PRU, musim perayaan dan harga barangan - Utusan Malaysia

PRU, musim perayaan dan harga barangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HAMPIR setiap kali musim cuti perayaan ibu antara golongan yang paling seronok tetapi pada masa sama runsing.

Seronok sebab waktu itu rumah yang dulu sunyi kembali ceria dengan suara anak-anak yang akan balik ke rumah.

Cuti seminggu pada musim perayaan membolehkan yang belajar di kolej mahupun yang duduk asrama, memanfaat masa bersama keluarga sambil menikmati makanan di sediakan ibu.

Berminggu-minggu makan nasi kawah dan di gerai, sudah pasti masakan enak emak yang rindu untuk dijamah.

Dalam keseronokan itu, emak malah nenek dan datuk turut naik runsing sebab kala itu jugalah selalunya bahan mentah naik mencanak.

Yang hairannya kala musim perayaan itu jugalah barangan akan naik harga.

Pelbagai alasan diberikan peniaga dan pemborong untuk menaikkan harga barangan termasuklah salahkan musim hujan mahupun musim kemarau yang mempengaruhi bekalan.

Bukan sekali dua tetapi coraknya berlaku hampir sama setiap tahun seolah-olah disengajakan.

Kalau setiap bulan ayam bertelur dan diternak, kenapa pada bulan tertentu dan musim perayaan ia berkurangan? Boleh saja menambahkan pengeluaran, tak kanlah haiwan tahu mogok tak nak bertelur?

Kalau difikirkan memang banyak tidak logik daripada logik.

Ia bagaikan tidak pernah ada jalan penyelesaiannya. Sekali isu disuarakan pengguna dan pihak media, adalah sehari dua harganya turun.

Selebihnya kembali naik. Kalau nak tahu lebih lanjut, boleh saja rujuk internet. Banyak laporan mengenai kekurangan bekalan dilaporkan di serata negara.

Lebih menghairankan adakah peniaga boleh bertindak sewenang-wenangnya menaikkan harga sebab yang menjadi mangsanya adalah pengguna.

Sampai bila pengguna harus menanggung beban kenaikan kos dihadapi peniaga itu? Pengguna tidak seharusnya menanggung beban dihadapi peniaga mahupun pemborong.

Lebih-lebih lagi pengguna seperti kita yang sudah sekian banyak membayar pelbagai jenis cukai. Makan di kedai makan pun kena bayar cukai.

Lemah sangatkan kementerian berkaitan yang seharusnya menjaga kebajikan kita?

Rasanya situasi bertambah buruk kala demam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini. Berkongsi kisah ini dengan rakan-rakan, mereka turut berdepan masalah sama.

Dengan gaji rata-rata daripada kita yang tidak seberapa, tentulah isu ini akan menaikkan kemarahan. Tak kan lah nak suruh rakyat berjimat cermat lagi.

Sudah tak tahu arah nak berjimat di mana. Nak suruh membela haiwan ternakan, bukan tidak boleh. Bagi kediaman yang ada tanah berhektar boleh sangat, tetapi ia bukanlah boleh membesar dalam tempoh sehari dua ini, dalam situasi yang dilihat kian terdesak ini.

Rumah saya pun sudah hampir sebulan tiada telur sebab banyak kedai kehabisan stok telur ayam.

Malaysia mengundi 19 November depan. Untuk parti politik, buatlah manifesto yang memperjuangkan isu membela rakyat. Tak perlu menjanjikan bulan dan bintang kalau perkara asas pun tidak mampu diselesaikan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya