Baru-baru ini Utusan Malaysia mendedahkan mengenai tawaran lumayan sehingga RM1,000 seminggu atau sehingga RM5,000 sebulan menjadi punca utama pemilik keldai akaun sanggup menyewakan akaun mereka kepada scammer untuk dijadikan tempat parking wang hasil penipuan yang dilakukan secara dalam talian.
Tawaran itu bukan dibuat secara sembunyi-sembunyi sebaliknya terang-terangan dan diiklankan secara terbuka oleh menerusi media sosial terutamanya Facebook.
Dalam kalangan yang terjebak pula tidak ada pemisah antara usia. Pelajar dan mahasiswa antara ramai terbabit. Segala-gala kerana wang. Siapa yang tidak mahu, duduk sahaja, tau-tau dapat habuan.
Lagi-lagi dalam situasi sekarang ini segala-galanya memerlukan wang. Kos hidup yang semakin meningkat menyebabkan ramai yang tanpa berfikir panjang menerima sebarang tawaran.
Sambil saya berbual dengan anak sulung yang kian meningkat dewasa, katanya beliau maklum mengenai hal berkenaan. Cumanya beliau melahirkan kehairanan sebab ia berlaku secara terbuka dan situasi itu boleh mengelirukan orang ramai.
Memburukkan keadaan apabila muslihat itu berlaku dalam pelbagai bentuk termasuk kiriman WhatsApp yang menawarkan individu hanya perlu komen yang baik-baik di sesetengah platform dan dapat duit. Semudah itu.
Realitinya kehidupan kita yang segala-galanya dihujung jarilah yang membenarkan ia berlaku. Kemudahan itu memudahkan lagi pihak tidak bertanggungjawab menjerat pengguna seperti kita.
Bila iklan tawaran pendapatan mudah lalu lalang depan mata, ia menjadi sesuatu normal seperti iklan-iklan lain yang biasa kita lihat media sosial.
Hanya ilmu dan agama yang membataskan perlakuan dan tindakan kita. Saya suka mengingatkan wanita, khususnya ibu untuk menimba ilmu dan celik hal ehwal berhubung isu ini. Mereka berperanan menyuntik kesedaran dalam kalangan ahli keluarga masing-masing.
Manfaatkan masa dengan mencari ilmu yang boleh jadi sempadan dalam menentukan sumber kewangan ahli keluarga kita.
Ramai yang berkata dalam kehidupan hari ini, kalau kita bukan scammer, kita yang bakal menjadi scammer.
Pada masa sama pihak kerajaan dan bank perlulah agresif dalam memainkan perananan melindungi pengguna. Janganlah bertindak sambil lewa di atas setiap aduan diterima.
Akhir-akhir ini ramai pengguna yang lesap wang mereka walaupun diletakkan dalam bank. Wajarkan segala kesalahan diletakkan atas bahu pengguna?
Hargailah kesetiaan pelanggan. Kalau tidak percaya mereka tidak akan menggunakan perkhidmatan anda. Tak kan nak nasihatkan mereka simpan duit bawah tilam?
———–
Nor Afzan Mohamad Yusof, Penolong Pengarang Berita, Utusan Malaysia.