Demensia – penyakit tiada ubat - Utusan Malaysia

Demensia – penyakit tiada ubat

Dr. Farizah Mohd Hairi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Demensia bermaksud penyusutan daripada segi kemampuan minda. Istilah ini – merujuk Sekolah Perubatan Harvard dalam rencana berjudul Alzheimer’s & Dementia – merangkumi masalah kehilangan ingatan, kekeliruan, perubahan keperibadian, penurunan kemampuan berfikir, dan kekurangan kemampuan melakukan aktiviti harian.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam yang juga Pemangku Ketua, Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr. Farizah Mohd. Hairi berkata, demensia penyakit yang sudah lama dikaji, malah boleh dikesan sejak zaman purba Greek dan Rom lagi.
Katanya, demensia dianggap sebagai satu proses penuaan yang normal dan tidak dapat dielakkan.
Pada 1907, Alois Alzheimer, pakar psikiatri Jerman menemukan punca perubahan di dalam otak setelah melakukan autopsi (bedah mayat) ke atas pesakit yang mana semasa hayatnya menunjukkan gejala halusinasi dan kekeliruan.
“Ini satu penemuan penting yang membuka ruang kajian lebih mendalam mengenai masalah penyakit mental termasuklah demensia. Sehingga kini kajian dalam bidang ini masih terus berjalan.
“Kami berharap kefahaman yang lebih baik diperoleh untuk merawat dan menangani kelemahan kognitif, khususnya yang disebabkan oleh proses penuaan,” katanya.

PUNCA
Menurut laporan Institut Penuaan, Jabatan Kesihatan Amerika Syarikat bertajuk: What Is Dementia? Symptoms, Types, and Diagnosis, penyakit ini berpunca akibat sel-sel otak (neuron) yang mati.
Kata laporan itu, walaupun secara fitrahnya, semua orang kehilangan beberapa neuron ketika usia meningkat, namun bagi pesakit demensia, kehilangan neuron berlaku pada kadar lebih besar.
Farizah berkata, gejala penyakit demensia berlaku dengan cara berbeza, bergantung kepada bahagian-bahagian otak yang terjejas.
Ia boleh merangkumi masalah hilang ingatan, penyusutan kebolehan berfikir, kebolehan menyelesaikan masalah, masalah pergerakan fizikal, kesukaran berkomunikasi, kawalan emosi, perubahan tingkah laku dan personaliti.

STATISTIK
Berdasarkan laporan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2018 (NHMS 2018), kadar kelaziman demensia di Malaysia adalah 8.5 peratus dalam kalangan warga emas berusia 60 tahun ke atas.
Kadar kelaziman atau prevalens itu, menurut Farizah, adalah lebih tinggi di kawasan luar bandar, khususnya wanita dan juga mereka yang tidak mempunyai latar pendidikan formal.
“Anggaran peratusan risiko seseorang itu menghidap demensia adalah sebanyak lima peratus untuk berusia 65 tahun ke atas dan akan berganda bagi setiap lima tahun usia meningkat.
“Malah, peratusan risiko meningkat kepada 25 peratus bagi usia 85 tahun ke atas. Namun, demensia juga boleh berlaku dalam kalangan individu berusia kurang daripada 60 tahun,” katanya lagi.

TANDA-TANDA
Berikut adalah tanda-tanda dan gejala penyakit demensia:
 Kemerosotan daya ingatan dan daya fikir.
 Kesukaran menjalani urusan harian.
 Masalah berkomunikasi dan memahami maklumat.
 Keliru tentang masa, tempat, dan keadaan.
 Perubahan sikap dan tingkah laku.
 Perubahan minat dan cita rasa.

KAEDAH RAWATAN
Menurut Farizah, kebanyakan jenis demensia tiada rawatan. Bagaimanapun, simptom atau gejala yang dialami boleh diatasi.
Kenyataan ini turut disokong oleh Kementerian Kesihatan dalam artikel Demensia – melaporkan walaupun setakat ini, penyakit ini tidak boleh diubati, tetapi pembelajaran dan sokongan kepada pesakit dan penjaga pesakit dapat membantu dalam mengawal sesetengah gejala.

Kaedah pencegahan dan rehabilitasi:
 Pencegahan
Lakukan aktiviti merangsang minda seperti bermain catur, membaca dan sebagainya. Mengamalkan cara hidup sihat boleh juga mengurangkan risiko mendapat demensia.
 Rehabilitasi
Terdapat banyak terapi psikososial yang memberi manfaat kepada pesakit. Ini termasuk memberi sokongan dalam menjalani aktiviti harian mereka, menggalakkan aktiviti merangsang fungsi mental dan pancaindera.
 Kumpulan sokongan
Antara kumpulan sokongan boleh dirujuk bagi pesakit ini termasuklah Yayasan Penyakit Alzheimer Malaysia serta Persatuan Penyakit Alzheimer Johor Bahru (Jobada). – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya