“Dulu, dia selalu mengambil berat tentang saya. Tetapi selepas berkahwin, kenapa semuanya terasa berbeza?”
Persoalan itu mungkin bermain dalam fikiran sesetengah pasangan apabila mula merasakan perubahan sikap insan tersayang selepas melangkah ke alam rumah tangga.
Perkahwinan bukan sekadar hidup bersama, sebaliknya menuntut usaha memahami perasaan, menerima kekurangan dan menyesuaikan diri dengan keperibadian pasangan yang mungkin tidak begitu ketara ketika bercinta.
Ada yang merasakan perhatian semakin berkurangan, manakala ada juga yang berdepan kesukaran apabila perbincangan mengenai perkara kecil berakhir dengan perselisihan faham.
Bagi Hanis Amira Badrul, 29, perubahan sikap suami selepas berkahwin paling dirasai apabila luahan perasaannya yang dahulu mendapat perhatian kini dianggap sebagai rungutan.
“Dulu, kalau saya ada masalah, dia akan cuba memujuk dan menenangkan saya. Selepas berkahwin, apabila saya cuba bercerita, dia menganggap saya suka membebel dan mencari gaduh,” katanya kepada Seri.
Menurut Hanis Amira, keadaan itu membuatkannya berasa keseorangan apabila suami yang dahulunya menjadi tempat berkongsi masalah kini seolah-olah tidak lagi mahu mendengar luahan hatinya.
“Saya boleh tidur di sebelah suami setiap malam, tetapi masih berasa seperti tidak mempunyai pasangan. Saya cuma mahu suami memahami saya dan tidak membiarkan saya menghadapi semuanya seorang diri,” katanya.

Sementara itu, Amirul Hafiz Ismail, 31, pula berdepan dengan pengalaman berbeza apabila merasakan isterinya semakin sukar menerima pandangan berbeza dan mahu dirinya sentiasa betul setiap kali berlaku perselisihan faham.
“Kadang-kadang apabila saya balik kerja dalam keadaan penat, perkara kecil pun boleh menjadi punca pergaduhan. Apa yang membuatkan saya kecewa, setiap kali kami bertengkar, dia seolah-olah mahu dirinya sahaja yang betul tanpa cuba memahami keadaan saya,” ujarnya.
Keadaan itu menyebabkan mereka semakin sukar mencari jalan penyelesaian kerana masing-masing seolah-olah gagal memahami perasaan dan keadaan satu sama lain.
“Ada masanya saya rasa seperti orang asing walaupun tinggal serumah. Saya penat apabila setiap masalah berakhir dengan keadaan saya juga yang perlu mengalah, seolah-olah perasaan saya langsung tidak penting,” katanya.
Pensyarah Kanan Jabatan Pendidikan Kaunselor dan Psikologi Kaunseling, Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Dharatun Nissa Puad Mohd Kari berkata, tidak semestinya seseorang berubah sepenuhnya selepas berkahwin, sebaliknya kehidupan bersama membolehkan pasangan mengenali keperibadian masing-masing dengan lebih mendalam.

“Sebenarnya, tidak semestinya seseorang itu berubah sepenuhnya selepas berkahwin. Ada kalanya, kita baru mula mengenali sisi sebenar pasangan apabila menjalani kehidupan bersama,” katanya.
Menurutnya, ketika bercinta, seseorang lazimnya berusaha menampilkan sisi terbaik dirinya agar kelihatan menarik, penyayang dan memahami pasangan.
Keadaan itu menyebabkan individu lebih cenderung melihat kelebihan pasangan berbanding kelemahannya, malah ada yang menganggap sikap tertentu tidak begitu penting kerana terlalu dibuai perasaan cinta.
Bagaimanapun, kehidupan selepas berkahwin melibatkan tanggungjawab harian, tekanan pekerjaan, komitmen kewangan dan urusan rumah tangga yang boleh memperlihatkan cara sebenar seseorang mengurus emosi serta menghadapi tekanan.
Jangkaan berbeza cetus konflik
Dr. Dharatun Nissa berkata, perbezaan latar belakang keluarga boleh mempengaruhi cara seseorang memahami kasih sayang, mengurus kewangan, membahagikan kerja rumah serta melaksanakan tanggungjawab sebagai suami atau isteri.
Katanya, setiap individu membawa nilai, kebiasaan dan cara hidup yang dipelajari daripada keluarga asal ke alam perkahwinan.
Perbezaan ini mungkin tidak begitu ketara ketika bercinta, namun mula dirasai apabila pasangan menjalani kehidupan bersama.
“Dalam kaunseling keluarga, kita memahami seseorang bukan sahaja membawa dirinya ke dalam perkahwinan, tetapi turut membawa nilai, kebiasaan dan cara hidup yang dipelajari daripada keluarga asalnya.
“Contohnya, seorang suami mungkin terbiasa melihat ibunya menguruskan hampir semua kerja rumah, manakala isterinya pula dibesarkan dalam keluarga yang kedua-dua ibu bapanya bekerja dan saling membantu mengurus rumah tangga,” jelasnya.
Keadaan itu boleh menyebabkan pasangan menganggap cara hidup yang diamalkan dalam keluarga masing-masing sebagai sesuatu yang biasa dan sewajarnya diteruskan selepas berkahwin.
Apabila jangkaan tersebut tidak selari, konflik mudah tercetus, terutama jika pasangan tidak pernah berbincang secara terbuka tentang pembahagian tanggungjawab dan peranan masing-masing.
Selain urusan rumah tangga, pengurusan kewangan, tanggungjawab terhadap ibu bapa, penjagaan anak serta cara membuat keputusan juga perlu dibincangkan bagi mengelakkan salah faham.
Janji perlu disertai tindakan
Janji yang tidak ditunaikan selepas berkahwin juga boleh menjejaskan kepercayaan antara pasangan.

