Misi T.N.H Outrec tawan G7 tercapai

Misi T.N.H Outrec tawan G7 tercapai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Segala penat lelah hilang sekelip mata selepas menyaksikan keindahan panorama alam semulajadi dengan flora dan fauna di samping tiupan angin bayu segar.

Demikian kepuasan yang diperoleh kalangan kaki hiking tegar daripada Team Newbie Hikers & Outdoor Recreation (T.N.H Outrec) apabila berjaya melunaskan misi menakluk G7, iaitu gunung tertinggi di Semenanjung.

G7 merujuk kepada Gunung Tahan, Korbu, Yong Belar, Gayong, Chamah, Yong Yap dan Ulu Sepat.

Pengasasnya, Shasha Zurazie Salman, 38, berkata, misi menawan G7 itu diselesaikan akhir tahun lalu dan merupakan pencapaian terbesar mereka setakat ini.

Katanya, kelab yang ditubuhkan sejak 2020 itu memiliki lebih 3,000 ahli di seluruh Malaysia sehingga kini.

Jelasnya, penubuhan kelab itu bertujuan memupuk budaya riadah sihat di samping berkongsi idea dan pengalaman bagi memartabatkan lagi bidang pendakian.

CABARAN BERBEZA

Ekspedisi menawan G7 bermula dengan Gunung Tahan yang berketinggian 2,187 meter dari aras laut.

Shasha Zurazie berkata, terdapat dua laluan pendakian, sama ada dari Kuala Tahan atau Merapoh–Sungai Relau.

Katanya, kekuatan fizikal dan mental teruji ketika menyusuri jalan berlumpur, curam sehingga 90 darjah, berakar dan kadangkala landai.

“Namun, pemandangan di puncak Gunung Tahan cukup memukau, jika sampai awal, kita dapat melihat matahari terbit dengan latar belakang awan karpet.

“Untuk menakluk gunung ini, pendaki perlu menjalani latihan sekurang-kurangnya sebulan bagi membina kekuatan stamina,” kongsinya.

Menurut Shasha Zurazie, misi kemudian diteruskan ke Gunung Korbuyang setinggi 2,183 meter dari aras laut yang terletak di Banjaran Titiwangsa.

Katanya, terdapat beberapa laluan trek alternatif untuk sampai ke puncak, tetapi yang sering menjadi pilihan ramai adalah dari Sungai Termin melalui Empangan Sultan Azlan Shah.

“Kami perlu berhati-hati menyusuri beberapa anak sungai, trek tanah merah yang becak dan curam kerana hujan,” katanya.

AIR TERJUN PELAUR JADI TARIKAN

Misi seterusnya ialah di Gunung Yong Belar (2,181 meter) yang merupakan gunung tertinggi di Kelantan.

Shasha Zurazie berkata, seramai 40 ahli kelab menyertai ekspedisi itu menerusi pendakian selama dua hari.

Katanya, mereka perlu menaiki kenderaan pacuan empat roda bagi dibawa ke lokasi mula.

“Tempoh pendakian paling cepat ke gunung ini adalah sehari dan paling lama, tiga hari.

“Kami sempat singgah di kawasan Air Terjun Pelaur yang mirip lokasi filem, The Lord of the Rings dengan hutan mossy yang dipenuhi lumut halus,” tambahnya

Beralih ke Gunung Gayong (2,173 meter) yang terletak di Ulu Kinta, Perak, katanya, pendakian mengambil masa antara 10 hingga 12 jam sehala bergantung kepada

kelajuan individu untuk sampai ke puncak.

Jelas Shasha Zurazie, mereka terpaksa meredah trek di lereng curam, laluan sempit dan halangan kayu balak.

Katanya, pacat juga tidak henti-henti melekat pada kaki, justeru penting untuk pendaki membawa bersama alat semburan khas.

BAU BUSUK NAJIS GAJAH
Berketinggian 2,171 meter dari aras laut, Gunung Chamah yang terletak di Kelantan jarang diterokai kumpulan pendaki kerana cabaran luar biasa.

Malah, Shasha Zurazie berkata, mereka perlu melalui trek berselut dan basah di samping laluan yang mencanak dari permulaan hingga ke puncak.

“Selain itu kami perlu berdepan dengan bau busuk najis gajah.

“Pendek kata, ekspedisi meredah hutan hingga ke puncak Chamah menuntut kekuatan mental dan fizikal paling maksimum,” katanya.
Kata Shasha Zurazie, sebelum pulang mereka tidak melepaskan peluang berehat di tapak perkhemahan Kampung Rekom yang dihuni masyarakat Orang Asli.

KEPUASAN DI YONG YAP
Bagi pendaki baharu yang mahu mencabar diri ke tahap G7 boleh memilih Gunung Yong Yap sebagai permulaan.

Demikian kata Shasha Zurazie ketika mengulas mengenai gunung keenam yang berjaya ditawan mereka.

Gunung Yong Yap yang setinggi 2,168 meter dari aras laut itu terletak di sempadan Perak dan Kelantan, juga merupakan sebahagiaan daripada banjaran Titiwangsa.

Katanya, pendakian mengambil masa hampir lapan jam bagi sehala.

“Kami perlu melalui jambatan gantung dari Kem Agas ke lokasi mula.

“Kemahiran imbangan badan amat penting bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.

Shasha Zurazie berkata, suhu di puncak terlalu dingin walaupun masing-masing lengkap berbaju sejuk.

ULU SEPAT PELENGKAP MISI
Gunung terakhir yang ditawan dalam misi G7 itu ialah Gunung Ulu Sepat yang terletak di Tasik Temenggor, Perak.

Katanya, pendakian ke gunung setinggi 2,161 meter itu boleh dilakukan mengikut dua laluan iaitu dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda dari Sungai Siput yang mengambil masa empat jam atau menaiki bot dari Tasik Banding selama 1 jam 30 minit.

Katanya, sebelum pendakian, mereka diberikan taklimat keselamatan dan perjalanan oleh jurupandu.

“Masa itu keadaaan masih gelap gelita, kami perlu menggunakan lampu kepala dan koordinat GP bagi mengelak sesat.

“Deria mata dan telinga perlu tajam kerana bimbang bertembung dengan haiwan buas atau liar yang boleh mengancam nyawa,” katanya.

Shasha Zurazie berkata, Gunung Ulu Sepat dikelilingi hutan balak, buluh, pokok renek dan mossy.

Katanya, walaupun keletihan tetapi segala halangan dan cabaran berjaya diatasi dengan kerjasama berpasukan.

“Tempoh enam jam diambil untuk kami sampai ke puncak gunung.

“Kami berehat seketika dan mengalas perut dengan bekalan makanan yang dibawa selain bergambar sebagai tanda kenangan,” katanya.

Shasha Zurazie turut berkongsi perancangan T.N.H Outrec untuk menakluk gunung tertinggi Malaysia iaitu Kinabalu di masa depan.

Katanya, segala persiapan kini sedang dilakukan bagi merealisasikan impian itu. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya