‘Muka biru sebab jantung terbalik’ - Utusan Malaysia

‘Muka biru sebab jantung terbalik’

SEBAHAGIAN peserta pada majlis A Heart-to-Heart Talk berkaitan penyakit jantung kongenital (CHD) dalam kalangan bayi di Institut Jantung Negara, baru-baru ini. – UTUSAN/HALINA MD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CERITA 1
Antara hidup dan mati

Zuraidah Che Ros, 44, terpaku apabila doktor memberitahu, bayi perempuannya yang baru dua minggu dilahirkannya mempunyai jantung terbalik.

Hatinya amat sebak mengenangkan nasib bayi yang diberikan nama Siti Batrisya itu yang berada dalam keadaan antara hidup atau mati.

“Seminggu di rumah selepas keluar dari hospital bersalin, memang tiada apa-apa masalah. Siti Batrisya nampak sihat sahaja tetapi selepas itu mukanya mula berubah jadi biru.

“Risau dengan keadaan itu, saya segera membawanya ke Hospital Selayang. Doktor sahkan anak saya mengalami sakit jantung kerana jantungnya terbalik,” katanya berkongsi kisah sedih itu pada majlis A Heart-to-Heart Talk berkaitan penyakit jantung kongenital (CHD) dalam kalangan bayi di Institut Jantung Negara, baru-baru ini.

Ia dianjurkan IJN dengan kerjasama Tabung Jantung Kanak-Kanak AsianTenggara Nu Skin (SEACHF) sempena Hari Jantung Sedunia.

Keadaan jantung kanan Siti Batrisya yang terbalik menyebabkan salur darahnya terbelit dan darah tidak dapat disalurkan ke badan dengan lancar seperti jantung normal.

Lebih merisaukan Zuriadah adalah kos pembedahan untuk merawat jantung anaknya itu sangat mahal.

“Namun saya bersyukur kerana dengan adanya bantuan IJN Foundation dan SEACHF, kedudukan salur darah dalam jantung anak dapat diperbetulkan melalui pembedahan,” katanya.

Hari ini, Siti Batrisya Sohibul Anuar sudah pun mencecah usia 13 tahun dan menjalani hidup seperti remaja lain yang aktif.

Ketabahan ibunya menjadi pendorong kepada anak gadis itu untuk lebih positif dalam menjalani kehidupan harian.

CERITA 2
Bayi kerap menangis 

KASTURI Mariah, 40, berkata, anaknya, Subaaksh Kumaran sering menangis sejak dilahirkan.

“Saya hairan kenapa anak saya ini selalu menangis dan kulitnya nampak biru.

“Bila saya bawa anak ke Klinik Kesihatan berhampiran untuk mendapatkan suntikan berjadual bayi, saya terkejut apabila doktor yang memeriksanya memaklumkan Subaaksh ada masalah jantung,” katanya.

Doktor lantas memberikan surat rujukan ke Hospital Besar Tuanku Ampuan Rahimah, Klang untuk pemeriksaan lanjut.

Hasil pemeriksaan mendapati Subaaksh ada masalah jantung berlubang.

Pemeriksaan lanjut di IJN akhirnya menemui si kecil rupa-rupanya ada dua masalah iaitu jantung berlubang dan saluran darah dalam jantung sempit.

Subaaksh akhirnya selamat menjalani pembedahan yang dianggarkan membabitkan kos RM48,000 hasil pembiayaan IJN Foundation.

“Kalau ikutkan memang tidak mampu kerana suami, Kumanan Vanggumany, 40, bekerja sebagai pemandu bas sahaja,” katanya berterus terang.

Subaaksh yang kini berusia 15 tahun perlu menjalani pemeriksaan susulan setahun sekali di IJN.

Namun baru-baru ini, Subaaksh didapati perlu menjalani satu lagi pembedahan dijadualkan November depan berikutan salur darah dalam jantungnya pula bocor.

CERITA 3
Anak sering sakit dada

KERAP sakit dada rupa-rupanya pertanda Nurul Syafina Zulazmi,4, mengalami jantung berlubang.

Ibu, Norasyikin Abdullah, 48, menjelaskan memang pada peringkat awal beliau tidak menyangka situasinya anaknya itu sebegitu kritikal.

Mengakui risau dengan kos pembedahan lantaran dirinya hanya bekerja kilang manakala suami bekerja sendiri.

Bagaimanapun beliau melahirkan rasa syukur kerana kos pembedahan dibiayai IJN Foundation.

Nurul Syafina yang kini berusia 14 tahun, kembali sihat selepas lapan tahun menjalani pembedahan jantung.

Struktur tak normal punca CHD

Penyakit jantung kongenital (CHD) adalah pembentukan struktur jantung yang tidak normal yang berlaku sejak bayi di dalam kandungan lagi.

Pembentukan tidak normal ini bukan saja membabitkan struktur jantung tetapi kawasan berhampirannya seperti salur darah yang bersambung dengan jantung.

Pakar Kardiologi Paediatrik IJN, Dr. Joyce Darshinee berkata, jantung terbentuk pada 35 hari usia kehamilan iaitu sebelum seorang ibu itu tahu atau menyedari mereka hamil.

“Ketika ibu tahu mereka hamil, jantung sudah pun terbentuk. Jadi, sukar untuk mengesan CHD kecuali selepas beberapa bulan kehamilan,” katanya.

Pada 2017, dilaporkan seramai 1.8 juta atau seorang daripada 100 bayi mengalami CHD.

Di negara ini, dari 500,000 bayi yang dilahirkan, 5,000 dikesan mengalami CHD.

IJN menerima 11,000 hingga 12,000 bayi CHD setahun.

Lebih 70 peratus pesakit memerlukan bantuan kewangan untuk menjalani rawatan dan pembedahan.

Kira-kira 1000 pesakit memerlukan pembedahan jantung manakala selebihnya memerlukan rawatan tanpa pembedahan.

FAKTOR RISIKO

Beberapa faktor risiko dikenalpasti menyebabkan CHD iaitu jangkitan dialami ketika hamil, sejarah keluarga dan genetik.

Kadangkala risiko boleh membabitkan tiga generasi keluarga.

Risiko meningkat sebanyak 2.5 hingga 5 peratus jika ada seorang bayi dalam keluarga pernah mengalami CHD.

Dr. Joyce berkata, risiko bertambah sekiranya ada dua kes CHD dalam keluarga kepada tiga hingga 10 peratus.

“Sekiranya ibu atau bapa menghidap CHD, risiko adalah sebanyak 3.1 peratus. Risiko akan lebih tinggi sekiranya ibu menghidap CHD berbanding bapa.

“Faktor lain menyebabkan CHD adalah bayi dilahirkan dengan masalah genetik seperti Sindrom Down, Turner, Noonan dan DiGeorge.

“Kira-kira 50 peratus bayi Sindrom Down mengalami CHD. Jenis CHD yang kerap dialami adalah Atrioventricular Septal Defect (ASD) dan Atrial Septal Defect,” katanya.

Penyakit seperti diabetes semasa hamil juga boleh meningkatkan risiko bayi mengalami CHD kerana ubat insulin boleh memberikan kesan ke atas perkembangan bayi.

“Merokok dan minum alkohol semasa hamil juga tidak bagus. Selain itu, ubat-ubatan lain yang dimakan oleh ibu juga boleh memberikan kesan secara tidak langsung ke atas kandungan.

“Jangkitan semasa mengandung juga penting diambil berat. Ibu yang mengalami demam dan ruam, perlu segera mendapatkan rawatan,” katanya.

PENTING ANTENATAL
Pemeriksaan antinatal boleh mengesan masalah jantung bayi sebelum dilahirkan.

Pemeriksaan biasanya dijalankan pada minggu ke 18 dan 22 kehamilan.

“Sekiranya ada masalah yang dikesan pada jantung, ibu akan dirujuk ke pakar jantung atau kardiologis yang akan memeriksa jantung bayi.

“Minggu ke 22 hingga 24 adalah masa terbaik untuk melihat keadaan jantung bayi. Bagaimanapun ini bergantung kepada kedudukan bayi.

Kadangkala sukar untuk melihat jantung bayi dengan jelas kerana kedudukan mereka,” katanya.

Ujarnya, selepas dilahirkan, bayi perlu menjalani ujian menggunakan elektrokardiogram (ECG) dan sinar X untuk melihat keadaan jantung dan paru-paru.

JENIS CHD

Jenis CHD paling kerap berlaku dalam kalangan bayi adalah Ventricular Septal Defect (VSD) dan Tetralogy of Fallot:

Ventricular Septal Defect (VSD)

* VSD adalah keadaan di mana terdapat lubang pada dinding yang memisahkan bilik bawah jantung (ventrikel kanan dan kiri).

* Ia menyebabkan aliran darah dari jantung ke paru-paru berubah.

* Darah kaya oksigen yang sepatutnya dipam ke seluruh tubuh, dipam semula ke paru-paru.

* Situasi itu menyebabkan darah kaya oksigen bercampur dengan darah kurang oksigen.

* Ia menyebabkan tekanan darah dalam paru-paru meningkat dan memerlukan jantung bekerja kuat untuk mengepam darah.

Tetralogy of fallot

* Disebabkan gabungan empat kecacatan kongenital.

* Struktur jantung menyebabkan darah kurang oksigen keluar daripada jantung dan masuk ke seluruh badan.

* Kulit penghidap biasanya kebiruan kerana darah mereka tidak mengandungi oksigen.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya