Konsep pelancongan bersejarah dipinggir? - Utusan Malaysia

Konsep pelancongan bersejarah dipinggir?

KOTA Cornwallis antara tempat bersejarah yang perlu diketengahkan di Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMAI ‘kaki jalan’ sudah ada pelbagai perancangan sebaik kelonggaran perjalanan mula diberikan termasuk untuk ke luar negara. Masing-masing sibuk merangka pelan dan meninjau kalau-kalau ada tempat menarik bertepatan yang dengan selera mereka. Di media sosial rasanya, sudah beribu iklan pakej percutian muncul tak kira dari dalam atau luar negara.
Ada pelancongan berkonsepkan semula jadi, aktiviti mencabar, membeli belah atau apa sahaja yang dirasakan sesuai.
Mengembara atau pergi bercuti kini sudah dinormalisasi. Faktor media sosial banyak membantu, terutama apabila tempat cantik jadi paparan di setiap platform yang ada. Namun satu perkara yang rasanya masih kurang mendapat tempat lagi iaitu percutian berkonsepkan sejarah atau dalam istilah lain di kenali sebagai history tourism.
Sehingga hari ini, berapa ramai yang betul-betul mahu ambil tahu dan pergi melawat ke tempat bersejarah? Berapa ramai pula menghayati perjuangan pahlawan terdahulu yang terkenal menerusi banyak kisah pertempuran dan peperangan?
Perlu diingat, sejarah boleh dijadikan renungan dan iktibar yang saling berkait rapat dengan kejadian semasa.
Dalam pada itu, kesu­raman pelancongan ini turut diakui Pengasas Histourism iaitu bersama sebuah organisasi yang mengete­ngahkan konsep pelancongan bersejarah, Abdul Wafi Ahmad.
Beliau menyi­fatkan pelancongan bersejarah hanya tertumpu di beberapa negeri.
“Sehingga kini pelancongan berkonsepkan sejarah tidak begitu aktif di negeri lain sedangkan masih banyak tinggalan warisan asal yang masih belum dipromosikan sebaiknya.
“Apabila kita sebut mengenai sejarah, ia tidak terarah kepada tinggalan lama sahaja. Sejarah turut membawa budaya, seni, dan falsafah. Jika seseorang melancong dengan konsep sejarah, dia mencorakkan pemikiran baharu dan ideologi segar. Semua ini sangat penting dalam kehidupan kita. Namun agak malang kerana masih banyak tinggalan sejarah di Malaysia tidak menjadi lokasi tumpuan umum,” jelasnya.
Beliau dalam masa sama turut memberikan contoh Langkawi yang seringkali menjadi tumpuan pelancong baik dalam mahu pun luar negara, namun ada tempat kurang menjadi perhatian.
“Langkawi jadi pilihan utama, tapi jarang sekali kita mendengar pelancong memilih Alor Setar sebagai lokasi percutian mereka. Ini kerana terdapat sebuah kota bernama Kota Kuala Kedah.
“Kota ini berusia 400 tahun dan inilah kota tinggalan Melayu paling lengkap di Malaysia. Ia melambangkan kemajuan orang Melayu menguruskan perdagangan selepas keja­tuhan Melaka selain konflik peperangan berlaku di kota itu. Semua peristiwa ini akan diadunkan lalu menjadi satu bentuk pengajaran kepada kita,” ujarnya.
Walau apapun, ini antara lima tempat yang boleh dilawati bagi mendekati sejarah yang ada di negara ini.

Kota Kuala Kedah
Antara kota tinggalan kerajaan Melayu yang masih kukuh dan terjaga, ia terselit 1,001 kisah di sebalik Perang Musuh Bisik 1821 yang perlu dipelajari dan dihayati generasi pada masa kini. Kota ini turut menjadi simbol perdagangan termaju yang diuruskan orang Melayu sebelum diambil alih kerajaan British di Pulau Pinang.

Kota Cornwallis
Pulau Pinang
Kota ini dibina Kapten Francis Light pada tahun 1786 dan dinamakan sempena Gabenor India Charles Cornwallis pada masa itu. Kawasan ini bukan sahaja menyimpan sejarah kedatangan Inggeris tetapi mempamerkan keindahan suasana dan budaya masyarakat Pulau Pinang.

Masjid Kampung Laut, Kelantan
Masjid ini antara masjid tertua di Asia Tenggara. Pembinaanya tidak menggunakan sebarang paku dan mempunyai unsur budaya Masjid Demak di Jawa, Masjid Champa dan masjid di Thailand. Masjid ini terletak di Pusat Pengajian Islam Universiti Malaysia Nilam Puri.

Kubu Margherita
Jika melancong ke Kuching Sarawak, salah satu lokasi wajib untuk dikunjungi adalah Kubu Margherita yang dibina pada 1879. Istana ini menjadi lokasi penempatan Raja Putih Sarawak Kedua, Sir Charles Brooke. Pernah menjadi sasaran serangan Jepun pada 1941 namun terselamat apabila bom tersasar ke tempat lain. Kubu ini diuruskan Jabatan Muzium Sarawak.

Kampung Budaya Monsopiad
Penampang
Bagi yang inginkan sejarah unik dan menyeramkan, Kampung Budaya Monsopiad pasti memberikan satu pengalaman menyeramkan. Di sinilah terletaknya himpunan tengkorak manusia yang dipenggal kepalanya yang berusia lebih 300 tahun. Semua 42 tengkorak tersebut disusun di dalam pondok. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya