Nazerul cerita detik cemas sambut kelahiran dalam kereta - Utusan Malaysia

Nazerul cerita detik cemas sambut kelahiran dalam kereta

Pasangan Nur Atasyha dan Nazerul bersama permata hati mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Baby nak keluar…!!” jeritan Nur Atasyha Najwa Zailan memecah kesunyian pagi. Jeritan itu mengejutkan suaminya, Nazerul Nazreen Ramli yang baru saja hendak lena semula awal pagi itu.

Dia bingkas bangun dan terkejut melihat isterinya, duduk atas katil sambil mengusap-usap perutnya. Mukanya berkerut-kerut menahan sakit.

Walaupun terkejut, dia cuba menarik nafas dalam-dalam. Tanpa membuang masa, Nazerul terus memanggil ibu mentuanya, Junaidah Yatiman yang tidur di bilik sebelah. Ibu mentuanya itu segera keluar dari bilik.

Junaidah kelam-kabut apabila diberitahu anaknya itu sudah hampir nak bersalin. Dalam kekalutan itu, dia cuba menghubungi tukang urut lepas bersalin yang dikenalinya.

“Sepanjang malam itu, saya perasan, sekitar jam 5 hingga 6 pagi, Atashya kerap ke tandas. Dia memberitahu saya rasa macam hendak buang air kecil dan besar. Saya pun fikir tak ada apa-apa yang pelik. Saya tidak terfikir pun dia dah nak bersalin.

“Hampir jam 7 pagi, saya nak tidur semula tiba-tiba dia menjerit. Itu yang buat saya terkejut bila dia cakap bayi dah nak keluar. Lepas ibu mentua datang, dia minta saya cepat-cepat bawa Atashya ke hospital yang tak jauh sangat dari rumah iaitu sekitar tujuh atau lapan minit saja,” katanya kepada Seri, mengimbas detik cemas yang dialaminya ketika menjadi bidan terjun apabila anak keduanya, Adam Neezal dilahirkan di dalam kereta pada 10 Januari lalu di Kluang, Johor.

Baginya, pengalaman itu tidak dapat dilupakan kerana sepanjang hidupnya lantaran tidak pernah menyambut kelahiran bayi walapun sudah mempunyai anak sebelum ini.

Nazerul berkata, apabila masuk semula ke bilik, isterinya itu sudah duduk melutut di atas lantai sambil mengerang sakit. Junaidah pula sibuk menghubungi tukang urut dan memintanya segera datang untuk membantu.

“Dah nak keluar ni…dah nak keluar!!” jerit Atashya lagi sebaik melihat Nazerul masuk.

Tanpa membuang masa, Nazerul terus mengangkat isterinya itu ke kereta. Atas permintaan isterinya, Nazerul meletakkannya di bangku belakang.

Nazerul sempat masuk semula ke rumah untuk mengambil buku pink untuk dibawa ke hospital. Mendenger jeritan Atashya yang agak kuat, beberapa orang jiran-jiran berhampiran datang bertanya.

Sebaik keluar, Nazerul melihat ibu mentuanya panik. “Sarung ketuban dah hampir keluar,” katanya sambil menutup mata rapat-rapat kerana takut.

TOLAK PERUT

Menyedari isterinya sudah hampir melahirkan dan tidak sempat ke hospital, Nazerul tiada pilihan lain melainkan terpaksa menjadi bidan terjun. Dia tekad menyambut kelahiran bayi keduanya itu.

“Masa nak bersalin, Atasyha meminta ibunya menolak perutnya untuk mengeluarkan bayi. Dia menjerit lagi dan bila nampak kepala bayi keluar sampai paras leher, saya lihat tiada belitan tali pusat. Bila nampak bahunya, saya pegang ketiak bayi sambil menariknya keluar. Bayi keluar dengan lancar bersama sarung ketuban.

“Kejadian itu berlaku terlalu pantas iaitu antara dua hingga tiga minit saja. Bayi keluar dengan keadaan senyap mungkin sebab masih di dalam karung ketuban. Bagaimanapun, sebahagian sarung ketuban di atas kepalanya sudah terkoyak. Jadi saya koyakkan terus sarung ketuban tu. Masa tu saya nampak jantinanya lelaki dan bayi terus menangis. Saya rasa lega sangat,” katanya.

Tukang urut yang sempat dihubungi ibu mentuanya, meminta Nazerul tidak memotong tali pusat dan tidak menarik uri keluar. Sebaliknya diminta untuk lap saja badan bayi yang agak montel itu. Dia juga diminta terus membawa isterinya ke hospital berhampiran.

Sepanjang perjalanan ke hospital, isterinya memegang tali pusat sambil memeluk bayinya bagi memastikan bayi tidak kesejukan. Nazerul membawa kereta dengan laju tetapi masih berhati-hati bagi memastikan mereka sekeluarga selamat tiba di hospital.

“Sebaik tiba, ibu mentua saya segera keluar dan meminta jururawat di situ melihat keadaan Atasyha dan bayinya. Tidak lama kemudian, tiga atau empat orang jururawat dan doktor bergegas datang.

Doktor terus memeriksa bayi dan memotong tali pusatnya. Isteri dan bayi saya di bawa terus ke dewan bersalin untuk diberikan rawatan seterusnya.

“Bayi ditahan di unit rawatan rapi neonatal (NICU) sebab mengalami darah merah berlebihan yang berpunca daripada lambat memotong tali pusat. Menurut doktor, darah merah ibunya mengalir ke dalam badan anak saya,” katanya.

Hanya sehari selepas itu, baharu Nazerul dapat mengazankan bayinya itu.

“Saya bersyukur kerana isteri dan bayi yang dilahirkan dengan berat lebih kurang 3 kilogram semakin sihat.

“Semuanya berjalan dengan lancar dan selamat. Pengalaman ini memang tak dapat saya lupakan dan akan menjadi memori indah untuk dikenang. Sekarang keadaan mereka stabil dan sudah dibenarkan pulang ke rumah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya