BERTEMPAT di Kampung Genting Pulau Tioman, pelajar seawal umur lapan sehingga 17 tahun diberi pendedahan terhadap kepentingan hidupan marin dan asas pengenalan selam skuba.
Lebih kurang 50 pelajar ini telah didedahkan cara menghargai khazanah pelancongan disamping pemeliharaan sumber semulajadi yang ada.
Pelbagai program diadakan seperti penjagaan sumber air di kawasan air terjun, batu karang, pemeliharaan serta pemuliharaan hidupan laut seperti penyu dan ikan.
Selain itu, apa yang saya perhatikan sepanjang program itu, peserta turut diberi peluang melakukan aktiviti snorkeling dan dalam masa sama pengenalan aktiviti selam skuba.
Ketika ditemui Redah Pengarah Program, Syed Rizalman Syed Abu Bakar berkata, Bubble Camp yang memasuki tahun ke-10 ini mempunyai sasaran dan tema tersendiri iaitu Pendidikan dan Kesedaran Tentang Bio-Diversity.
Katanya, program ini diadakan dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Tioman bersama-sama Tourism Malaysia Wilayah Timur dan Tourism Pahang dengan menetapkan sasaran ke arah pemeliharaan serta pemuliharaan hidupan marin di kawasan pulau berkenaan.
“Aktiviti konservasi juga tidak pernah dilupakan sepanjang program Bubble Camp. Tahun ini juga kita teruskan program konservasi tahunan iaitu program ‘Jom Bawa Pulang Sampah,” katanya baru-baru ini.
Jelas Syed Rizalman, sepanjang 10 tahun program berkenaan diadakan, banyak impak positif yang dapat dilihat dalam kalangan generasi muda masa kini.
“Mereka lebih memahami dan tahu cara menjaga kehidupan marin terutamanya batu karang.
“Ia menepati sasaran awal kita. Namun apa yang paling penting, kami mahu pastikan pelajar yang datang ke kem ini tidak pulang begitu sahaja. Mereka akan disematkan dengan sikap positif seperti kerjasama, kebersihan dan juga nilai untuk mencintai alam sekitar,” jelasnya.
Apa yang paling penting, program sebegini sebenarnya sedikit sebanyak dapat mengubah persepsi ibu bapa yang kononnya sukan atau aktiviti berkaitan hidupan marin hanya untuk golongan kaya semata-mata.
Malah, ia dapat dijadikan sebagai medium mengubah sikap yang menjadi permasalahan pokok tentang pencemaran dan bukannya isu baharu yang tidak pernah dirungkai sejak sekian lama.
Selain itu, dengan mengikuti program seperti ini, ia dapat menjadi pendorong kepada pelajar untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang sains marin sebaik tamat persekolahan.
Di negara kita, pelbagai kemudahan disediakan sekiranya pelajar berminat melanjutkan pengajian dalam jurusan kehidupan marin antaranya Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Bidang berkaitan sains marin ini sebenarnya amat luas dan turut menjanjikan kerjaya menarik sebaik tamat pengajian sama ada dalam sektor swasta mahupun kerajaan.
Antara pekerjaan yang boleh diceburi termasuklah pensyarah, pegawai marin atau renjer laut, ahli bioteknologi marin, jurulatih skuba dan ahli geologi marin.
Justeru, rugi rasanya jika program seumpama ini sama ada berkaitan marin mahupun flora dan fauna tidak diteruskan atau dipandang sepi.
Walau apa pun, paling penting, ia banyak membantu pelbagai pihak untuk jangka masa panjang dalam mendidik pelajar ke arah pemeliharaan dan pemuliharaan hidupan marin.
Dengan dikelilingi lebih 20 pulau peranginan menarik di negara ini, usaha pelbagai pihak perlu bermula dari sekarang untuk memastikan tiada lagi ancaman kepada hidupan marin yang banyaknya berpunca daripada sikap kita. – Mingguan Malaysia
Apabila budak diajar asas selam skuba, hidupan marin
- Oleh MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI
- 12 Jun 2022, 6:03 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Tentang KL Sundown 2023 yang santai, jadi terapi minda
10 Disember 2023, 5:43 pm
Tarikan tersembunyi untuk ‘healing’ di Putrajaya, Selangor
26 November 2023, 5:19 pm
‘Bikers’ kongsi pengalaman di Pokhara
5 November 2023, 4:56 pm