Tambah baik akta ‘hukum’ orang ketiga - Utusan Malaysia

Tambah baik akta ‘hukum’ orang ketiga

Benarkah akta boleh menjadi ‘senjata’ atau sekadar undang-undang atas kertas?
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ketika ini kes ‘sondol-menyondol’ dan orang ketiga masih lagi hangat diperkatakan. Dalam kehangatan tersebut, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 antara yang disebut-sebut sebagai salah satu langkah selamat yang boleh diambil oleh isteri bagi menyelamatkan suami daripada ‘disondol’.

Akta berkenaan antara lain bertujuan mengelakkan sebarang gangguan daripada pihak ketiga terhadap suami.

Namun, jika diteliti semula, rasanya jarang atau boleh dikatakan tidak pernah langsung terdengar mengenai orang ketiga yang dibawa ke muka pengadilan atau didakwa di Mahkamah Syariah atas aduan yang dibuat oleh isteri.

Lalu, benarkah akta ini boleh menjadi ‘senjata’ wanita atau sekadar hanya undang-undang di atas kertas?

Peguam Syarie, Amirul Akmal Ismail berkata, di bawah akta berkenaan terdapat dua Seksyen iaitu 37 dan 38.

Kedua-dua seksyen berkenaan memperuntukkan mengenai kesalahan dilakukan oleh mana-mana orang dengan menghalang mana-mana pasangan suami isteri untuk hidup sebagai suami isteri serta tindakan menghasut, memaksa atau memujuk seorang lelaki atau perempuan yang sudah berkahwin supaya bercerai atau mengabaikan tanggungjawab hakiki yang digariskan syarak kepada suami isteri.

Ia adalah merupakan suatu kesalahan jenayah syariah yang terangkum di bawah Akta 559 ini.

Bagaimanapun, melalui pengalamannya, belum pernah ada aduan dibawa hingga ke peringkat pendakwaan.

Kebanyakan kes, katanya, berakhir dengan notis Tiada Tindakan Lanjut (NFA), yang seolah-olah memperlihatkan masih terdapat kelompongan pada penguatkuasaan akta berkenaan yang sepatutnya telah dilaksanakan sebaik mungkin.

Hal ini jelasnya adalah disebabkan oleh elemen pembuktian yang adakalanya sukar dipenuhi pengadu dan kemudiannya setelah siasatan dibuat ke atas aduan salah seorang pasangan tersebut, disebabkan oleh faktor bukti atau ia tidak memenuhi elemen dalam seksyen tersebut, siasatan aduan tersebut akan dipinda pula ke pendakwaan seksyen lain.

Aduan tersebut akhirnya tidak dapat diteruskan ke peringkat pendakwaan di Mahkamah Syariah.

“Bagi kedua-dua seksyen itu, saya tidak pernah dengar ada yang dibawa sehingga ke peringkat pendakwaan, malah jika dilihat pada statistik juga tidak ada.

“Kebiasaannya setelah diambil keterangan dan disiasat, kes akan berakhir dengan NFA, kerana bukti yang diberikan tidak mencapai kehendak undang-undang berkenaan atau kerana aduan tersebut tidak memenuhi kehendak seksyen tersebut serta disiasat di bawah seksyen lain, apabila terdapat bukti seperti suami melakukan zina dengan orang ketiga itu,” katanya.

Kes seperti persetubuhan haram disiasat mengikut Seksyen 23 Persetubuhan Haram di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah 1993.

Kes sedemikian, hanya kekal di peringkat aduan sahaja dan orang ketiga tidak pernah dibawa ke muka pengadilan di bawah seksyen berkenaan.

Mengenai bukti kukuh bagaimana diperlukan, katanya ia boleh terdiri daripada dokumen-dokumen berkaitan, tangkap layar perbualan atau video yang boleh membuktikan sememangnya berlaku gangguan daripada pihak ketiga.

Pihak ketiga dikategorikan kepada dua golongan iaitu dalaman dan luaran.

