BAGI yang takut dengan si bulus pasti menyangka kucing yang bermain-main di kaki dan melompat-lompat akan menggigit dan mencakar.
Sebenarnya, itu tanda kucing suka diajak bermain. Tingkah laku ini dikenali sebagai zoomies.
Menurut The Bark dan Pet Care Expert, zoomies atau frenetic random activity period (FRAP) adalah keadaan yang mana kucing ingin mengeluarkan tenaga yang lama tersimpan dengan melompat-lompat, bergerak lincah atau terlebih aktif.
Kucing dan haiwan lain yang suka melompat dan aktif seperti ini juga adalah untuk menghilangkan tekanan.
Jika melihat kucing tidak aktif pada waktu siang, pastikan kerap bermain dengannya. Ini bagi mengelakkan tenaga kucing tersimpan terlalu lama dalam badan.
Maka kucing tidak akan melakukan zoomies pada yang tidak sepatutnya seperti waktu malam.
RANGSANG KUCING AKTIF
Pastikan kucing diajak bermain selama 15 minit setiap hari. Ini memastikan si bulus ceria dan sihat.
Beberapa jenis permainan sesuai untuk bermain dengan kucing. Antaranya:
* Mainan bertali seperti tali pancing yang mempunyai umpan berbulu.
* Benang atau tali akan mengumpan kucing untuk menangkapnya.
* Boleh gunakan segulung tisu tandas untuk membuatkan kucing leka bermain. Golekkan atas lantai dan si bulus akan mengejarnya.
* Paling mudah, berikan stoking yang tiada pasangannya atau gunakan laser yang dipancarkan di dinding dan lantai. Kucing akan melompat-lompat, memburu, mengejar dan terhibur sehingga kepenatan dengan permainan ini.
Tujuannya adalah untuk merangsang kucing agar bermain tanpa henti dan aktif.
Selain itu, ia sebagai salah satu cara meletihkan kucing supaya dapat tidur dengan nyenyak pada waktu malam.
Namun jika kucing mengalami zoomies pada waktu malam sehingga mengganggu orang lain untuk tidur, janganlah sesekali memarahi atau menghukum si bulus ini.
Biarkan sahaja atau beri makanan untuk menghentikan aktiviti aktif itu.
Biasanya, si bulus boleh ditempatkan di kawasan yang sunyi dan tenang untuk elak zoomies ini namun tidak dibenarkan sesekali mengganggu kucing yang sedang melakukan zoomies kerana akan menyebabkan si bulus bertambah hiperaktif.