Menurut Dr. Dharatun Nissa, kepercayaan merupakan elemen penting dalam hubungan suami isteri kerana ia membolehkan pasangan berasa selamat, dihargai dan yakin terhadap komitmen yang dibuat.
Apabila janji diketepikan tanpa penjelasan atau persetujuan bersama, pasangan yang terkesan mungkin berasa dikhianati, tidak dihormati dan sekali gus mula mempersoalkan kejujuran orang yang dipercayainya.
Katanya, janji yang tidak dapat ditunaikan akibat perubahan keadaan perlu dibezakan daripada janji yang sengaja dimungkiri.
Dalam keadaan tertentu, perubahan seperti kehilangan pekerjaan, masalah kesihatan atau kemampuan kewangan boleh menyebabkan perancangan asal tidak dapat diteruskan.
Apa yang penting ialah pasangan perlu bersikap jujur, menjelaskan keadaan sebenar dan berbincang untuk mencari penyelesaian bersama.
Perselisihan faham merupakan perkara biasa dalam kehidupan berumah tangga dan tidak semestinya menandakan perkahwinan sedang menuju kegagalan.
Ujarnya, pasangan perlu mengelakkan sikap saling menyalahkan dan sebaliknya bekerjasama mencari penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi.
“Komunikasi yang baik penting untuk membolehkan pasangan menyampaikan perasaan dan keperluan masing-masing tanpa mencetuskan pertengkaran yang lebih besar.
“Selain memberikan peluang kepada pasangan untuk menjelaskan pandangannya, kemahiran mendengar turut membantu kedua-dua pihak memahami perasaan di sebalik sesuatu reaksi,” jelasnya.
Jika perbincangan menjadi terlalu tegang, pasangan boleh mengambil masa untuk bertenang sebelum meneruskannya apabila emosi lebih terkawal.
Perlu jaga batas dengan keluarga
Jelas Dr. Dharatun Nissa, penglibatan ibu bapa dan keluarga besar boleh menjadi sumber sokongan kepada pasangan, khususnya ketika menghadapi cabaran rumah tangga.
Namun, masalah boleh timbul apabila campur tangan berlaku secara berlebihan sehingga menjejaskan kepercayaan dan kebebasan suami isteri membuat keputusan bersama.
Pasangan yang merasakan pandangannya sering diketepikan mungkin berasa dirinya tidak mempunyai kedudukan sewajarnya dalam rumah tangga sendiri.
“Dalam hal ini, suami isteri perlu menetapkan sempadan yang jelas tentang perkara yang wajar melibatkan keluarga besar dan perkara yang sepatutnya diputuskan bersama.
“Keputusan berkaitan kewangan, tempat tinggal, pendidikan anak dan pengurusan kehidupan seharian, misalnya, perlu mengambil kira pandangan serta keperluan kedua-dua pasangan,” katanya.
Pada masa sama, pasangan perlu bijak menjaga privasi rumah tangga dan tidak sewenang-wenangnya berkongsi setiap perselisihan dengan keluarga besar, kerana tindakan itu boleh menimbulkan salah faham berpanjangan.
Tidak seperti dalam drama
Pakar Psikologi Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Madya Dr. Fauziah Mohd Sa’ad berkata, individu cenderung melihat pasangan secara ideal ketika bercinta sehingga kelemahan dan perbezaan personaliti tidak dinilai secara objektif.

Kecenderungan itu dikenali sebagai idealization bias, iaitu keadaan apabila seseorang lebih menumpukan perhatian kepada kelebihan pasangan berbanding kekurangannya.
“Perasaan cinta dan emosi positif boleh menyebabkan seseorang kurang menilai perbezaan personaliti secara objektif.
“Gambaran hubungan yang terlalu sempurna dalam drama romantik dan media sosial juga boleh mempengaruhi jangkaan seseorang terhadap kehidupan selepas berkahwin,” ujarnya.
Apabila realiti rumah tangga tidak menepati gambaran yang diharapkan, pasangan mungkin berasa kecewa, malah menganggap hubungan mereka tidak lagi membahagiakan.
Perkahwinan bukan sekadar tentang kemesraan dan perhatian romantik seperti yang sering dipaparkan dalam drama.
Sebaliknya, turut menuntut komitmen, tanggungjawab dan kesediaan kedua-dua pihak untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan sebenar.
Kematangan emosi penting
Kata Dr. Fauziah, kematangan emosi merupakan antara aspek penting yang perlu dinilai dalam diri bakal pasangan, khususnya melalui cara mereka mengawal kemarahan, menerima teguran dan menangani perbezaan pendapat.
Individu yang matang dari segi emosi seharusnya mampu mengakui kesilapan, bertanggungjawab terhadap tindakannya serta berbincang secara rasional tanpa merendahkan atau menghina pasangan.
Ujarnya, pasangan juga perlu membezakan antara perubahan sikap yang boleh diatasi melalui penyesuaian dengan tingkah laku manipulatif atau penderaan yang boleh menjejaskan kesejahteraan diri.