Kategori dalaman terdiri daripada ahli keluarga seperti ibu bapa, adik-beradik dan ipar-duai.

Sementara, kategori luaran, adalah rakan sekerja, kekasih gelap dan sebagainya.

Sehubungan itu, tegasnya, satu pindaan atau pembaharuan perlu dilakukan terhadap akta berkenaan supaya dapat dikuatkuasakan dengan lebih baik.

Amirul mencadangkan beberapa penambahbaikan atau pindaan dilakukan pada akta berkenaan supaya dapat memberi pengajaran kepada orang ketiga.

Katanya, Seksyen 107 yang memperuntukkan Perintah tegahan di bawah Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor ) 2003 boleh dipinda dengan menambahkan perkataan ‘hal ehwal suami isteri yang masih dalam hubungan suami isteri’ di dalam seksyen sedia ada bagi membolehkan suatu perintah interim melarang orang ketiga daripada mendekati pasangan dapat diberikan melalui Mahkamah Syariah.

Seksyen itu pada ketika ini hanya memperuntukkan suami isteri yang masih belum selesai atau pada atau selepas pemberian sesuatu perintah perceraian, fasakh, atau pembatalan untuk tidak mengganggu pasangan atau bekas pasangan.

“Pada hemat saya, Seksyen 37 dan 38 sudah cantik, cumanya jika siasatan tidak boleh diteruskan di atas sebab-sebab yang saya sebutkan di awal tadi, lebih bagus sekiranya dapat menguatkuasakan Seksyen 107 yang telah ditambahbaik dengan perintah injuksi terhadap pihak ketiga.

“Oleh itu, jika aduan sudah dibuat, isteri boleh memohon pula perintah injuksi dibawah 107 bagi menghalang orang ketiga mendekati keluarga, selain itu pasangan yang datang mengadu tersebut perlulah digalakkan untuk menjalani Program Pasca Perkahwinan bagi memperbaiki keadaan perkahwinan mereka,” ujarnya.

Selain itu, katanya, negara Barat sudah lama menguatkuasakan undang-undang yang membolehkan isteri atau suami mendapat pampasan dan bayaran ganti rugi sekiranya pasangan curang melalui Alienation Of Affection Law. Ada juga menjadikan ia suatu kesalahan jenayah yang terangkum dalam penal code atau hudud di negara-negara lain.

“Jadi, jika peruntukan tersebut tidak boleh teruskan pendakwaan jenayah, jadikan ia sebagai tindakan sivil dalam tuntuan fasakh atau tuntutan penceraian dan isteri atau suami yang teraniaya dapat memohon pampasan di atas kecurangan yang dilakukan oleh pasangan mereka seperti mana yang dilakukan oleh negara luar lain,” jelasnya lagi.

Wanita perlu bersedia

Presiden Persatuan Wanita Inspirasi Negara (WIN,) Norhimah Aziz menasihatkan wanita perlu sentiasa bersedia menghadapi kemungkinan dalam dunia perkahwinan.

Usia perkahwinan katanya bukan tiket untuk seseorang itu boleh menjadi terlalu selesa kerana segala kemungkinan boleh terjadi.

“Semua sedia maklum sekiranya ada pihak ketiga boleh tampil ke hadapan mengikut saluran undang-undang dan yang mengganggu boleh kena tindakan.

“Wanita kena tahu hak mereka dan apa mereka boleh tuntut sekiranya berlaku kerana kalau mereka tidak tahu, lelaki akan ambik mudah perkara berkenaan,” ujarnya.

Jelasnya, wanita sama sekali tidak menolak poligami memandangkan ia jelas dinyatakan di dalam al-Quran.

Cuma, ia bergantung kepada sikap suami, sama ada mampu bersikap adil, kerana yang paling ditakuti wanita adalah ketidakadilan.

“Apapun jangan jadikan media sosial sebagai ‘lokasi’ mengaibkan, sebaliknya gunakan ia untuk mencari penyelesaian.

“Apabila berlaku sesuatu, dapatkan bukti dahulu kerana mencari kepastian itu perlu sebelum bertindak.

“Kepada wanita bujang, kalau boleh cari lah lelaki bujang atau duda. Kisah sondol-menyondol ini hanya mencari jalan mudah untuk senang kerana sasaran selalunya lelaki berjaya,” akhirinya.

‘Ajar’ perosak rumah tangga dengan undang-undang
KALAU diperhatikan dalam media sosial, apabila ada kes selebriti yang suaminya mempunyai hubungan dengan wanita lain atau dia dimadukan, bukan main lagi ramai mengulas terutamanya golongan wanita. Ada yang memberi nasihat tetapi paling ramai yang beremosi dan mengecam.

Sedangkan yang sering berlaku apabila kecaman demi kecaman terhadap suami atau wanita yang dikatakan pengganggu rumah tangga itu, ia tidak langsung menjejaskan apa-apa. Malah hubungan terlarang mereka itu menjadi semakin kuat.

Pada masa sama, agak menghairankan pula apabila ada pihak tertentu memuat naik maklumat berguna untuk memberi kesedaran kepada wanita bahawa ada peruntukan undang-undang untuk mendakwa pengganggu rumah tangga sehingga pelaku boleh didenda dan dipenjarakan, tidak ramai pula yang teruja ingin bertanya lanjut atau komen.

Banyak maklumat yang boleh para isteri dapat di situ. Ada pengamal undang-undang memberi penerangan dalam Tiktok terutamanya, tetapi tiada sambutan hangat untuk menanyakan soalan tentang prosedur dan sebagainya. Tidak seperti mengulas cerita-cerita ‘penyondol’ dan poligami. Sambutannya hangat berapi-api dan berepisod.

Masing-masing lebih cenderung untuk beremosi daripada mengetahui hak atau pilihan yang ada bagi seorang isteri apabila berhadapan dengan kes-kes gangguan rumah tangga ini.

Sebab itulah sehingga kini walaupun ada akta dan enakmen untuk mendakwa pengganggu rumah tangga ini, tiada berita pun tentang pelaku didakwa di mahkamah dan didenda atau dipenjara atas kesalahan jenayah syariah ini.

Sedangkan ramai wanita turut mengaku dan berkongsi cerita mereka juga mengalami situasi sama ketika mengulas isu itu dalam media sosial. Nampaknya mereka yang terlibat lebih suka mengadu di media sosial daripada bertindak ‘mengajar’ pihak yang mengganggu keharmonian rumah tangga mereka.

Atau adakah kerana ada kelompongan pada enakmen syariah negeri dan Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 tersebut sehingga akhirnya aduan demi aduan telah dibuat, tetapi kes dihentikan begitu saja.

Difahamkan kekurangan bukti dan keterangan kukuh menyukarkan kes gangguan rumah tangga yang berpunca daripada orang ketiga didakwa di mahkamah syariah. Prosedur juga mengambil masa yang panjang.

Apa pun, negara ini telah mempunyai mekanisme undang-undang untuk melindungi rumah tangga daripada gangguan pihak ketiga atau ahli keluarga sendiri.

Orang lelaki pun jangan beranggapan bahawa peruntukan undang-undang ini berat sebelah dan hanya mahu meme­nangkan orang perempuan yang mereka kata sentiasa ‘betul’. Tidak. Mana-mana lelaki yang mengganggu rumah tangga juga boleh didakwa.

Dapatkanlah maklumat secukupnya sebagai pengetahuan dan rujukan apabila berada dalam kancah sebegini. Berbalah dalam media sosial bukan setakat memalukan pelaku dan pasangan, malah memberi aib besar kepada diri sendiri. Tepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri.

Masalah rumah tangga biar diselesaikan dalam lingkungan orang yang terbabit saja. Jangan heret ke media sosial, seolah-olah ia satu ‘masalah negara’ yang semua orang perlu turut sama memikirkannya.

PENULIS ialah Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya