Kuih raya tradisi laris kerana nostalgia - Utusan Malaysia

Kuih raya tradisi laris kerana nostalgia

Kuih raya lama masih menjadi pilihan untuk disajikan pada Hari Raya Aidilfitri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP kali Syawal menjelma, ada sahaja kuih raya moden baharu di pasaran dengan nama unik termasuk yang diinspirasikan daripada nama selebriti mahupun siri drama popular.

Kadang kala nama yang diberikan langsung tidak menggambar­kan rasa dan rupa bentuk kuih berkenaan, hingga terbelit-belit lidah mahu menyebutnya.

Lambakan juadah moden itu, bagaimanapun tidak mengancam kedudukan kuih tradisi seperti semperit, tart nanas, siput, gunting, kelapa, buah kana, bijan, makmur dan bahulu.

Cef selebriti, Suwarsi M. Arukin berkata, hingga kini kuih lama masih menjadi buruan ramai untuk dinikmati di Aidilfitri.

Situasi itu barangkali kerana keaslian rasa dimiliki, di samping kuih lama menggamit nostalgia zaman kecil.

“Faktor itulah yang menjadikan kuih lama tetap laris kerana ia bukan sekadar dimakan, sebaliknya turut membawa bersama 1,001 kenangan manis dengan insan tersayang terutama yang sudah tiada.

“Sewaktu menikmatinya, pasti kita terbayang kemeriahan raya dan kenangan silam bersengkang mata menolong ibu dan nenek menyiapkan kuih berkenaan,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Suwarsi berkata, menjadi tanggungjawab setiap individu untuk mempertahankan menu warisan itu termasuk menghidangkan pada musim perayaan agar tidak pupus ditelan zaman.

Katanya, kebanyakan generasi muda terutama Z dan Alpha berkemungkinan tidak mengenali kuih lama kerana tiada pendedahan mengenai cara pembuatan dalam kalangan keluarga sejak kecil.

“Dahulu proses pembuatan kuih raya dibuat secara bersama dan masing-masing ada tugasan yang diberikan ibu atau nenek, jadi secara tidak langsung kita tahu bagaimana tekniknya.

“Walaupun saya menjual kuih raya, tetapi saya turut berkongsi resipi dengan masyarakat di media sosial bagi mendidik mereka untuk mahir menghasilkan makanan warisan kita,” katanya.

Agar-agar kering sumber rezeki

Bagi mempertahankan resipi turun-temurun keluarga, seorang pemuda berusia 29 tahun dari Kuala Terengganu memilih menjual agar-agar kering sebagai cenderahati eksklusif pada Hari Raya Aidilfitri.

Muhammad Shohaimil Haffiz Salleh berkata, aktiviti itu bermula sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 dan diteruskan hingga kini berikutan mendapat permintaan tinggi.

Muhammad Shohaimil Haffiz Salleh tidak menang tangan menyiapkan tempahan agar-agar kering. Jenama Dapo Mama keluarannya itu masih mengekalkan cara tradisi dengan dijemur di bawah matahari.

Katanya, pada musim perayaan lalu, kira-kira 5,000 botol kuih tradisi itu laris dan tahun ini, pengeluaran disasarkan untuk ditingkatkan kepada 10,000 botol.

“Sebagai orang muda saya terpanggil untuk menghidupkannya semula agar-agar kering yang sudah lama ditinggalkan menerusi resipi tinggalan arwah moyang,” katanya.

Menurut Muhammad Shohaimil Haffiz, kaedah penghasilan agar-agar kering berjenama Dapo Mama keluarannya itu masih mengekalkan cara tradisi dengan dijemur di bawah matahari.

Katanya, langkah itu bagi memastikan ketahanan produk mencecah lebih setahun dan tidak mudah berkulat selain menjanjikan lebih kerangupan.

Ujarnya, proses penyediaan kuih tradisi itu sudah bermula sejak akhir bulan lalu dan kini tidak menang tangan untuk menyiapkan tempahan pelanggan.

“Jika kurang kering, struktur luarnya tidak berkaca. Di samping itu, saya turut mengolah resipi agar tidak terlalu manis dan sesuai dengan citarasa semua peringkat umur,” katanya.

Tambah Muhammad Shohaimil Haffiz, agar-agar keringnya menjadi pilihan ramai kerana pembungkusan menarik dan eksklusif termasuk gerobok, kotak tisu, bakul dan beg dengan tawaran harga dari RM50 hingga RM250.

Boleh inovasi tetapi kekal identiti

Pensyarah kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Terengganu, Arma Mohd. Faizal Abu Bakar berkata, makanan tradisi merupakan sebahagian budaya masyarakat yang harus dikekalkan sampai bila-bila.

Seiring perkembangan arus pemodenan, kaedah pembuatan kuih raya lama boleh ditambah baik dengan inovasi tertentu.

Ujarnya, pendekatan itu sekali gus dapat mempercepatkan atau meningkatkan tahap pengeluaran makanan berkenaan.

“Asas pembuatan kuih lama dan moden adalah sama cuma bezanya daripada segi masa di samping peralatan yang digunakan.

“Peralatan masyarakat dahulu terhad, sebab itu proses pembuatan kuih mengambil masa yang panjang untuk disiapkan, tetapi kini terdapat pelbagai mesin berteknologi tinggi misalnya mesin khas pembuatan kuih tart nanas,” katanya.

Umumnya bahan-bahan bagi kuih raya tradisi lebih mudah didapati di pasaran dengan kos yang rendah berbanding kuih moden yang lazimnya menggunakan keju, coklat atau sapuan coklat buatan luar negara yang mahal harganya.

Begitupun menurut Arma Mohd. Faizal, sebarang inovasi atau pembaharuan tidak wajar dibuat secara keterlaluan hingga mengubah identiti atau keaslian kuih lama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya