga?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Labah-labah merayap di atas badan, ulat gonggok masuk ke dalam telinga, lipas berterbangan mengelilingi kepala; membaca kenyataan di atas sahaja pun sudah cukup menegakkan roma dan rasa geli-geliman.
Itu antara simptom seseorang mengalami ketakutan melampau atau fobia terhadap serangga (entomofobia).
Menariknya, seorang pakar psikiatri dan hipnoterapi, David Samson, seperti dilaporkan akhbar The Independent berkata, fobia terhadap serangga ini bukan bersifat semula jadi sebaliknya hasil didikan ibu bapa.
“Seorang kanak-kanak cuba memegang seekor labah-labah, kemudian ibu bapanya masuk ke bilik dan berkata dengan suara keras, agar si anak tidak menyentuhnya. Malah si bapa kemudian membunuh labah-labah tersebut.
“Ini adalah sesuatu luar biasa apabila si bapa bersikap keras, dan tiba-tiba kanak-kanak itu telah belajar sesuatu. Idea mula terbina dalam minda bawah sedar si anak, bahawa labah-labah patut ditakuti,” katanya.
Timbul persoalan di sini, sejauh mana entomofobia menjejaskan hidup, dan adakah ia boleh dirawat?

PUNCA
Pakar Perubatan Kesihatan Awam di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Norfazilah Ahmad berkata, punca entomofobia ini terdiri daripada empat faktor.
“Pertama, latar belakang genetik, kedua ia juga akibat pengalaman negatif berkaitan serangga. Contohnya pengalaman terkena gigitan atau sengatan serangga.
“Selain itu, tingkah laku yang dipelajari daripada persekitaran seperti mempunyai ahli keluarga dengan entomofobia, serta perubahan fungsi otak juga boleh berperanan dalam pembentukan entomofobia,” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.

STATISTIK
Norfazilah membe­ritahu, Kesatuan Kesihatan Sedunia menerusi Initaitif Survei Kesihatan Mental Sedunia melibatkan 22 negara, melaporkan prevalens fobia spesifik sebanyak 7.4 peratus di peringkat global.
“Masalah ini boleh bermula pada umur serendah lapan tahun, lebih tinggi dalam kalangan perempuan dan negara berpendapatan tinggi.
“Data daripada Survey Kesihatan Mental di Jerman dalam kalangan responden berumur 18 hingga 65 tahun menun­jukkan, seramai 1.5 peratus mempunyai fobia haiwan termasuk serangga.
“Satu kajian di Iran dalam kalangan pelajar pula mendapati prevalens entomofobia tahap teruk sebanyak 4.6 peratus,” katanya.

KAEDAH RAWATAN
Sementara itu, Pakar Psikologi Klinikal di Fakulti Perubatan UKM, Dr. Shalisah Sharip berkata, antara kaedah rawatan adalah melalui psikoterapi.
“Psikoterapi yang menggunakan pendekatan tingkah laku dan kognitif (CBT) berkesan membantu individu menghadapi ketakutan serangga.
“Bagi mengurangkan ketakutan ini, pakar terapi akan mengajar individu itu teknik relaksasi agar ketakutan berkurangan apabila berhadapan serangga yang ditakuti,” katanya.
Tambahnya, pendedahan secara berperingkat terhadap serangga yang ditakuti juga antara kaedah merawat fobia ini, malah dalam kes tertentu pengambilan ubatan juga dapat membantu pesakit.
“Tujuan utama rawatan ini adalah dengan menghadapi ketakutan dan tidak lari daripadanya akan membantu individu tersebut mengendalikan ketakutan mereka.
“Kajian juga menunjukkan apabila kita semakin mengelakkan diri daripada menghadapi situasi atau benda yang kita takuti, semakin kuat dan susah kita untuk kita mengatasinya,” katanya. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya